PADA Sabtu minggu lalu, sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia, macam-macam fakta tentang kesihatan mental berlegar menerusi media sosial.

Kalau mahu diikutkan, masalah mental ini memang berlaku di mana-mana. Tidak kiralah negara itu kaya-raya, maju dengan deretan teknologi canggih atau semiskin-miskinnya.

Antara yang paling diperkatakan sekarang adalah kemurungan dalam kalangan barisan hadapan termasuk mereka yang hilang kerja termasuk ahli perniagaan kecil-kecilan atau bertaraf mega yang gulung tikar.

Senorita memahami sangat emosi yang mengganggu fikiran mereka (yang hilang kerja) kerana ramai kawan-kawan sekeliling Senorita turut terpalit. Paling sedih, ada di antara kawan Senorita tiada simpanan langsung.

Maka, ramailah yang berniaga makanan bungkus, jual dekat taman atau dengan bekas rakan pejabat. Kami yang dipermudahkan oleh ALLAH SWT dengan masih mempunyai kerja, memberi sokongan setakat mana yang mampu.

Pun demikian, ketepikan seketika masalah pekerjaan pada zaman PKPB ini, masalah mental yang paling ‘berat’ bagi Senorita adalah kemelut yang dihadapi oleh kaum wanita di luar sana yang tidak pernah menemui noktahnya.

Isteri-isteri yang sudah berkahwin misalnya, kebanyakannya tidak lekang dengan masalah hubungan. Antaranya dengan suami, anak-anak, keluarga mertua dan ipar-duai semua.

Ia tercetus bukan masa PKPB sahaja, tetapi sepanjang masa. Pendek kata, selagi hayat dikandung badan.

Dalam kebanyakan hal yang Senorita baca mahupun interbiu, terdapat satu isu yang berlaku dekat Senorita yang masih tidak menemui penyelesaian. Ia terjadi kepada rakan wanita lama Senorita ketika sama-sama belajar di menara gading dulu.

Ceritanya begini. Alhamdulillah, jodoh rakan Senorita ini memang vazz. Dia berkahwin dengan seorang ahli perniaagan kaya (have have kata orang zaman sekarang). Walaupun berpelajaran, dia diminta untuk berhenti kerja dan fokus menjaga anak sahaja.

Dia bukan sahaja akur, malah seronok. Kami-kami yang sedang strugle dengan gaji yang murah ketika mula-mula bekerja, dia suka memakai beg LV, Gucci dan belanja kami makan pun di Harrods, KLCC. Kami tidak cemburu malah berbesar hari dengan takdir indahnya.

Setelah 15 tahun berkahwin, dia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki. Tidak silap Senorita, budak itu sudah berusia 12 tahun genap tahun ini.

Selepas memiliki anak lelaki, suaminya mendambakan seorang anak perempuan pula. Pun demikian, itu semua terpulang kepada rezeki, bukan? Mereka berusaha dengan pelbagai cara, tetapi belum berhasil lagi. Namun, hakikat itu tidak diterima oleh suaminya.

Daripada situ, bermulalah episod berantakan apabila suaminya mula bermain kayu tiga.

Baca juga: [SENORITA KAYANGAN]: Guna mayat untuk buktikan virus Covid-19 bertahan 9 jam pada kulit manusia

Rakan Senorita lagi bertambah stres apabila mak mertuanya bagai menyimbah minyak pada api marak. Mak mertuanya dikatakan merancang menjodohkan anak lelakinya dengan seorang wanita lain (dengan harapan boleh berinya cucu perempuan).

Apa yang jadi adalah, rakan Senorita mengalami kemurungan melampau sehingga secara tidak sengaja memukul anaknya. Menangis? Rasanya itu yang selalu dilakukannya bagi merawat hati yang lara.

Barangkali dia berpelakuan sedemikian rupa kerana tekanan bertalu-talu dan tidak tertanggung yang diterima daripada suami sendiri dan mak mertuanya.

Dengar cerita, keadaan makin parah dan dikhabarkan perkahwinannya mungkin akan ‘lebur’ apabila kes mereka sudah difailkan di mahkamah syariah.

Sesungguhnya harta yang bertimbun dan kemewahan yang mengulit, tidak mampu memberi kebahagiaan kepadanya. Kasihan sungguh. Rakan Senorita telah menjadi mangsa keadaan kepada manusia yang tidak puas dengan kurniaan ALLAH kepadanya.

Senorita dan kawan-kawan lain ada mengajaknya bersembang bagi melegakan perasaan dan membantunya, namun sehingga kini, telefonnya tidak berjawab. Mungkin dia memerlukan masa.

