KES buli bukan cerita baru. Ia sentiasa berlaku tidak mengira masa, tempat mahupun suasana.

Jika dilihat video kejadian buli yang dimuat naik di laman Facebook mahupun YouTube, ramai yang merah telinga dan panas hati kerana geram.

Buli berlaku apabila seseorang cuba melakukan sesuatu dengan niat untuk membahayakan atau menakut-nakutkan orang yang lain yang dianggap lemah.

Seperti dua hari lalu, kecoh di laman sosial dengan kes buli yang terjadi di sebuah sekolah di Pahang.

Perkara itu didedahkan seorang wanita yang mendakwa anak perempuannya dibuli apabila pakaian seragamnya diconteng dan rambutnya digunting semasa tidur.

Wanita tersebut mendakwa kejadian berkenaan sudah lama terjadi kepada anaknya sejak Jun lalu, namun apabila membuat laporan kepada warden asrama dan pihak sekolah, tiada tindakan selanjutnya diambil.

Pun begitu, semalam, siasatan awal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan mendapati tidak wujud sebarang unsur gengsterisme dalam kejadian buli yang didakwa berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuantan itu.

Ketua Polis Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu memaklumkan kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Katanya, pihak polis telah menerima laporan dari pihak sekolah dan ibu mangsa serta mengambil tindakan merakam percakapan mereka yang terlibat bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, polis Kuantan juga menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang posting perkongsian yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan daripada pihak berkuasa.

Baca juga “Anak bukan beban, punca kita tak terurus.” Ibu ini dedah rahsia tetap tampil bergaya walau punya anak ramai!

Buli

Namun, walaupun kes tersebut merupakan buli atau tidak, untuk mengelakkan kejadian tidak diigini terjadi di asrama, Bibir Merah berpendapat anak-anak perlu didedahkan dengan perbuatan baik atau buruk seawal usia ketika di rumah.

Kes-kes buli di sekolah khususnya berasrama memang menjadi keresahan buat golongan ibu bapa. Tiada siapa yang sanggup melihat anak diperlakukan perkara buruk kan?

Apapun alasan, kejadian buli tetap berkait dengan didikan ibu bapa. Dalam kebanyakan kes, kejadian buli jelas menunjukkan ibu bapa gagal mendidik anak-anak mereka menghormati insan lain.

Sudah menjadi fitrah anak-anak, mereka sentiasa perlu diajar dan dididik dengan ilmu, adab, mengenal rasa hormat, dilengkapkan dengan nilai sabar, rasional dan rasa tanggungjawab.

Namun ada beberapa faktor lain juga seperti pembelajaran dari sekeliling, niat membalas dendam kerana pernah menjadi mangsa buli atau penderaan, ingin menunjukkan kuasa dan mengawal orang lain, benci kepada individu tertentu dan hilang rasa kasihan atau ihsan sesama insan, akibat kurangnya ajaran agama serta moral.

Iklan

Baru 11 tahun tapi dah murung teruk. Dihambur dengan bahasa kesat ketika PDPR jadi punca

Oleh itu, Bibir Merah senaraikan lima peranan ibu bapa untuk mengekang kejadian buli menurut Perunding Motivasi Keluarga Zaid Mohamad, sekali gus mendidik anak-anak menjauhi kekerasan dan lebih rasional dalam tindakan.

1. Pastikan anak kita tidak menjadi pembuli

  • Pupuk nilai murni dan didik anak supaya menghormati serta prihatin kepada orang lain.
  • Pastikan mereka boleh bergaul secara positif.
  • Tangani perasaan marah dan kecewa secara positif.
  • Tegas dalam menjaga hak diri tanpa menjadi agresif.

2. Pastikan anak faham kepentingan melaporkan kes buli melalui;

  • Galakkan mereka bercerita mengenai perkara yang berlaku di sekolah.
  • Cipta suasana selamat untuk mereka bercerita.
  • Pastikan mereka faham perbezaan antara ‘melapor’ dan ‘menyibuk hal orang lain’.

3. Memerhati dan memantau aktiviti anak-anak

  • Peka kepada perubahan sikap seperti kemurungan, ketakutan atau kesan fizikal yang tidak dijangka.

Baca juga “Banyak masa dengan anak, stabil mental, fizikal.” Mak-mak di Jepun jarang bertukar jadi ‘naga’ dengan anak. Ini sebabnya ramai tak tahu!

Iklan

4. Menjadi pendengar yang baik kepada anak-anak

  • Luangkan masa untuk mendengar keluh kesah mereka.
  • Usah terlalu cepat menilai sebelum mendengar keseluruhan cerita.

5. Kenal pasti kelemahan anak-anak

  • Berusaha membina keyakinan diri mereka melalui aktiviti positif.
  • Hargai kebolehan unik anak-anak contohnya melalui muzik, sukan, akademik dan lain-lain.

Kita sama-sama usaha ya, moga ada kebaikan untuk anak-anak dalam membendung kejadian buli di kemudian hari.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan.