RAMAI yang kata anak istimewa ini hidupnya tidak lama, lebih-lebih lagi kalau ada banyak komplikasi serius ditambah lagi menderita dengan penyakit kanser darah. Mendengarkan kata-kata itu, hanya ALLAH sahaja mengerti perasaan ini. Namun, sebagai hamba-NYA, saya reda dengan ketentuan qada dan qadar yang sudah tertulis.”

Demikian luahan pilu seorang ibu tabah, Fauziah Mat Desa, 44, yang bersabar menjaga anak bongsunya, Abdul Qayyum Mohd Asri yang dilahirkan serba kekurangan, tidak seperti lima anaknya yang lain.

Si manja yang dipanggil Qayyum, 3, bukan sahaja disahkan kanak-kanak sindrom down, malah menghidap kanser darah (Acute myeloblastic leukemia).

Lebih meruntun kalbu, jangkitan kuman pada buah pinggangnya difahamkan sudah merebak hingga ke paru-paru dan limpa.

Kepada SinarPlus, suri rumah itu dengan nada sebak berkata, nuraninya tidak pernah tenteram memikirkan situasi buah hatinya yang semakin memburuk itu.

adik qayyum sindrom down kanser darah

“Qayyum juga sering demam dan tidak bermaya. Memikirkannya membuatkan saya tak pernah tidur lena. Hampir setiap hari sebenarnya kami ulang alik lebih kurang sejam ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk rawatannya, selain sebulan sekali ke Hospital Pulau Pinang.

“Ubat Qayyum bukannya pil atau cecair yang boleh kita beli sendiri. Doktor yang akan uruskan dan biasanya dimasukkan melalui suntikan. Memang sedih melihat Qayyum meraung dicucuk, namun demi kesihatannya, kami merelakan segala-galanya,“ katanya.

Kos yang tinggi

Bercerita lanjut, Fauziah berkata, selepas memiliki lima anak, beliau tidak terfikir untuk hamil sekali lagi.

Namun, tiada siapa boleh menolak takdir. Ujar beliau, ketika melakukan pemeriksaan di klinik selepas pelik tidak datang haid selama enam bulan, doktor mengesahkan dirinya hamil.

adik qayyum sindrom down kanser darah

Bukan tidak gembira, tetapi sejarah kesihatannya yang menderita penyakit kencing manis dan darah tinggi membuatkan Fauziah lebih berjaga-jaga.

“Saya memang terkejut dan berat untuk menerimanya, namun doktor nasihatkan agar meneruskan kandungan memandangkan bayi dalam perut sudah besar,“ ceritanya.

Wanita itu mengakui di dalam benaknya ketika itu berserabut gara-gara memikirkan implikasi yang bakal dialami oleh anaknya kelak.

“Pada mulanya, saya terlalu ambil pusing kata-kata yang menjatuhkan moral saya. Orang kata bayi saya nanti boleh jadi anak kurang upaya dan macam-macam lagilah. Mereka juga persoalkan, kenapa saya tak buang dari awal-awal lagi, sampai begitu sekali.

qayyum sakit kanser

Iklan

“Namun, selepas berfikir semasak-masaknya, saya nekad dan pesan pada diri saya supaya cekal menerima dugaan yang bakal mendatang. Seberat mana pun dugaan, saya akan gigih berusaha untuk menjaga anak syurga ini selagi nyawa dikandung badan,“ ujarnya dengan penuh penegasan.

Kata Fauziah, selepas Qayyum dilahirkan pada 22 Oktober 2018, anak kecil ditempatkan lebih sebulan di Unit Rawatan Intensif Neonatal.

“Doktor kata jantung Qayyum berlubang dan nafasnya juga laju. Kami ingatkan selepas menjalani rawatan kemoterapi berbulan-bulan, Qayyum akan semakin pulih, namun dugaan lain pula datang,“ tutur wanita itu.

Fauziah berkata, keluarganya menampung sejumlah kos yang tinggi untuk perbelanjaan ke hospital, ubat-ubatan, lampin dan susu khas Qayyum.

Berkerja sebagai buruh kasar dengan upah cuma RM1,000 yang diperoleh suaminya, Mohd Asri Abdul Hamid, 47, kita semua dapat membayangkan betapa sukarnya keluarga ini bergelut untuk terus survival.

Iklan

qayyum sakit kanser

Namun, Fauziah nampak sungguh tenang tatkala bercerita tentang itu semua.

“Kalau diikutkan, gaji suami dan dua anak yang bekerja memang cukup-cukup sahaja, namun masih ada bil yang tertunggak.

“Kami juga bersyukur ada pihak seperti Pertubuhan Kesihatan Jantung Malaysia yang sudi hulurkan sumbangan lampin pakai buang dan susu khas. Bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat turut diterima,“ katanya yang mengharapkan simpati ramai untuk membantu menyelamatkan nyawa buah hati pengarang jantungnya.

Kepada rakyat Malaysia yang prihatin dengan keluarga yang bersengkang mata menjaga anak syurga ini, boleh menyalurkan dana ke akaun Bank Simpanan Nasional (0210041100031018) atas nama Fauziah Binti Mat Desa/Abdul Qayyum Bin Mohd Asri.