PADA zaman modenisasi yang mana masyarakat ‘bersahabat’ baik dengan telefon pintar bermacam-macam isu semasa, sedih, kejam dan tragis tular sepantas kilat di media sosial.

Cuma membezakan sama ada paparan kisah itu daripada sumber sahih ataupun sebaliknya. Maklumlah, situasi hari ini Bibir Merah melihat ramai berlumba-lumba menjadi ‘penyampai berita’ terawal.

Ditambah pula sikap sesetengah pengguna laman sosial baik Facebook, Instagram, Twitter mahupun TikTok yang cenderung melakukan apa sahaja demi content bagi mengejar rating dan viewer.

Fakta atau auta itu belakang kira!

Lebih mengecewakan terdapat content creator (pencipta kandungan) sanggup menggunakan kesusahan insan lain sebagai inti pati content sehingga mengundang simpati warga maya.

Salah satunya merakam video warga emas ataupun golongan tidak berkemampuan yang terpaksa menjual di tepi jalan, kaki lima atau di tangga demi kelangsungan hidup.

makanan
TIADA salahnya membantu menyumbang bekalan makanan dan keperluan asas kepada golongan terjejas, tetapi elak mendedahkan wajah penerima demi menjaga aibnya.

Tidak kurang jua memaparkan kisah kelompok yang tinggal berhimpit anak-beranak di rumah usang dan mengibarkan bendera putih dek terputus bekalan makanan.

Sudahlah merakam kedaifan dialami, kemudian disertakan shot sesi menghulurkan bantuan tanpa sedikitpun menutup wajah mereka ketika dimuat naik di laman sosial.

Barangkali niat content creator ingin berkongsi cerita dan menyuntik keprihatinan bersama pengguna media sosial yang lain.

Pun begitu, bagi Bibir Merah sebaik-baiknya elak tabiat tersebut. Cuba pupuk rasa tanggungjawab dalam diri untuk menjaga air muka dan menutup aib antara satu sama lain.

Bayangkan, jika ahli keluarga kita diperlakukan sedemikian rupa?

tik tokBukan itu sahaja, bagi menambah elemen dramatik alunan muzik meruntun jiwa melatari video bersama kapsyen sedih menceritakan keperitan hidup golongan tersebut.

Bagaimanapun, tanpa kita sedar kadangkala kisah yang dikongsikan hadir daripada sebelah pihak sahaja.

Sekadar mengambil contoh, video tular di Tiktok baru-baru ini memaparkan kegigihan seorang warga emas perempuan menjual asam keping di Pasar Siti Khadijah, Kelantan.

Video berdurasi seminit dirakam seorang pemuda itu menyentuh hati netizen menyebabkan ramai ingin membantu, Bibir Merah juga tidak terkecuali.

Iklan

Ini disebabkan dalam video terbabit mengatakan nenek yang tinggal di Selising, Pasir Puteh sanggup menjaja hingga ke Kota Bahru seorang diri.

Apabila ditanya tinggal dengan siapa? Nenek itu berkata, tinggal seorang diri dan sudah beberapa hari tidak menjamah nasi.

Apa yang menyedihkan, nenek tersebut turut memohon bantuan RM5 daripada pemuda itu untuk membeli sedikit beras.

nenek
PELBAGAI persoalan terjawab apabila nenek ini berniaga untuk hilangkan rasa bosan duduk di rumah dan menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 daripada pihak JKM.

Susulan video tersebut ramai bersimpati dan tidak kurang juga menyalahkan pihak zakat dan badan kebajikan kerana tidak turun padang melunaskan tanggungjawab.

Berbakul-bakul sindiran di laman sosial dilemparkan kepada institusi berkenaan, malah penduduk dan ketua kampung juga menerima tempias didakwa mengabaikan kebajikan warga emas itu.

Rupa-rupanya itu bukanlah situasi sebenar.

Iklan

“Duit bantuan bulanan cukup. Saya berniaga untuk hilangkan rasa bosan duduk di rumah,” kata nenek itu yang nama sebenarnya, Che Munah Che Man berusia 82 tahun.

Che Munah juga tidak tinggal sendiri, sebaliknya bersama suami, Abdullah Jusoh, 66, dan anak tirinya, Mohd Rosli Abdullah berusia 31 tahun.

Nampaknya ‘tuduhan’ terhadap pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga terjawab apabila Pegawai JKM Daerah Pasir Puteh, Wan Nor Hayati Wan Husain memberitahu, warga emas berkenaan menerima bantuan bulanan JKM sejak tahun 2014 sebanyak RM350.

Kemudian, dinaikkan kepada RM500 mulai tahun ini dan bantuan bulanan yang diterima tidak pernah tertunggak.

Ingat, tak salah kita membantu golongan memerlukan dan terjejas khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dek pandemik Covid-19.

Cuma perlu ada sisi empati menjaga aib muka penerima dan berhati-hati berkongsi content supaya tidak berlaku isu pihak itu dan ini dipersalahkan.