SELEPAS menghirup secawan teh tarik dan menjamah sekeping roti bakar berintikan kaya, Suhaili Micheline Ahmad Kamil segera mengambil sehelai tisu lalu menyapu lembut bibirnya.

Kemudian, wanita berusia 35 tahun yang mesra disapa Sue itu membetulkan postur badan dan duduk tegak.

“Maaf ya, duduk begini (tegak) bukan bererti ‘sombong‘, tetapi dah jadi tabiat sejak kecil. 

“Sebagai penari, perkara utama yang dititikberatkan adalah sentiasa menjaga postur badan khususnya ketika menari. Pun begitu, ia terbawa-bawa pula dalam rutin harian walaupun hanya duduk bersantai di kafe,“ kata Sue membuka bicara ketika ditemui SinarPlus di sebuah kafe kopitiam di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin lalu.

Mungkin ada yang tertanya-tanya, siapakah gerangan wanita tersebut sehingga wajah beliau diangkat sebagai penghias sisipan SinarPlus minggu ini.

Biarpun bukan penyanyi ataupun pelakon, namun Sue ialah seorang koreografer profesional yang popular dalam liganya.

Berdasarkan profilnya, beliau sentiasa menjadi tulang belakang bagi selebriti popular tempatan apabila melibatkan elemen dansa baik untuk persembahan pentas mahupun di layar perak. 

Anak jati kelahiran Kuala Lumpur dan bekas tenaga pengajar di Aswara selama lapan tahun tersebut juga pernah diberi tanggungjawab sebagai guru tari Akademi Fantasia 2013 untuk membimbing para peserta program realiti tersebut secara eksklusif.

Pada masa sama, Sue turut menumpahkan khidmat dan idea tari melatih pelakon berkaliber, Deanna Yusoff dan Nad Zainal demi menjayakan filem seram misteri, Aku Haus Darahmu arahan Aidilfitri Mohd Yunos.

Terbaharu, pada Februari lalu, beliau baru sahaja selesai menyempurnakan tugasan menjadi tenaga pengajar untuk selebriti Atilia dan Yasmin Hani menerusi pertandingan Dansa Dan Sing. 

Rancangan realiti anjuran Astro itu menggabungkan elemen tarian dan nyanyian melibatkan 10 artis dan selebriti media sosial.

Bagaimana pemegang Ijazah Sarjana Muda dalam Seni Tarian itu terdorong melibatkan diri dalam dunia tarian? 

Sambil tersenyum simpul, wanita itu berkata, darah seni yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada ibunya, Suraya Mei yang juga seorang penari, pengajar dan pemilik studio tarian. 

“Sejak kecil, saya sentiasa dibawa bersama ke kelas beliau. Masih segar dalam kotak memori ini ketika mama sedang ajar menari, saya pula sibuk mengganggu para pelajarnya.

“Jujurnya, menjadi penari tak pernah terbit dalam kamus hidup kerana saya dipaksa melakukannya. Bayangkan sejak zaman kanak-kanak hingga melanjutkan pelajaran di Victorian College of the Arts, University of Melbourne, Australia, semua fasa itu telah disusun oleh mama.

“Justeru, nak atau tidak, sebagai anak sulung saya perlu ‘menjaga‘ hatinya (ketawa) walaupun sentiasa mengimpikan untuk mendalami ilmu ekonomi atau akaun. Bagaimanapun, lama-kelamaan dunia tarian semakin sebati dengan jiwa terutamanya balet yang memiliki sisi unik tersendiri,“ katanya dengan nada manja.

Bantu mangsa dera

suhaili penari
AKSI Sue (kanan) ketika melatih para pelajarnya untuk satu persembahan.

Mendengar jawapannya, penulis lantas bertanya, mengapa beliau pada awalnya menolak ‘menjerumuskan‘ diri dalam bidang tarian? Sue lantas menjawab: “Ketika remaja, saya skeptikal dengan karier sebagai penari. Bagi saya, ia tidak mampu menjamin masa depan seseorang jika dibandingkan dengan jurusan profesional yang lain. Disebabkan itu, apabila mama menyuarakan hasrat untuk hantar saya mendalami ilmu tarian di Australia, saya ralat dan malu.

“Namun begitu, hampir lima tahun menuntut di sana, minda saya yang sempit sebelum ini mula berkembang dari hari ke hari. Rupa-rupanya bidang tarian juga boleh mendatangkan hasil lumayan sekiranya kita komited, berdisiplin dan bijak mengatur strategi.“

Itu semua cerita lama dan kini Sue berbangga apabila mengambil alih studio tarian, Aurora Dance School milik ibunya yang ditubuhkan pada tahun 1989.  

Anak sulung daripada tiga beradik itu terus bercerita tentang kecintaannya. Jelas beliau, seni tari mempunyai pengertian yang cukup luas.

Selain menghiburkan, tarian juga

adalah antara platform terbaik membantu mengembalikan senyuman selain memulihkan semangat dalam kalangan insan memerlukan.

“Tepis persepsi kumpulan penari hanya tahu menari, walhal kami juga proaktif melakukan pelbagai program tanggungjawab sosial mengikut kumpulan sasaran.

