Syukor sedih nampak anak kerbau menyusu dari ibunya yang sudah mati

Syukor sedih nampak anak kerbau menyusu dari ibunya yang sudah mati
Syukor sedih nampak anak kerbau menyusu dari ibunya yang sudah mati
A
A
A

Semalam, media melaporkan sebanyak 36 kerbau milik keluarga Muhammad Syukor, 15, yang terkenal dengan jolokan 'Mowgli Malaysia’ atau ‘Kampong Boy’ itu, mati secara berperingkat sejak Rabu lepas dipercayai akibat penyakit hawar berdarah.

Pagi ini, difahamkan lima lagi kerbaunya mati lagi, manakala enam dikesan mempunyai simptom yang agak kritikal.

Jelas perasaan sayu Muhammad Syukor melihat kerbau-kerbaunya mati akibat penyakit hawar berdarah.

"Pagi tadi lagi sedih sebab saya nampak ada anak kerbau yang baru berusia sebulan masih menyusu dari ibunya yang sudah mati....tak tahu macam mana nak gambarkan perasan sedih dan sebak tu.

"Buat masa sekarang, kami berharap sangat dapat cari jalan untuk selamatkan kerbau yang masih sihat," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu hari ini mengisytiharkan kandang kerbau milik keluarga Muhammad Syukor Khamis di Kampung Banggol Katong dekat Serada, Kuala Terengganu sebagai kawasan larangan kepada orang ramai.

Memetik portal media tempatan, Pengarahnya, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, langkah itu dikuatkuasakan mengikut Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang hanya membenarkan pemilik kandang memasuki kawasan tersebut, bagi mengelak jangkitan penyakit hawar berdarah ke kawasan lain.

"Ini prosedur operasi standard (SOP) jabatan dalam memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk orang ramai atau kenderaan ke kandang tersebut kerana ia mendatangkan risiko jangkitan kepada haiwan ternakan di kawasan lain.

"Kandang ini ditutup berkuat kuasa hari ini sehingga masalah wabak hawar berdarah ini selesai," katanya.

Sementara itu, tinjauan media ke kandang tersebut mendapati proses menanam bangkai kerbau yang mati, masih dilakukan.

Bapa Muhammad Syukor, Khamis Jusoh, 64, berkata pihaknya buntu bagaimana hendak mengasingkan kerbau yang masih sihat seperti disarankan JPV Terengganu kerana kekangan tempat dan masa.

"Sukar untuk saya kuarantin kerana tiada tempat sesuai, tambahan pula ini kandang terbuka....kerbau ini pula tidak boleh terdedah dengan cuaca panas, ia akan tetap merempuh pagar yang ada untuk pergi ke kawasan sawah berdekatan.

"Saya berharap sangat agar kerbau yang masih sihat ini boleh diselamatkan dengan kepakaran dan kemahiran JPV, namun sekiranya tidak (berlaku lebih banyak kematian), saya reda dengan takdir Allah," katanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca