PERBUATAN ibu bapa yang gemar membandingkan anak-anak bukan satu perkara baharu dan pelik dalam sesebuah institusi kekeluargaan.

Situasi begitu akan berlaku tidak mengira sama ada dalam kalangan adik beradik sendiri, saudara-mara ataupun kenalan lebih-lebih lagi melibatkan soal akademik.

Dr Suriati Sidek

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Suriati Sidek ketika diajak berbicara tentang topik hangat itu berkata, ibu bapa sepatutnya perlu lebih peka dan berwaspada terhadap implikasi yang bakal tercetus jika isu perbandingan tidak dikawal atau dihentikan dengan segera.

Dr Suriati berkata, lazimnya penjaga dilihat lebih cenderung melihat tahap kehebatan anak dalam bidang akademik dengan orang di sekelilingnya.

“Namun, ketahuilah jika anak-anak berasakan diri mereka sentiasa dibandingkan, perkara itu akan menyebabkan ‘kecederaan‘ emosi kepada mereka, sekali gus boleh membunuh minat dan potensi mereka.

“Sebaiknya jangan terlalu membandingkan mereka sehingga mampu menghilangkan keyakinan terutama dengan kata-kata seperti ‘mengapa kamu tidak mampu menjadi sebaik mereka yang lain?‘. Ucapan sebegitu kedengaran seperti motivasi tetapi pada zahirnya tidak sama sekali,“ jelas beliau panjang lebar.

Memberontak

Dr Suriati menambah, sikap berkenaan biasanya wujud dalam diri sesetengah ibu bapa disebabkan keinginan mereka untuk kelihatan hebat dan disegani oleh masyarakat sekeliling.

Namun, ibu bapa jenis itu tidak sedar bahawa perilaku tersebut hanya akan meningkatkan tahap kegelisahan si anak.

“Jika anak rasa dirinya gagal menjadi sebagus orang lain, hal itu akan membuatkannya kecewa. Mereka juga bimbang diri akan dimarahi ataupun dipukul.

“Pada masa sama juga, anak-anak akan menjadi pasif dan tidak berani untuk mengorak langkah memulakan sesuatu aktiviti kerana mereka kurang percaya pada kebolehan diri sendiri.

“Kesan psikologi itu tidak mustahil boleh berlarutan sehingga si anak dewasa nanti. Ia secara tidak langsung memberi impak kepada kesihatan mental termasuk menggugat hubungan kekeluargaan,“ ujar beliau yang juga tidak menolak kemungkinan bahawa hubungan sesama ahli keluarga akan menjadi renggang dan anak-anak juga akan hilang hormat kepada ibu bapa.

Antara kesan lain yang boleh berlaku adalah pemberontakan atau perbuatan agresif. Antara yang paling ditakuti adalah anak-anak yang menjadi mangsa perbandingan akan terlibat dalam kes jenayah seperti buli semata-mata untuk melampiaskan rasa marah dan tidak puas hati.

Situasi tersebut bukan sahaja memberi impak kepada keluarga, malah masyarakat turut terkena tempias buruk yang mungkin mengancam keselamatan sekeliling, jelas Dr Suriati.

Jangan berdendam

Mengulas lanjut, ahli akademik itu berkata, ibu bapa perlu mengetahui bahawa setiap anak merupakan kurniaan ALLAH SWT dan dijadikan berbeza dari pelbagai aspek termasuk rupa paras, minat, karakter, kebolehan, personaliti, kemahiran dan sebagainya.

“Sokong dan bantu mereka dalam apa juga bidang selagi tidak bertentangan dengan perbuatan tidak sihat atau jenayah.

Iklan

“Seperti yang saya katakan tadi, setiap anak mempunyai potensi mereka tersendiri, jadi kita sebagai ibu bapa perlu bertindak lebih berhemah dan kenal pasti kelemahan serta kekuatan mereka.

“Bantu anak-anak dengan memberikan sokongan moral dan memperbanyakkan komunikasi agar mereka tidak berasa tersisih.

“Bayangkan jika kita diperlakukan sebegitu, adakah ia satu perkara yang baik atau seronok?“ soal Suriati kepada ibu bapa di luar sana.

Dalam pada itu, pakar motivasi terkemuka, Profesor Datuk Dr Muhaya Mohamad menasihatkan agar anak-anak memaafkan ibu bapa yang suka membandingkan diri mereka dengan sesiapa pun waima dengan darah daging sendiri.

“Kita kena maafkan mak ayah kita sebab mak ayah kita mungkin dibandingkan oleh mak ayah dia dulu,“ katanya.
Ujar beliau, sebagai contoh, jika ibu bapa kita membandingkan kita dengan abang sendiri, kita harus mencari apakah klu yang membuatkan mereka lebih cenderung ke arah diri si abang.

“Kemudian, kita cuba bina keyakinan diri sendiri, cuba lakukan ciri-ciri yang membuatkan abang kita lebih berjaya,“ katanya.

Iklan

Dr Muhaya turut memberi peringatan tegas. Ujar beliau, elakkan menyimpan amarah, apa lagi memendam rasa jikalau ibu bapa melebihkan adik-beradik yang lain.

“Sebab kalau nak berjaya, mesti ikut orang berjaya, betul tak? Jadi, buang penyakit hati, dengki, rendah diri dan sebagainya. Jadi positif, optimis, perbaiki diri dan kehidupan kita,“ katanya lagi.

Justeru, hentikanlah sikap membanding-bandingkan kerana perbuatan seumpama itu hanya merugikan dan boleh membuatkan mental anak cepat koyak!

 

Jangan lupa follow Sinarplus di Instagram