Selepas satu kampung peluk islam, Ebit berikrar sediakan sekolah dan ustaz untuk mengajar

A
A
A

MENAGIS kegembiraan! Itulah perasaan yang boleh digambarkan oleh pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih mesra dikenali ustaz Ebit apabila beliau berjaya membawa satu kampung berjumlah 157 orang dari suku Bajau Laut di Sabah memeluk Islam.

SinarPlus percaya setiap yang bergelar rakyat Malaysia pastinya akan mengenali nama Ustaz Ebit Lew.

Beliau juga merupakan seorang ahli perniagaan berjaya merangkap dermawan yang sering membantu golongan susah dan memerlukan.

Tidak kira di ceruk mana bantuan diperlukan, pasti ada kelibat Ustaz Ebit Lew dan istimewanya bantuan dihulur tanpa mengira bangsa dan agama.

Dalam catatan di Facebooknya semalam, Ebit menceritakan beliau ke Pulau Tatagan Semporna dalam misi bantuan kemanusiaannya ke Negeri Di Bawah Bayu.

Menurut Ebit, kesemua penduduk di kawasan itu tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut dan lebih menyedihkan mereka dalam kesusahan, terputus bekalan makanan.

“Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini.

“Semuanya dengan rela tanpa paksaan memeluk Islam. Dari suku Bajau Laut atau gipsi laut.. Pulau Tatagan Semporna. Mereka tinggal dalam bot atau pondok kecil atas laut.

“Saya ke sana untuk beri bantuan. Dengar mereka susah dan putus bekalan makanan. Mereka susah sangat," tulis Ebit di Facebook.

Menurut Ebit, Bajau laut adalah kumpulan manusia tanpa negara. Bila lihat anak kecil di sana beliau terus menangis.

Masing-masing berebut datang dekat Ebit. Menurut kepercayaan masyarakat Bajau, mereka akan memberikan nama anak selepas setahun kerana risiko kematian tinggi untuk anak bawah setahun.

“Tiba-tiba ramai tanya saya siapa tuhan. Tuhan tu apa. Saya terus sebak. Saya dengan penterjemah tanya pernah tak sesiapa terangkan tentang agama.

“Mereka jawab tiada. Kami tak tahu. Tolong bagitahu kami. Saya terus sebak. Saya kumpulkan semua dikeliling bot tadi.

“Mereka semua terus percaya. Saya ajar mereka syahadah. Inilah hari paling sedih gembira dalam hidup saya. Terima kasih Allah,” tulis Ebit dengan penuh kesyukuran.

Ebit berikrar, beliau akan terus membantu penduduk di kawasan tersebut dan kini sedang berikhtiar untuk membina sekolah serta menyediakan ustaz untuk mengajar penduduk di sana.

“Ya Allah bantulah mudahkanlah diriku untuk pastikan anak-anak ini menjadi manusia berguna,” pohon Ebit kepada Yang Maha Esa.

Ya Allah menangis saya hari ini gembira. Seramai 157 orang mengucap syahadah. Satu kampung memeluk Islam petang ini....

Posted by Ebit Lew on Sunday, 31 January 2021

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca