BUKAN mudah bagi Siti Nur Atikah Ismail untuk meneruskan kehidupan seperti biasa, apatah lagi ketika berada di bulan Ramadan yang mulia ini.

Kehilangan suami tercinta, Raimee Ramli, 38, akibat kanser usus pada Ogos tahun lalu benar-benar membuatkan wanita tabah itu hilang arah untuk membesarkan lima anak yang masih kecil.

Kepada SinarPlus, wanita berusia 30 tahun itu memberitahu, terlalu sukar untuknya menerima hakikat bahawa lelaki yang menjadi tulang belakang dalam keluarga selama ini pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya.

“Saya rungsing memikirkan bagaimana mahu mencari duit untuk menyara keluarga memandangkan simpanan suami sudah habis kerana menanggung kos perubatan sebelum ini.

Siti Nur Atikah Ismail

“Kadang-kadang saya pernah terfikir kenapa ALLAH menguji kami dengan ujian berat yang tidak tertanggung ini? Namun jauh di sudut hati, saya percaya, ALLAH menghadirkan dugaan ini kerana DIA sayangkan kami,” katanya dengan nada bergetar.

Penulis kemudian secara perlahan-lahan bertanyakan bagaimana keadaan arwah Raimee sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Baca juga Dua beradik hidap penyakit jantung berlubang mohon bantuan orang ramai, si adik memerlukan pembedahan segera

Seperti menahan sebak, Siti Nur Atikah atau senang disapa Atikah meminta sedikit masa untuk bercerita. Selepas lebih kurang seminit, beliau mula bersuara.

Cerita wanita tersebut, suaminya yang bekerja sebagai buruh binaan secara tiba-tiba disahkan menghidap kanser usus tahap 5 pada Mac tahun lalu.

Siti Nur Atikah Ismail

“Puncanya suami mengadu sakit perut dan selepas dibawa ke hospital. Kemudian, doktor maklumkan dia menghidap kanser usus. Saat itu, saya sedang sarat mengandung anak kelima. Saya memang terkejut besar dan tidak mampu berkata apa-apa,” imbaunya yang menetap di Kampung Manal 1, Jalan Jedok, Tanah Merah, Kelantan.

Meskipun sudah menjalani rawatan kemoterapi untuk kitaran pertama, namun kata Atikah, keadaan arwah semakin lemah. Tiada jalan lain, beliau nekad membawa cinta hatinya pulang ke rumah pada Ogos tahun lalu.

Baca juga Derita sakit usus dan SLE, hidup remaja ini berubah 360 darjah. Bantuan RM30,000 diperlukan untuk kos perubatan

“Apa yang saya boleh katakan, naluri saya sudah merasakan sesuatu lebih-lebih lagi suami sudah menunjukkan tanda-tanda yang dia mahu ‘pergi’. Antaranya minta saya potongkan kuku dan beritahu yang dia bermimpi saudara yang sudah meninggal dunia.

Siti Nur Atikah Ismail

“Apabila dia bercerita tentang mimpi itu, saya hanya sedapkan hatinya dan berkata, mungkin ALLAH mahu kita doakan yang baik-baik untuk orang yang sakit,” ujarnya.

Lebih meruntun perasaan, kata Atikah, Allahyarham juga tidak berhenti-henti meminta maaf kepadanya kerana menganggap diri beliau menjadi bebanan kepada keluarga.

Baca juga Tidak sanggup melihat anak meraung setiap kali dressing, ibu ini mohon doa dan sumbangan orang ramai

“Suami turut minta izin untuk benarkan dia meninggalkan kami dan mahu melihat wajah anak bongsu kami buat kali terakhir.

“Ya, sampai bila-bila saya tak dapat lupakan detik arwah suami rebah di sisi anak dan menghembuskan nafas terakhir di depan mata saya,” ujarnya yang terus menghamburkan tangisan.

Berjimat cermat

Menyambung luahan hati, Atikah berkata, anak-anaknya iaitu Muhammad Rafa, 9; Muhammad Rafshad, 8; Muhammad Raqib, 6; dan Muhammad Rakin, 3, sangat menyayangi arwah.

Iklan

Sesungguhnya, pemergian bapa mereka menyentap jiwa tiga kanak-kanak itu yang sudah kenal apa itu erti kesedihan.

“Dulu, papanya rajin bawa mereka makan angin walaupun sekadar pusing-pusing kampung dan beli apa sahaja yang diminta.

Siti Nur Atikah Ismail

“Selepas arwah tiada, anak-anak selalu kata, ‘mama sudah tak masak sedap-sedap macam dulu, minta beli KFC pun berkira tidak macam papa’.

“Saya hanya mampu tersenyum dalam terpaksa. Saya cuma berkata, ‘tunggulah nanti ada duit lebih, mama belikan’,” katanya yang terpaksa berjimat cermat dengan duit yang semakin menyusut untuk keperluan yang lebih penting.

Beritahu wanita itu lagi, sebelum ini beliau mengambil upah membuat kuih. Namun, keadaan puteri bongsunya, Nur Raisha yang berusia enam bulan memerlukan perhatian khusus daripadanya.

Baca juga Hati tersentuh lihat Rahil, Iman menderita penyakit kepala besar sejak lahir. Mereka perlukan bantuan kita

Iklan

“Sebenarnya, Raisha pernah mengalami masalah najis berdarah ketika usianya 32 hari lagi. Melihatnya, saya terus teringatkan simptom awal arwah suami yang berdepan dengan situasi sama.

“Selepas pemeriksaan doktor, diagnosis awal mengatakan Raisha dijangkiti kuman dan diberi rawatan antibiotik buat sementara waktu. Doktor pun ada kata, pemeriksaan lanjut akan dibuat sekali lagi selepas Raisha besar sedikit memandangkan keluarga mempunyai sejarah kanser,” katanya yang tidak sanggup berdepan kehilangan buat kali kedua.

Menurut ibu tunggal itu, tidak hanya pada bulan Ramadan, sambutan Syawal juga nanti mungkin sekadar ala kadar sahaja.

Siti Nur Atikah Ismail

“Tipulah kalau saya kata tak teringin untuk belikan baju raya baharu untuk anak-anak demi menggembirakan hati mereka. Namun, melihat keadaan kami, semua itu terpaksa dipendamkan.

“Sekarang ini pun saya sudah bersyukur diberikan rezeki jiran dan ahli keluarga yang prihatin. Cuma untuk duit kecemasan pada saat diperlukan, memang saya jujur katakan, tiada simpanan lagi,” ceritanya tanpa berselindung.

Kepada orang ramai yang ingin membantu meringankan beban ibu tunggal dan lima anak yatim itu, bantuan anda amat diperlukan. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 164258499160 atas nama Siti Nur Atikah Ismail.

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI