SAAT mata meleret ke arah jam, jarum sudah menunjukkan hampir pukul 2 petang. Kebimbangan mula terasa apabila hujan terus menerus membasahi bumi sejak pukul 10 pagi lagi.

Detak jantung semakin berdebar mengenangkan sesi fotografi yang diatur seharusnya berlangsung sekitar pukul 2.30 petang.

Seketika menanti, mujur orang yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul. Dalam keadaan tergesa-gesa personaliti cantik, Sofea Nur Solehha Tun Nor Idris tiba di pejabat Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor.

Beliau memberikan senyuman paling manis sambil sekali-sekala membetulkan beberapa barangan yang dibawa bersama. Tanpa membuang waktu, langkah disusun dan kami terus bergerak ke Studio A untuk memulakan penggambaran.

Setelah selesai, perbualan empat mata pun dimulai. Sejujurnya penulis membayangkan beliau seorang yang memiliki personaliti seperti diva dan perlu ‘disembah‘ ratu memandangkan pesona yang dipamerkan menerusi rancangan 999.

Bukan apa, sisi dirinya membuatkan ramai yang terasa gerun untuk mendekati empunya badan.

Bayangan yang difikirkan itu bagaimanapun ternyata telahan palsu semata-mata. Mesra membahasakan diri sebagai Sofea, beliau merupakan seorang yang murah dengan senyuman dan memiliki perwatakan yang lemah lembut.

Bijak menyusun kata satu persatu, ibu kepada Ryo Rayyan, 5, mula berkongsikan kisah perjalanan kerjaya dalam bidang pengacaraannya sejak berusia 18 tahun.

Cabar diri

Membelek semula lembaran sejarah lebih sedekad lalu, Sofea dahulunya bertugas sebagai wartawan sukan permotoran dan perlumbaan automobil, di samping menjadi pengacara sambilan.

Akui tuan punya badan, dunia penulisan banyak membantu dan melatihnya untuk bercakap di depan kamera sebagai wartawan penyiaran.

Beliau juga masih tidak dapat melupakan peristiwa pertama kali diminta untuk mengambil alih tugas sebagai hos dalam sebuah acara sukan.

“Diletakkan dalam satu situasi apabila orang yang patut bertanggungjawab itu tidak datang, saya pula terpaksa menjadi bidang terjun. Waktu itu saya terpaksa mengendalikan majlis yang dihadiri kira-kira 1,000 orang tetamu.

“Kemudian perlahan-lahan saya menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya sambilan dan seterusnya bertemulah dengan beberapa kenalan satu industri. Salah seorangnya teman baik saya, Terrence Dass yang bertanya sama ada berminat untuk menjadi pengacara atau tidak.

“Terus terang saya menolak mentah-mentah kerana tidak terfikir untuk bekerja dengan stesen televisyen. Bagaimanapun setelah dipujuk, akhirnya saya menyahut cabaran dan menyertai RTM pada tahun 2013,” ceritanya bersungguh-sungguh.

Mengendalikan rancangan berbahasa Inggeris, Hello On 2 di TV2 selama empat tahun, Sofea kemudian diberi kepercayaan mengendalikan program bual bicara, Selamat Pagi Malaysia di TV1 pun.

Tanpa berselindung, wanita berdarah campuran Melayu, Cina itu mengakui dirinya tidak fasih berbahasa Melayu. Peringkat awal perkara itu menjadi satu cabaran besar buat beliau apatah lagi perlu keluar dari zon selasa.

“Daripada seorang yang tidak tahu bertutur bahasa Melayu langsung, saya membangunkan kemahiran itu sedikit demi sedikit.

“Tidak lama kemudian saya menjadi penyampai radio TraxxFM selama tiga tahun. Sejak itu, saya mula terdetik untuk mengubah haluan kerjaya dan memikirkan ‘penambahbaikan‘ yang boleh dilakukan dalam kerjaya,” tuturnya lembut.

Isu keselamatan

Apabila ditugaskan mengendalikan 999, saya berasa tidak yakin dan bimbang tentang keselamatan memandangkan ketika itu anak baru berusia tiga tahun. Namun, saya sentiasa berfikir tentang niat dan ikhlas dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Saya juga kena sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan bertenaga jika berlaku sebarang perkara.

Semangat itu lantas membuatkan Sofea nekad mengambil keputusan menghadiri uji bakat personaliti televisyen TV3 dan nyata rezeki berpihak kepadanya. Bermula sebagai pengacara rancangan Malaysia Hari Ini, Sofea diberi mandat mengendalikan beberapa program lain seperti Alert dan 999.

Tentu sahaja rancangan berkaitan jenayah, 999 telah melonjakkan namanya sehingga menarik perhatian khalayak. Memasuki tahun kedua, Sofea tidak menafikan wujud getar dalam hati lebih-lebih lagi perlu bergelumang di ‘sarang penjenayah‘.

Biarpun dikelilingi anggota berunifom, namun sebarang kemungkinan boleh berlaku tanpa diduga. Setiap kali melangkah keluar rumah, Sofea tidak putus mendoakan agar usahanya mencari rezeki sentiasa berada di bawah lindungan YANG MAHA ESA.

