MENELITI komen-komen ditulis di laman sosial Facebook Sinar Harian hari ini Bibir Merah mendapati sesetengah warga maya menzahirkan ketidakpuasan hati.

Ia susulan tindakan dikenakan terhadap jururawat yang dikatakan memberikan suntikan vaksin picagari kosong.

Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, jururawat yang mengaku menyuntik penerima vaksin dengan picagari kosong telah diberi amaran.

“Bagi kes suntikan kosong tanpa vaksin, ia berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang mana jururawat mengaku berlaku kecuaian disebabkan keletihan.

“Jururawat berkenaan akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK hari ini.

Tambah Khairy, surat amaran telah diberikan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan jururawat itu bertugas di kem tentera.

Khairy Jamaluddin Foto Bernama
KHAIRY JAMALUDDIN

Rentetan itu segelintir netizen menyifatkan tindakan dikenakan adalah tidak setimpal dengan perbuatan dilakukan, maka bertalu-talu komen negatif dilemparkan.

Pun begitu, bagi Bibir Merah jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Usah pukul rata melabelkan pasukan perubatan itu dan ini.

Jaga tutur kata di media sosial khususnya kerana frontliners negara sedang berjuang ‘menghapuskan’ Covid-19 demi kesejahteraan bersama.

“Bukankah itu tanggungjawab mereka?”

Ya benar, tetapi jangan lupa bahawa petugas kesihatan juga manusia yang tidak terlepas mengalami keletihan mental dan fizikal.

Apatah lagi situasi hari ini memerlukan frontliners kita bekerja dalam persalinan sut peralatan perlindungan diri (PPE). Terpaksa berpanas, bermandikan peluh dan kadangkala menahan lapar dan dahaga.

Justeru, elak mempertikaikan kewibawaan dan amanah yang mereka pikul kerana jika diperhatikan frontliners kini begitu komited melunaskan tanggungjawab termasuk proses vaksinasi.

Ini bagi memastikan usaha herd immunity (imuniti kelompok) dapat dicapai dalam kadar segera demi mencegah penularan Covid-19.

vaksinMisalnya, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) melaporkan pada Khamis sahaja seramai 507,050 penerima selesai diberikan dos pertama dan kedua.

Jumlah pemberian kumulatif vaksin tersebut direkodkan adalah tertinggi setakat 22 Julai 2021.

Melihat angka tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa frontliners PPV di seluruh negara secara purata mengendalikan lebih 2,000 penerima saban hari.

Jadi tidak mustahil kepenatan ataupun kelesuan menjadi faktor utama punca berlakunya suntikan picagari kosong tanpa cecair vaksin terutamanya frontliners yang bertugas di PPV pandu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy juga memberitahu bahawa sebanyak 13 laporan polis berhubung vaksinasi dibuat oleh orang ramai.

Antaranya laporan mengenai kes suntikan kosong tanpa vaksin dan ketidakpastian petugas dalam pemberian vaksin.

Iklan

Sekali lagi nasihat Bibir Merah jaga tutur kata. Serahkan segala urusan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan.

vaksinBagi korang yang sudah mendapat slot janji temu vaksinasi sila hadir mengikut tarikh dan lokasi PPV ditetapkan.

Disarankan memandang picagari dan meminta kerjasama petugas menunjukkan jarum sebelum dan selepas suntikan vaksin Covid-19 dilakukan.

Selain itu, tolong pakai pakaian sesuai dan elak melarikan diri kononnya takut jarum kerana ia akan mengganggu kelancaran proses vaksinasi.

 

Iklan

Sumber: Bernama dan Canva