Sebenarnya sudah lama rasanya Senorita mahu menulis tentang penderitaan isteri yang sakit jiwa gara-gara tidak tahan dengan perangai sang suami yang macam-macam karenah. Sekali lagi, mereka tidak puas dengan apa yang telah diberikan-NYA. Ya, manusia memang tidak akan pernah puas.

Sudah dapat ini, nak itu pula. Sudah dapat itu, mahu ini pula. Bolehkah belajar bersyukur dengan nikmat yang ALLAH berikan? Kenapa perlu menyeksa seseorang kalau itu di luar kemampuannya?

[SENORITA KAYANGAN] Banyak isteri sakit mental kerana perangai suami
PENYAKIT mental boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja tidak kira umur, jantina atau bangsa. Kemurungan boleh berlangsung lama sehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
Sejarah hidup yang getir

Di Amerika Syarikat (AS) pula, ada satu kisah yang lebih ekstrem. Menerusi portal St George News, AS, mereka menyiarkan kisah seorang isteri yang bersuamikan lelaki mental.

Pasangan itu sudah berkahwin selama 25 tahun, tetapi suaminya mempunyai masalah dengan anak perempuan mereka sejak budak itu meningkat remaja.

Lupa nak cakap, si lelaki ini pernah berkhidmat dengan Angkatan Laut AS, namun diberhentikan kerana gangguan tekanan pascatrauma. Penyakit mental dia merangkumi beberapa cubaan membunuh diri.

Iklan

Keadaan menjadi bertambah kronik, apabila ibu kepada lelaki itu meninggal dunia dan tekanan lelaki itu makin menjadi-jadi sehingga si isteri ambil keputusan untuk bercerai.

Apa lagi, bergaduh besarlah laki bini ini. Disebabkan memendam rasa terlalu lama, wanita itu berkata, dia mengamuk sampai peringkat tentang pintu dan keluarkan kata-kata ‘mengerikan’ pada suaminya.

Nampak itu, keadaan itu menyebabkan si wanita itu secara tak langsung berdepan dengan tekanan mental. Suami pun mental, isteri pula secara tidak sengaja jadi mental sebab suaminya. Memang kasihan.

[SENORITA KAYANGAN] Banyak isteri sakit mental kerana perangai suami
Berkongsi kebimbangan dan masalah dengan orang lain antara formula yang boleh membantu kita berdepan dengan tekanan dan kemurungan. Kita mungkin akan berasa lega selepas berkongsi rasa dengan orang yang kita percayai.
Membaca tulisan Dr Mohd Nasir Abd Kadir menerusi portal MyHealth yang menyenaraikan beberapa sebab berlakunya masalah mental.

Katanya, penyebabnya tidak diketahui dengan tepat kerana kajian masih dijalankan untuk memperincikan punca sebenar penyakit itu.

Namun katanya, terdapat beberapa faktor yang menyumbang terjadinya penyakit mental. Antaranya:

Faktor genetik/ keturunan: Ahli di dalam keluarga yang mempunyai sejarah penyakit mental berisiko lebih tinggi berbanding mereka yang tiada.

Sejarah hidup yang getir: Sebagai contoh, seseorang mengalami proses kelahiran yang sukar, kehilangan ibu bapa semasa kecil termasuk terlalu banyak mengalami cabaran hidup yang sukar.

Iklan

Keadaan sosioekonomi yang rendah: Faktor kemiskinan, tiada kemudahan asas atau keganasan di dalam masyarakat juga boleh meningkatkan masalah penyakit mental.

Berdasarkan dua kisah yang Senorita ceritakan tadi, rasanya salah satu ciri yang dinyatakan oleh pakar berkenaan pasti terdapat pada mangsa atau pelaku. Wallahualam.

Entahlah, dunia ini penuh dengan cerita-cerita indah, namun lebih banyak kepada kisah-kisah yang rumit yang akhirnya membawa kepada kesedihan yang berpanjangan.

Pun begitu, bagi Senorita, dunia ini terlalu singkat untuk memikirkan perkara yang tidak elok dan bukan-bukan.

Kena ingat, dunia memang tidak seindah syurga, namun kalau diri kita dilingkari dengan sifat mazmudah (terpuji), saling hormat menghormati, tiada hasad dengki dan iri hati, insya-ALLAH, semuanya akan aman dan harmoni.

Ya, memang benar, dunia kadangkala tidak adil, tetapi dengan sifat murni berkenaan termasuk kuasa cinta, ia mampu atau sedikit sebanyak memberi peluang kepada kita bernafas dengan lega di dunia yang fana ini.

…dan setiap manusia memang inginkan kehidupan yang bahagia. Bagaimanapun, definisi bahagia itu berbeza mengikut kefahaman, didikan dan ilmu yang kita peroleh.

Foto Pixabay & Unsplash