RINGAN tulang dan seronok membantu pesakit di hospital di mana beliau berkhidmat, seorang pengawal keselamatan wanita, Yogeswary A/P Ramasamy , 44, menerima kejutan tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong pada 19 Disember ini.

Memang benar kalau ikhlas melakukan kerja yang diamanahkan, tak berfikir panjang menghulur tangan membantu, pasti akan ada imbalan yang tidak diduga akan tiba.

Sama seperti Yogeswary ini, pernah viral membantu pengunjung Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), gelagat Yogeswary yang meraih perhatian Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Baik sungguh hati beliau. Ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu tidak berkira tenaga membantu membukakan pintu kereta, mengangkat barang dan menjaga lalu lintas di parkir.

Sisi keibuan dan prihatin  menebal dalam diri Yogeswary membuatkan beliau tidak kekok menenangkan pesakit sedang cemas dan mengucapkan tahniah kepada ibu yang baharu bersalin.

Tidak pernah menduga akan menerima surat rasmi daripada pemimpin negara, ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu juga mengakui ia seolah-olah satu mimpi.

Baca juga: [VIDEO] Straight A UPSR hingga SPM, pelajar cemerlang jadi pengawal keselamatan demi rezeki halal

Baca juga: ‘Bagus, buat inspirasi semua.’ Masih kutip sampah saat menuju pentas ambil hadiah, pakcik cleaner ini raih pujian

Baca juga: Rezeki pulangkan dompet berisi RM20,000 tercicir, kejujuran cleaner dibalas tawaran tak disangka-sangka

Ujarnya, penghargaan diterima itu merupakan satu pengiktirafan tertinggi sepanjang lebih empat tahun bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Rasa syukur, gembira dan terharu bercampur baur membuatkan saya menitiskan air mata. Saya tak sangka, khidmat kecil saya dihargai seluruh negara.

“Sudah tentu penganugerahan ini melonjakkan semangat saya untuk terus mencurahkan bakti kepada masyarakat di sini,” katanya.

Biarpun tugasnya hanya perlu mengawasi dan memantau, beliau melakukan lebih daripada  itu. Sifat empati Yogeswary membuatkan ramai tersentuh.

Justeru, wanita kelahiran Ipoh itu bertekad memberikan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa selagi diberikan kesihatan yang baik.

“Masalah hospital ini apabila susah nak dapatkan parkir.

“Jadi apa saya buat hanya bantu urusan mereka, bawakan barang dan dapatkan tempat letak kenderaan yang mudah dan dekat. Itu sahaja,” katanya.

Baca juga: Niat baik remaja pulangkan dompet penuh duit dibalas dengan ganjaran tak disangka, siap ada crowdfund khas lagi

Baca juga: 27 tahun setia berkhidmat, majikan dipuji murah hati taja staf tunai umrah

Kurang dua minggu menjelang hari bersejarah pada 19 Disember ini, Yogeswary mula gementar.

“Belum ada persiapan lagi tetapi saya teringin nak pakai baju kebaya.

“Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi saya cari baju kebaya yang bersesuaian,” katanya.

Iklan

Beliau turut berkongsi kegembiraan itu dalam laman sosial Facebook.

Bagi Yogeswary kata-kata dan komen positif orang ramai terutama pesakit dan ibu mengandung yang pernah dibantunya, menjadi titik tolak kepada penganugerahan itu.

Beliau malah menzahirkan rasa terima kasih kepada orang ramai serta pengurusan HRPB yang banyak memberi sokongan kepadanya.

Tidak hanya Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha, syarikat kawalan keselamatan Yogeswary berkhidmat iaitu United Security Services Sdn Bhd turut memberi penghargaan atas komitmen tinggi ditunjukkan.

Tidak hanya watikah penghargaan, Yogeswary juga menerima wang sagu hati atas kecemerlangannya menjalan tugas dan memberikan contoh yang baik sepanjang perkhidmatan.

Beliau kini ditugaskan mengawal keselamatan di Kompleks Rawatan Harian HRPB bagi membantu warga emas dan orang kurang upaya (OKU) sejak enam bulan lalu.

Warga maya menitipkan ucapan tahniah buat Yogeswary dan menjadikan wanita itu sebagai inspirasi. Ujar mereka:

Iklan

– “Tahniah Sis Yogeswary. Anda sememangnya layak diberikan penghargaan atas budi pekerti dan cara melaksanakan kewajipan sebagai pertugas keselamatan. Salute sis!

– “Tahniah puan. Teruskan berkhidmat dengan cemerlang.”

– “Tahniah Aunty, Aunty yang sangat baik sewaktu saya nak bersalin.”

– “Tahniah, Aunty yang sangat baik . Saya kenal Aunty sebab saya pernah datang HRPB kerana anak sakit. I miss you Aunty, semoga aunty sihat selalu ya .”

Sumber: Sinar Harian, FB Yoges Wary

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTubeTiktok SinarPlus & Threads @sinarplus@threads.net. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang