“Tolong habiskan PKP ni secapat mungkin. Saya tak tahan dan tak sanggup menjadi mangsa pada encik suami…”. Itu adalah komen tular yang kini dijaja oleh orang ramai di pelbagai platform sosial media.

Komen itu tersebar gara-raga seorang wanita menulis di ruang komen ketika Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang berucap tentang situasi terkini Covid-19 secara langsung di laman Facebook baru-baru ini.

Akibatnya, sana sini disebar screenshot komen tersebut. Habis dijaja ke seluruh media sosial dan dijadikan bahan lawak!

Tak kurang juga yang mengaibkan wanita tersebut dengan meletakkan caption lucah dan tidak senonoh sehingga wanita itu juga akhirnya nekad untuk menutup akaun Facebook miliknya.

Benarlah kata pepatah Melayu, “terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya” yang membawa maksud berhati-hati apabila bercakap kerana ditakuti akan menyinggung perasaan orang lain atau akan menerima padahnya.

Namun, salah seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai @akhifairuz mendedahkan bahawa komen yang ditulis sehingga tular itu adalah bukan dibuat oleh wanita yang didakwa warganet sebaliknya ia perbuatan si suami.

Perkara itu dijelaskan oleh wanita itu sendiri yang juga merupakan seorang guru sebelum akaunnya ditutup.

Allahu! Dari sudut agama, aurat dan aib isteri perlu dipelihara oleh suami. Walaupun dunia telah moden tapi ajaran Islam kata tak boleh maka ia tak boleh dan bukan bahan lawak!

Suami guna Facebook isteri komen tamatkan PKP sebab tak ‘tahan’ akhirnya bawa padah

Di fahamkan, si suami juga telah membuat pengakuan di Facebook live baru-baru ini memang dia menggunakan akaun Facebook isterinya untuk menulis komen tersebut.

Katanya lagi, niat dia hanya ingin menyindir pihak kerajaan dan melawak sahaja. Bila warganet mula menyerang, komen itu segera dipaham namun malangnya ia telah di screenshot terlebih dahulu dan kini tersebar.

Iklan

Perbuatan lelaki yang membongkarkan kisah disebalik kejadian malang yang ditanggung wanita tersebut juga sangat dihargai oleh ahli keluarganya.

Salah seorang ahli keluarga yang didakwa adik kepada wanita itu mengucapkan terima kasih kerana menerangkan kepada warganet perkara sebenar.

Adiknya juga mendakwa kakaknya kini masih bersedih dengan apa yang telah berlaku dan menyifatkan perbuatan abang iparnya untuk melawak tidak kena pada tempatnya.

Iklan

SinarPlus juga berharap perkara ini tidak diperbesarkan. Jadilah kisah ini sebagai satu pengajaran buat kita semua.

Suami sepatutnya menjaga aib dan maruah isterinya. Marah atau herdik isteri di khalayak ramai juga adalah perbuatan yang dilarang oleh agama inikan pula membuka aib isteri secara umum. Kasihan si isteri. Wallahualam.