“Pada minggu ini misalnya, atas rasa tanggungjawab, studio Aurora Dance School bekerjasama dengan sebuah badan bukan kerajaan menganjurkan kelas balet khas untuk kanak-kanak mangsa dera berusia 12 tahun ke bawah.

“Matlamat utama saya bukan untuk melahirkan bintang balet profesional, sebaliknya ingin membantu mereka keluar daripada kepompong keperitan selepas ditindas. 

“Secara tidak langsung, menerusi aktiviti itu, ia dapat membantu kanak-kanak mengekspresikan kesedihan dan amarah yang berbekam dalam jiwa selama ini,“ katanya yang juga pernah terlibat aktiviti amal bersama kanak-kanak Yayasan ChowKit Kuala Lumpur.

Pilih platform betul

Tutur Sue lagi, menari juga bukan sahaja menyihatkan badan, malah berupaya meningkatkan mood gembira saat hormon endorfin dilepaskan ketika tubuh melakukan gerakan.

Seiring era modenisasi, masyarakat seantero dunia disajikan dengan pelbagai platform hiburan dan servis penstriman video menerusi aplikasi seperti Facebook, Instagram dan YouTube. 

Pun demikian, aplikasi TikTok adalah paling trending dalam kalangan remaja masa kini. Mana tidaknya, seorang pemilik akaun boleh menyanyi secara lip-sync atau gerakan bibir dan menari mengikut kreativiti tersendiri menerusi TikTok.

penari suhaili
SUE (belakang, kiri) pernah menjadi tulang belakang untuk selebriti Atilia (depan, tengah) dan Yasmin Hani menerusi pertandingan Dansa Dan Sing pada Februari lalu.

Diajak memberi komentar tentang fenomena itu, Sue menghela nafas sedalam-dalamnya. Nampaknya, ada sedikit gurat kecewa pada wajahnya.

“Tidak dinafikan, sebahagian besar anak muda masa kini begitu obses menari menggunakan TikTok. Mungkin ciri-ciri aplikasi yang menarik dan kecanggihan teknologinya menyebabkan aplikasi tersebut menjadi pilihan utama untuk menghiburkan diri.

“Hakikatnya menari itu tak salah. Asalkan jangan memalukan diri dengan gerak tari (yang tidak menentu) kerana apa yang kita lakukan itu menjadi tontonan umum termasuk individu yang kita tidak dikenali. 

“Dalam hal ini, ibu bapa harus memantau aktiviti TikTok anak-anak supaya mereka tidak terjebak dengan tarian negatif ataupun mengghairahkan,“ tuturnya yang masih berkira-kira untuk membuka akaun TikTok peribadi.

Iklan

Kepada SinarPlus, Sue berterus terang bahawa dirinya masih selesa merakam video menari untuk rujukan pelajar ketika sesi latihan di dalam kelas ataupun persediaan sebelum berlangsungnya sebarang persembahan.

Menjawab satu soalan lain, beliau yang juga berbakat melukis di atas kanvas kasut menitipkan pesanan kepada ibu bapa yang dilihat melarang keras anak mereka berkecimpung dalam bidang tarian.

“Secara peribadi, saya berpendapat, jangan sesekali menyekat sekiranya mendapati permata hati menunjukkan minat pada bidang itu. Selain menyihatkan badan dan menyuntik mood positif, tarian juga mendidik tahap disiplin yang tinggi dari segi masa, rutin, diet dan sesi latihan.

“Usah biarkan anak-anak menari di saluran salah kerana bimbang kesannya pada kemudian hari. Sewajarnya hantarlah mereka ke kelas atau studio tarian untuk mempelajari ilmu tarian secara formal bersama para guru bertauliah. 

“Mana tahu, bermula sekadar suka-suka akhirnya mereka menjadi penari profesional dan guru tari di sekolah seni yang diiktiraf kelak. 

“Barangkali inisiatif ini lebih menjamin masa depan berbanding membiarkan mereka syok sendiri tanpa hala tuju dalam aplikasi TikTok,“ tegas Sue yang mengalami penyakit skoliosis selepas terlibat dalam acara larian ketika di sekolah menengah.

PROFIL

Nama penuh: Suhaili Micheline Ahmad Kamil

Umur: 35 tahun

Tempat lahir: Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Adik-beradik: Anak sulung daripada tiga beradik

Iklan

Pendidikan:

– Sekolah Kebangsaan SS19, Subang Jaya, Selangor 

– Sekolah Sri Cempaka, Kuala Lumpur 

– Ijazah Sarjana Muda Seni Tarian di Victorian College of the Arts, University of Melbourne, Australia

Hobi: Santai di kafe dan susun suai gambar (jigsaw puzzle)

Tinggi: 166 sentimeter

Berat: 53 kilogram

Pencapaian: Membuat persembahan pada festival luar negara antaranya T.H.E Dance Festival; Hong Kong Arts Festival; OMI Dance di New York, Amerika Syarikat dan KOBE Dance Box di Jepun.

Instagram: @suedanza (11,900 jumlah pengikut)