IZINKAN Bibir Merah berkongsi satu peribahasa lama berbunyi ‘air susu dibalas dengan air tuba‘ yang membawa maksud apabila sesuatu kebaikan itu dibalas dengan keburukan.

Sejak dibangku sekolah baik subjek Pendidikan Islam mahupun Pendidikan Sivik kita sentiasa didedahkan kelebihan berbuat kebaikan sesama insan tanpa mengira latar belakang, status, kaum ataupun agama.

Saling membantu antara satu sama lain bukan sahaja mencipta elemen keharmonian dalam masyarakat, bahkan, membuatkan negara aman, damai dan sejahtera.

Justeru, berbicara perihal berbuat kebaikan ini Bibir Merah terkejut membaca insiden yang menimpa seorang lelaki warga emas berusia 80 tahun baru-baru ini.

Masakan tidak, niat baik lelaki terbabit menghulurkan bantuan seorang remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) telah disalaherti sehingga menyebabkannya dibelasah teruk.

uncle dipukul pakcik
TULAR. Satu rakaman video memaparkan seorang wanita masuk ke dalam kereta yang dipandu warga emas sebelum memukulnya.

Dalam satu rakaman video yang tular di media sosial memaparkan seorang wanita masuk ke dalam kereta dipandu warga emas terbabit lalu memukulnya.

Beliau dikatakan menjadi mangsa kemarahan wanita berusia 54 tahun yang menyangka warga emas berkenaan cuba bertindak melarikan anak perempuannya.

Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed mengesahkan, kes tersebut tidak mempunyai elemen penculikan.

Hasil siasatan mendapati remaja OKU terbabit telah menahan kenderaan warga emas itu semasa dia berjalan sendirian tanpa pengetahuan ibunya di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor pada jam 9 pagi.

“Lelaki terbabit membenarkan remaja berkenaan berbuat demikian kerana beranggapan meminta pertolongan.

“Ibu mangsa kemudiannya menyedari ketiadaan anaknya lantas bertanya kepada peniaga kawasan berhampiran sebelum dimaklumkan telah mengikut seorang lelaki menaiki kereta Perodua Myvi berwarna kelabu,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, dimaklumkan hasil siasatan lanjut juga mendapati lelaki berkenaan tidak pasti arah tuju kerana remaja terbabit hanya mendiamkan diri sehinggalah ditahan orang awam di sekitar Saujana Rawang pada jam 12.30 tengah hari.

Ibu mangsa mendapati anaknya dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan, sekali gus menarik laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes orang hilang.

uncle dipukulJika Bibir Merah yang berada di tempat lelaki warga emas tersebut pasti berasa sedih, trauma dan ketakutan.

Iyalah, niat baik untuk membantu disalah anggap sehingga dipukul dan dimarahi bertalu-talu tanpa diberi peluang memberi penjelasan.

Bibir Merah memahami ibu mana yang tidak bimbang apabila anak perempuan istimewa hilang secara tiba-tiba dan ditemui pula di dalam kereta dipandu seorang lelaki. Impaknya perselisihan faham mengakibatkan pergaduhan.

Seharusnya dalam berdepan situasi seumpama ini kita harus bersikap rasional sebelum bertindak di luar kawalan.

Sekiranya ibu mangsa bertanya dan mendapatkan kepastian terlebih dahulu mungkin kekecohan dapat dielakkan.

Bersyukur sekurang-kurangnya remaja perempuan OKU itu dipertemukan dengan uncle yang baik hati bukannya individu berniat jahat.

Susulan insiden itu juga Bibir Merah bimbang jika selepas ini masyarakat enggan menghulurkan bantuan khususnya hal kecemasan melibatkan individu.

Bimbang kalau-kalau dilemparkan tuduhan tidak berasas kelak bak kata peribahasa campak bunga dibalas dengan campak tahi.

orang
JIKA berterusan disalah erti bimbang masyarakat akan berasa takut ataupun enggan lagi untuk menghulurkan bantuan kepada orang lain.

Bahkan, segelintir warga maya turut menzahirkan pandangan serupa:

Iklan

– “Zaman sekarang nak tolong orang pun takut wei kalau tolong kena belasah pula. Tak tolong kata tak ambil berat, tiada kemanusiaan. Hati pun makin jadi batu.”

– “Buat baik dibalas terajang! Sebab itu lain kali jangan buat baik.”

– Kesian pula pada yang menolong. Kenapa tak tanya dulu. Pakcik itu berumur. Lain kali tiada orang nak tolong kalau berlaku apa-apa pada anak awak.”

– “Lain kali jangan tolong orang. Kita buat tak tahu je sebab orang yang tengok bukan tahu perkara sebenar.”

– “Jangan letak undang-undang di tangan sendiri. Macam mana kalau warga emas 80 tahun itu mati akibat dibelasah sedemikian.”

Iklan

– “Jangan bertindak melulu. Perlu lihat kembali pada khilaf diri. Bagaimana anak tersayang terutamanya yang perlukan perhatian lebih boleh terlepas pandang. Jangan mudah melepaskan perasaan pada orang lain.”

menaip Pun begitu, nasihat Bibir Merah agar warga maya menjaga butir bicara tatkala berkongsi pendapat ataupun meninggalkan sebarang komen. Usah terus menghukum ibu mangsa.

Elak memaki hamun dan meninggalkan kata-kata kesat kerana kita tidak berada dalam situasinya.