“Apabila ditugaskan mengendalikan 999, saya berasa tidak yakin dan bimbang tentang keselamatan memandangkan ketika itu anak baru berusia tiga tahun. Namun, saya sentiasa berfikir tentang niat dan ikhlas dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Saya juga kena sentiasa berada dalam keadaan bersedia dan bertenaga jika berlaku sebarang perkara,” ujar wanita penuh karisma itu.

Tidak keseorangan menguruskan segalanya, Sofea bersyukur kerana mendapat sokongan suami, ibu bapa dan mertua. Disebabkan jadual kerja yang tidak menentu, kehadiran keluarga amat penting buat beliau menyusun masa.

Fokus kepada satu perkara terlebih dulu antara konsep yang diamalkan Sofea agar dapat mengimbangkan di antara kerjaya dan rumah tangga.

“Ketika bekerja, saya memberi 100 peratus tumpuan dan begitu juga dengan keluarga. Meskipun berasa penat setelah pulang daripada kerja, saya tetap akan melakukan kerja rumah dan sekurang-kurangnya berbual dengan suami sebelum tidur. Prinsip saya, kita perlu buat sehabis baik supaya tidak menyesal pada kemudian hari. Saya tidak mahu pengakhirannya kecewa atau berputus asa,” ungkap beliau.

Iklan

Sofea turut memberitahu, dirinya tidak akan memberi perhatian kepada soal kerja atau leka bermain telefon pintar ketika bersama putera kesayangannya itu, meskipun hanya melakukan hal kecil seperti bersiar-siar di taman.

Terus terang, saya melakukan perkara itu bukan untuk cantik atau mendapat pujian, tetapi jika kecantikan itu satu perkara yang menyeronokkan hati, mengapa ia tidak boleh dilakukan? Kegembiraan itu tanggungjawab kita, jangan harapkan orang lain buat kita gembira kalau bukan kita sendiri menggembirakan diri sendiri

Hal gembira

Bercerita soal keluarga, suami dan anak, jelas terpancar aura bahagia pada wajah isteri kepada pelumba kereta, Mervyn Nakamura atau Mervyn Mohamed Abdullah itu.

Selain keluarga, ada satu hal lain yang turut menceriakan empunya badan. Kata Sofea, beliau suka bereksperimen dengan gaya dan warna rambut. Perkara itu sudah terbiasa dilakukan sejak kecil memandangkan ibu tercinta seorang penggaya rambut.

“Dalam bab ini (rambut), ada dalam kalangan penonton dan orang sekeliling menyedarinya. Sebenarnya, apa yang dilakukan itu merupakan sebahagian daripada kegembiraan. Lagipun hidup ini cuma sekali, jadi apa salahnya jika melakukan hal-hal yang menggembirakan.

“Terus terang, saya melakukan perkara itu bukan untuk cantik atau mendapat pujian, tetapi jika kecantikan itu satu perkara yang menyeronokkan hati, mengapa ia tidak boleh dilakukan? Kegembiraan itu tanggungjawab kita, jangan harapkan orang lain buat kita gembira kalau bukan kita sendiri menggembirakan diri sendiri,” nasihat beliau.

BACA JUGA Miliki banyak bakat terpendam, Anna Aljuffrey belum bersedia jadi pelakon

BACA JUGA Dr Afiq mahu terus tambah ilmu walau sudah bergelar bapa dan doktor. Tiada istilah jemu katanya!

Selain rambut, larian turut menjadi antara aktiviti kegemaran pengacara serba boleh itu.

Iklan

Sofea tidak menolak saat menyertai TV3, bentuk badannya agak berisi berbanding sekarang. Waktu itu, beliau tidak terfikir untuk kurus.

Namun, berlaku satu perkara yang terlalu sulit untuk ‘dikupas‘ membuatkan dirinya memilih untuk berlari. Hanya dengan berlari, beliau mampu ‘menyembunyikan‘ rasa kecewa, sedih, marah dan derita jiwa.

“Ada sebab (ambil keputusan untuk kurus). Sedikit saja yang boleh saya kongsi. Ketika itu, saya rasa keseorangan dan susah untuk membiasakan diri dengan persekitaran berbeza.

“Berbekalkan kasut sukan yang telah lama dimiliki, saya terus berlari tanpa henti. Saya melepaskan segala perasaan dan mencari ketenangan. Selepas enam bulan, saya mula melihat hasilnya dan berjaya turunkan berat badan.

“Saya juga mula aktif bersukan seperti bermain badminton dan menjaga pengambilan makanan. Sekiranya makan lebih, saya akan lebihkan juga jarak atau masa larian. Paling penting semuanya perlu seimbang,” ceritanya.

Sebelum menutup bicara, Sofea sempat berpesan kepada semua wanita di luar sana agar meletakkan sasaran dalam hidup.

Matlamat yang dipasakkan itu akan membuatkan kita terus berlari mengejar cita-cita sehingga berjaya. -NURUL FADILA AWALUDIN

Jangan lupa follow kami Instagram! dan layari portal SinarPlus

Dapatkan info daripada SinarPlus! Join grup Telegram kami DI SINI