TIDAK pernah terlintas di dalam benak Jariyah Irahim, 51, anak bongsunya yang merupakan seorang remaja periang dan ‘sahabat baik’, kini hanya mampu terlantar di atas katil.

Jika tidak bernasib baik, mungkin Zaidatina Makmur, 16, akan lumpuh dalam tempoh masa yang agak panjang.

Kepada SinarPlus, Jariyah memberitahu, segala-galanya bermula ketika Zaidatina yang mesra dipanggil Baby mengadu sakit pada bahagian tengkuknya.

“Pada asalnya saya ingatkan sakit Baby tak boleh mendongak disebabkan kesan daripada jatuh motosikal ketika usianya 14 tahun. Namun, bila Baby kerap menangis menahan sakit, saya pergi mendapatkan rawatan di klinik berhampiran.

“Melihat keadaannya, doktor di klinik itu nasihatkan saya untuk segera membawa Baby ke Hospital Sungai Buloh, Selangor untuk rawatan kecemasan. Kemudian, Baby terus dikejarkan dengan ambulans dan semua itu berlaku dengan sangat pantas,” ceritanya yang menetap di Kampung Pasir Tuntung, Kuala Selangor, Selangor.

ketumbuhan saraf tunjang baby

Ibu kepada empat cahaya mata itu seolah-olah sedang menahan kesedihannya tatkala membutirkan bicara.

Dengan nada bergetar, beliau berkata, selepas doktor memaklumkan keputusan pemeriksaan imbasan computed tomography, pandangannya menjadi gelap-gelita.

“Masakan tidak, pakar beritahu terdapat ketumbuhan pada saraf tunjangnya. Selepas itu, prosedur untuk membuang (ketumbuhan) dijadualkan pada 21 Oktober 2019. Hanya ALLAH SWT saja tahu perasaan saya ketika itu.

“Pun begitu, dua hari sebelum tarikh pembedahan, keadaan Baby semakin lemah. Selepas tangannya kebas, Baby kemudian diserang strok separuh badan sebelum lumpuh sepenuhnya,” katanya yang sudah mula menangis teresak-esak ketika mengimbau kenangan pahit anaknya itu.

Baca juga Pilu! Adik Qhayla jalani 7 pembedahan sejak dilahirkan. Sama-sama kita hulurkan bantuan kepadanya

Beritahu Jariyah lagi, pada awalnya beliau agak sukar menerima perubahan drastik Baby.

“Sungguh tidak disangka, dulunya Baby seorang yang aktif dan suka bergurau. Dialah kawan dan peneman di rumah ini selain tiga abangnya. Babylah yang menceriakan suasana dan memang tidak sunyilah rumah ini kalau dia ada.

“Namun, kini semuanya berubah. Saya jadi gementar dan takut memikirkan bagaimana masa depan Baby lebih-lebih lagi kalau saya sudah tiada,” rintihnya.

Ujian berganda

Kita hanya merancang, sesungguhnya ALLAH YANG MAHA BERKUASA menentukan semuanya.

Harapan Jariyah untuk melihat cahaya matanya sembuh kembali selepas pembedahan, nampaknya tidak kesampaian. Baby masih tidak menunjukkan prestasi kesihatan yang diharapkan.

“Sebenarnya jika dihitung kembali, sudah hampir dua tahun anak saya terlantar. Hati saya remuk tatkala melihat dugaan yang terpaksa diharungi Baby setiap hari.

ketumbuhan saraf tunjang baby

“Selain punggungnya melecet teruk sehingga menampakkan tulang, berlaku juga pendarahan pada tekak yang sudah ditebuk untuk prosedur trakeostomi.

“Keadaan itu membuatkan saya panik dan trauma. Paling saya tak lupa, jantung Baby pernah terhenti sebanyak lima kali sepanjang tempoh dua tahun. Beliau juga pernah kritikal hingga terpaksa ditidurkan selama 17 hari,” katanya.

Iklan

Selain terpaksa bergantung kepada tiub pada pundi kencing, Jariyah juga bagaikan jururawat yang menguruskan keperluan Baby 24 jam, termasuk menyedut kahak remaja tersebut lebih enam kali sehari bagi mengelakkan berlaku sesak nafas.

Baca juga Sudah kering air mata, Siti Suhana mohon bantuan rawat dua anak derita kanser limfoma

Dengan kudrat yang ada, wanita berkenaan tidak sedikitpun mengeluh menjaga zuriatnya yang kini dibaratkan seperti seorang bayi.

Beliau juga sentiasa berjaga malam kerana bimbang saluran pernafasan Baby tersumbat.

Apabila ditanya mengenai soal bantuan dan kos yang perlu ditanggung, Jariyah bersyukur kerana menerima pertolongan daripada agensi kerajaan secara bulanan, sekali gus meringankan beban mereka.

ketumbuhan saraf tunjang baby

Iklan

Pun begitu, bergantung hidup dengan pendapatan suami, Makmur Bujang, 64, sebagai nelayan membuatkan suri rumah sepenuh masa itu buntu dengan perbelanjaan rawatan yang perlu ditanggung seumur hidup.

“Meskipun anak-anak lain ada membantu dengan gaji masing-masing, namun jika dikira semua itu, memang tidak cukup untuk membayar kos keperluan yang mendesak.

Jangan lupa follow kami di Instagram!

“Untuk ulang-alik ke hospital bagi menjalani rawatan susulan pun, saya sedikit bimbang. Kami tiada kenderaan untuk ke sana dan hanya bergantung kepada ihsan orang ramai atau menghubungi ambulans.

“Apa-apapun, saya tidak akan berhenti berdoa, saya percaya dengan keajaiban ALLAH. Tidak mustahil, mungkin pada suatu hari nanti, Baby mampu berjalan semula,” katanya penuh harapan.

Kepada pembaca SinarPlus yang bersimpati dan menyimpan niat membantu keluarga serba memerlukan ini, boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional 1012829844230585 (Jariyah Irahim).