Syukor akan diberi kaunseling...hilang kesayangan Semek dan Tongkol

A
A
A

KESEDIHAN ‘Mowgli Malaysia’ yang kehilangan hampir separuh daripada 110 ekor kerbau yang menjadi ‘rakan’ sepermainannya perlu ditangani agar tidak menjejaskan pelajarannya.

Sejak minggu lepas, Muhammad Syukor Khamis, 15, bukan sahaja perlu melihat ternakan milik keluarganya itu menggelupur dan rebah seekor demi seekor akibat wabak hawar berdarah, tetapi juga dua ekor kerbau kesayangannya, yang diberi nama Semek dan Tongkol turut mati.

Berikutan itu Unit Bimbingan dan Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin akan mengambil inisiatif memberi khidmat nasihat untuk meredakan trauma remaja itu, lebih-lebih lagi kini sudah lebih seminggu beliau tidak hadir ke sekolah.

Guru sekolah, Siti Rokiah Abdullah berkata pelajar tingkatan tiga itu akan diberi kaunseling dari semasa ke semasa dan pihaknya secara bergilir-gilir menemuinya untuk bertanya khabar sebagai tanda sokongan.

Katanya Muhammad Syukor bukan sahaja pelajar sekolah biasa, tetapi telah menjadi ikon yang mengharumkan nama negara apabila gambarnya bersama kerbau pernah meraih anugerah sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Pada hari pertama kematian kerbau ini dikesan, pengetua sekolah (Khairi Mohd Nor) dan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (Zaki Mohd Nor) telah menziarah Muhammad Syukor dan keluarganya untuk memberi sokongan moral kepada mereka.

"Semalam pula, pihak pengurusan sekolah dan wakil kelab guru juga akan mengadakan ziarah cakna ke rumah Muhammad Syukor untuk memastikan beliau tabah dalam menghadapi waktu getir ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Syukor akan diberi kaunseling…hilang kesayangan Semek dan Tongkol

Artikel berkaitan: Syukor sedih nampak anak kerbau menyusu dari ibunya yang sudah mati

Artikel berkaitan: Apa itu hawar berdarah yang menjadi punca kematian kerbau Syukor yang kita perlu tahu?

Nasib malang yang menimpa keluarga dan remaja yang turut dikenali sebagai 'Kampung Boy' itu mendapat simpati rakyat Malaysia apabila 52 dari 110 kerbau ternakan mereka mati secara berperingkat sejak 9 September lepas.

Ketika tinjauan Bernama di kandang kerbau terbabit sejak beberapa hari lepas, wajah Muhammad Syukor kelihatan sugul dan beliau dilihat mengusap muka hampir kesemua kerbau yang mati serta turut bertungkus lumus menanam haiwan berkenaan.

Zaki ketika ditanya adakah ketidakhadiran pelajar itu ke sekolah akan dikenakan tindakan tatatertib berkata, pengurusan sekolah sudah maklum mengenai masalah yang dihadapi Muhammad Syukor dan tiada sebarang tindakan akan diambil.

"Kita memahami bahawa kejadian ini adalah ujian yang sangat berat untuk remaja seusianya....ia bukan satu perkara mudah. Bayangkan biasanya dikelilingi ratusan ‘rakan’ (kerbau), kini hampir separuh daripadanya telah tiada.

"Pihak sekolah akan membantu Syukor untuk menguruskan emosinya agar lebih tenang dan sedia kembali memulakan rutinnya di sekolah secepat mungkin," katanya ketika dihubungi.

Syukor akan diberi kaunseling…hilang kesayangan Semek dan Tongkol

Muhammad Syukor mula bermain dengan kerbau itu sejak kecil dan dapat menjinakkan ‘Semek’ di usia sembilan tahun hinggalah gambarnya bersama lebih 100 ekor kerbau menjadi tular di media sosial, menjadi juara peringkat Asia, selain turut tersenarai 20 gambar terbaik dunia.

Sejak itu, remaja berkenaan sering menjadi buruan jurugambar dari pelbagai negara untuk merakam aksi mesranya bersama haiwan peliharaan yang disifatkan sangat unik dan istimewa.

Baki kerbau peliharaan bapanya, Khamis Jusoh di Kampung Kubang Bujuk, di sini, telah disuntik antibiotik oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dan sekitar kawasan kandang juga telah dilarang daripada dimasuki orang ramai.

Sementara itu, kelmarin, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu telah memulakan suntikan antibiotik kepada baki 58 ekor kerbau milik keluarga Muhammad Syukur Khamis yang masih sihat.

Pengarahnya Dr Mohd Termizi Ghazali berkata suntikan itu bagi mencegah jangkitan sekunder serta meningkatkan daya tahan kerbau untuk melawan penyakit.

"Sekiranya haiwan tersebut sudah dijangkiti penyakit itu, antibiotik hanya melambatkan proses kematian. Selebihnya bergantung pada daya tahan kerbau berkenaan,” katanya. -Bernama semalam. - Bernama

Syukor akan diberi kaunseling…hilang kesayangan Semek dan Tongkol

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca