SUAMIKU syurgaku, demikian ayat pendek yang dituturkan wanita ini. Kisah ketulusan kasih sayang isteri kepada suami ini tular di laman sosial meruntun hati ramai.

Video Nik Junainah Nik Soh, 41, atau mesra disapa June menggendong suami tercinta Mazlan Othman, 48, menuruni rumah pangsapuri mereka yang berada di tingkat empat Pangsapuri Kasawari, Cheras, Selangor.

Rakaman dikongsikan aktivis masyarakat, Hamsatul Hamzah tular di laman sosial.

“Suamilah syurga saya, susah senang saya ingin sentiasa bersamanya,” demikian catatan Hamsatul tentang kata-kata June yang menjentik hati warganet.

Menurut June, suaminya Mazlan sakit sejak 12 tahun lalu. Biarpun lebih sedekad diuji, guru tadika itu tetap setia dan cekal menyokong lelaki itu.

“Suami sudah 12 tahun mengalami psoriasis (sakit kulit kronik). Disebabkan itu juga, beliau mengalami masalah sendi.

“Selain itu, beliau juga mengalami masalah hati iaitu hepatitis dan baharu sahaja menamatkan rawatan tibi (tuberkulosis) pada bulan Ogos baru-baru ini,” katanya.

Sebelum ini berupaya berjalan dengan sempurna, Mazlan hanya mengalami kesukaran bergerak selepas insiden pada Ogos lalu.

“Awal bulan Ogos 2021, suami saya tidak sedarkan diri di rumah dan terus dibawa ke hospital Serdang. Selepas Imbasan Tomografi Berkomputer (CT scan) doktor sahkan ada jangkitan kuman tibi dari paru-paru ke otak dan beliau ‘ditidurkan’ selama dua minggu lebih.

“Selepas keluar dari hospital beliau ada masalah untuk berjalan kerana mengalami kesakitan pada sendi punggung dan paha. Doktor lakukan X-ray dan mendapati sendi-sendi berkenaan berlaga yang menyebabkan suami sakit apabila berjalan.

“27 November 2022 baru-baru ini suami terjatuh di bilik air hingga luka pada dahi dan patah lengan kanan. Selepas kejadian paha kanannya semakin sakit dan tidak boleh berjalan selama seminggu,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Katanya kesakitan pada sendi suaminya menjadi kronik selepas kejadian itu. Malah kaki kanan Mazlan sakit tidak boleh berpijak ke lantai apabila berjalan.

“Mungkin disebabkan jatuh terhentak, kami risau ada patah tetapi apabila X-ray , Alhamdulillah tiada kepatahan cuma doktor beritahu ada sedikit kecederaan pada bahagian dalam sendi,” katanya yang memberitahu suaminya terpaksa memakai lampin pakai buang selepas kejadian itu.

Justeru, wanita tabah ini bertindak sebagai pemudah suaminya untuk bergerak dengan cara mengendong lelaki itu untuk ke mana sahaja termasuk menuruni pangsapuri mereka yang tidak dilengkapi lif.

Sementelah kini June perlu membawa suami menghadiri janji temu daripada pakar kulit, pakar sendi, pakar hati dan pakar tulang.

“Dalam sebulan tidak tentu, ada empat kali, ada dua kali. Boleh dikatakan dua kali sebulan dan fisioterapi,” katanya.

Pergerakan Mazlan yang terhad memerlukan lelaki itu dibantu. Wanita tabah itu bersyukur anak-anak remajanya, memahami dan ringan tulang membantu kebajikan si bapa.

“Apabila saya bekerja, anak-anak akan tengokkan bapa mereka. Nur Alya Maisarah, 16 tahun dan Muhammad Rasydan Fahtullah, 13 bergilir-gilir membantu sementelah persekolahan mereka berlainan sesi,” katanya.

Tidak hanya anak-anak, jiran tetangga yang prihatin tidak berkira dalam membantu mereka sekeluarga.

“Alhamdulillah ALLAH Maha Baik sentiasa mudahkan urusan kami. ALLAH hadirkan jiran dan sahabat yang selalu bantu kami pada saat kami memerlukan.

“Ada juga sahabat yang membantu menggendong suami ketika turun dan naik tangga jika ada pemeriksaan di hospital apabila diminta oleh suami saya. Mohon doakan juga semoga Allah selalu mudahkan urusan insan-insan yang baik ini. Terima kasih buat semua yang mendoakan kami,” tutur June ketika dihubungi SinarPlus.

Ketabahan June mengagumkan ramai wanita. Warga maya rata-rata mendoakan kesejahteraan beliau sekeluarga.

– “Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Semoga ALLAH balas segala pengorbanan Cikgu June dengan pahala berganda tanpa batas.”

– “Semoga dipermudahkan urusan beliau dan suami. Tabahnya seorang wanita yang bergelar isteri ….”

Iklan

– “Allahuakbar….Besar pahala buat isterinya.”

– “Masya-ALLAH, mesti suaminya orang yang hebat kerana berjaya mendidik isteri menjadi hebat.”

– “Semoga dipermudahkan segala urusan dan suaminya dikurniakan kesembuhan.”

– “Kagum dengan semangat isterinya. Pilihlah mana-mana pintu syurga.”

Diuji hebat, penulis mengagumi dan sikap positif June dan sempat bertanya tip kekuatan dalaman wanita ini.

“Siapa sahaja tidak sedih, tetapi kita perlu fikirkan yang ALLAH sentiasa ada.

“Kekuatan saya ialah suami dan anak-anak.Tidak lupa doa, sokongan daripada ahli keluarga dan sahabat-sahabat.

Iklan

“Ada seorang sahabat saya pernah berkata “June, kita wanita hebat!”,” tuturnya.

Foto keluarga kecil June ini dirakam pada tahun 2019.

Biarpun Mazlan yang sebelum ini bertugas sebagai juruteknik dan mendapat pencen ilat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), June kini menggalas tugas mencari rezeki buat keluarga.

Pendapatannya sebagai guru tadika ‘cukup-cukup sahaja’ untuk menampung perbelanjaan makan minum keluarga, perubatan suami dan persekolahan anak-anak.

Sementelah kos perubatan dan ulang alik ke Hospital Serdang mencecah ratusan ringgit sebulan. Malah menurut June, suaminya sering kehabisan ubat tahan sakit dan perlu membelinya di farmasi.

Pun begitu, June bersyukur anak-anak amat memahami kewangan keluarga dan tidak pernah meminta di luar kemampuan.

Anda yang ingin menyumbang bagi meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan bantuan kepada akaun Maybank Pertubuhan Ikatan Wanita Prihatin (PIWP)
(5622 6355 9574).

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.