Adik Nurul Adlina menderita sakit tulang punggung, idam mahu motosikal elektrik untuk mudah bergerak

“TIADA apa lagi yang saya nak minta selain doa agar anak saya terus sihat, walau dia tak sempurna seperti orang lain. Saya juga mengharapkan bulan Ramadan ini membawa keajaiban buat kami sekeluarga.”

Demikian ungkapan penuh emosi Rasida Ahmad ketika ditanya apakah harapannya sempena bulan yang penuh keberkatan itu.

Sebagai manusia biasa, diuji zuriat yang menderita kecacatan pada tulang punggung (Sacral agnesis) sejak dilahirkan menjadikan suri rumah berusia 49 tahun itu semakin tabah.

Anak bongsunya, Nurul Adlina Mohd Amin yang kini berusia 15 tahun hanya bergantung dengan kerusi roda.

Remaja itu sudah tidak boleh berjalan disebabkan lututnya yang tidak boleh membengkok dan tapak kaki merekot ke dalam.

Nurul Adlina

Lagi membuatkan Nurul Adlina menderita, kondisi kelainan tersebut menyebabkan buah pinggangnya tidak berfungsi secara normal.

Beliau juga terpaksa dipasangkan tiub pada saluran kencing seumur hidup.

Baca juga Meya hanya mampu mengesot, anak penjual donut ini derita penyakit jarang jumpa di dunia

Ketika penulis menghubungi Rasida, anaknya itu sedang ditahan di wad disebabkan lubang fistula kedua pada button hall bernanah.

“Sekarang ini, dia terpaksa dimasukkan ke hospital selepas doktor mendapati berlaku jangkitan kuman. Mereka mahu pastikan kuman tak merebak ke tempat lain dan merosakkan fistulanya.

Nurul Adlina

“Kalau rosak ‘benda itu’, mana nak cari duit ganti baharu,” ujarnya yang menetap di Kampung Kebumbung, Padang Serai, Kedah.

Setiap butiran kata-kata wanita itu sungguh menusuk kalbu. Melihat foto yang dimajukan kepada penulis sebelum kami berbual di corong telefon membuatkan pelbagai soalan mahu dilayangkan kepadanya.

Baca juga Patah tulang lebih 50 kali. Adik Khayla perlu dana besar untuk pembedahan

Kepada satu pertanyaan, Rasida mengakui, ketika menghamilkan Nurul Adlina, pihak hospital pernah menasihatkannya untuk menggugurkan sahaja kandungan.

Nurul Adlina

“Hasil diagnosis mendapati, terdapat kemungkinan anak saya cacat selepas melihat keadaan pelik kakinya ketika imbasan perut dilakukan. Namun, suami tak sampai hati sebab bayi sudah besar.

“Suami pujuk saya supaya terima seadanya kerana dia percaya itulah amanah yang ALLAH beri buat kami, mesti ada hikmah di sebaliknya,” imbaunya.

Mahu motor elektrik

Selepas Nurul Adlina selamat dilahirkan, segala telahan doktor ternyata benar. Reda dengan ketentuan ILAHI, Rasida memberitahu, pada awalnya, si kecil itu tidak banyak kerenah dan mudah dijaga.

Namun, ketika usia mencecah 12 tahun, permata kesayangannya sudah mempersoalkan kenapa keadaan beliau sebegitu rupa? Kenapa dirinya tidak normal seperti orang lain?

Nurul Adlina

“Dia pernah mengalami kemurungan teruk. Memberontak tidak mahu makan ubat dan tak mahu buat rawatan dialisis. Bila jadi begitu, buah pinggangnya bermasalah dan perlu dikejarkan ke unit kecemasan,” ceritanya sambil menangis teresak-esak.

Iklan

Nyawa Nurul Adlina pada saat itu, bagaikan telur di hujung tanduk.

“Namun dengan izin ALLAH, dia masih bernafas. Tiga bulan kami berkampung di hospital sebelum dibenarkan pulang. Masalah depresi Adlina sudah pun semakin baik kerana sesi kaunseling banyak membantu,” kata wanita tersebut yang tidak pasti sama ada kecacatan itu berpunca daripada masalah genetik atau sebaliknya.

Baca juga Derita sakit usus dan SLE, hidup remaja ini berubah 360 darjah. Bantuan RM30,000 diperlukan untuk kos perubatan

Selain bergantung dengan suplemen tambahan dan lampin pakai buang, gadis itu juga perlu menjalani dialisis sebanyak tiga kali seminggu dan menukar tiub pada saluran kencing (enam minggu sekali) bagi mengelak jangkitan kuman.

Nurul Adlina

Memikirkan semua kos berkenaan membuatkan Rasida hilang punca. Dirinya hanya seorang suri rumah, manakala suami, Mohd Amin Jaafar, 51, hanya bekerja di ladang ayam dengan upah tidak menentu.

“Nasib baiklah anak sulung yang bekerja di estet banyak membantu. Cuma itulah, kadang-kadang tak cukup wang untuk ke hospital bila tiba masanya sebab kami terpaksa sewa kereta atau teksi untuk ke Hospital Pulau Pinang. Kereta yang ada memang tak boleh jalan jauh,” beritahunya.

Sebelum mengakhiri perbualan, Rasida sempat berkongsi hasrat yang dipendam puteri kesayangan.

Iklan

Ujarnya yang menolak perasaan segan, Nurul Adlina mengimpikan untuk memiliki sebuah motosikal elektrik yang boleh membantu beliau bergerak di luar rumah.

Nurul Adlina

“Itulah yang sering disuarakannya. Saya hanya mengangguk, tapi dalam hati terfikir bagaimana saya nak cari wang?,” akuinya.

Jika orang ramai ingin membantu merealisasikan impian remaja itu dan pada masa sama, meringankan kos perubatan beliau, sumbangan anda amat dialu-alukan.

Bantuan kewangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 0212329000217323 atas nama Nurul Adlina Binti Mohd Amin.

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.