Terbaik! Anggota wanita APM sanggup jadi waris, untuk uncle India tidak dikenali suntik vaksin
BERGELAR anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bukan sekadar menyarungkan uniform, sebaliknya menggalas tanggungjawab menyumbang khidmat dan bakti kepada masyarakat.
Tugas itu bukan mudah kerana ia menuntut pengorbanan, kesabaran, kerjasama dalam mengendalikan pelbagai situasi.
Inilah nilai-nilai murni dipamerkan oleh seorang anggota wanita APM sehingga meraih perhatian warga maya.
Ceritanya bermula apabila seorang pegawai dikenali Mohd Shahril Abdul Ghani berkongsi kisah tentang anggota wanita APM, Prebet (PA) Nurul Syalinda Shamsuddin yang bertugas sebagai penyelaras acara di Pusat Pemberian Vaksin Mega, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Baca juga Tiba-Tiba Ramai Pula Jadi Ahli Rela Tanpa Rela. Begini Ceritanya…
Saban hari, anggota wanita itu komited memberikan bantuan kepada para peserta bagi memastikan proses mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berjalan lancar.
“Tapi hari ini aku lagi kagum. Ada seorang petugas Angkatan Pertahanan Awam. Semalam dia layan pakcik orang putih dengan memberikan penerangan dengan jelas dan teratur. Aku dengar sahaja dari tepi. Pangkatnya bawah sahaja tapi cakap orang putih (bahasa Inggeris) memang cemerlang.
“Kagum seketika. Bukan sahaja menjelaskan prosedur, tetapi menyelesaikan masalah orang itu. Jadi kalau nak selesai masalah tentu perlu bercakap panjang lebar. Cukup impress dengar dia bercakap.
“Hari ini lagi terkejut. Ada seorang pakcik India datang. Dia orang kelainan upaya pekak dan bisu. Dengan selambanya anggota ini berkomunikasi dengannya menggunakan bahasa isyarat!
“Powernya budak ni, aku pun panggil dia dan bertanya belajar sampai tahap mana? Ijazah? Master? Dia jawab saya Sijil Pelajaran Malaysia sahaja tuan. Katanya dia hanya belajar sendiri bahasa isyarat tersebut dan jawapan itu amat mengagumkan,” tulis Mohd Shahril.
Bukan itu sahaja, beliau turut mencoretkan keikhlasan hati Nurul Syalinda yang sanggup menjadi waris kepada seorang warga emas berbangsa India.
“Pakcik India itu ada masalah untuk mendaftarkan bagi menerima vaksin. Dia datang kerana diberitahu layak mendapat suntikan, walhal tidak mendaftar pun dan telefon miliknya 3310 (bukan telefon pintar). Malah pakcik berkenaan tidak mendaftar di mana-mana pusat kebajikan.
“Jadi untuk membantu pakcik berkenaan, Nurul Syalinda menawarkan diri menjadi waris (dependent) dan membantu mendaftarkan menggunakan telefon pintar miliknya. Dia berkata akan bertanggungjawab sampai pakcik berkenaan mendapat kedua-dua dos vaksin Covid-19,” katanya lanjut.
Tindakan murni anggota wanita terbabit turut mendapat pujian daripada Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab yang berbangga dengan bakti dicurahkannya dan seluruh anggota bertugas.
Difahamkan, wanita itu juga menerima ucapan tahniah daripada Pejabat Menteri, Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Dalam pada itu, warganet tidak melepaskan peluang menzahirkan pujian dan sokongan buat Nurul Syalinda.
- “Terus amalkan budaya berkhidmat yang baik. Pembentukan budaya kerja yang baik amat penting untuk sesuatu organisasi dan perlukan masa yang agak panjang untuk menjadikannya. Tahniah dan syabas. Well done. Kebanggaan APM.”
- “Itulah orang yang tidak dapat straight A dalam SPM jangan down, nampak tak keajaiban yang berlaku. Lakukan yang terbaik untuk kita bermanfaat pada manusia lain.”
- “Impressive! Seronok sangat tau ada anak muda kita yang sehebat ini.”
- “Sesuatu kelebihan pada diri yang tidak disia-siakan! Hebatt!!
- “Tahniah dik. Semoga sentiasa dipermudahkan urusan semuanya. Mohon anggota tersebut dan mereka yang telah berkhidmat dengan baik dianugerahkan Anugerah Khidmat Cemerlang dan diberikan imbuhan-imbuhan lain seperti tajaan sambung belajar dan peningkatan kursus kerjaya."
APM merupakan agensi induk di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri. Sebelum ini agensi tersebut dikenali sebagai JPA3 atau Rescue 991. Mereka berkhidmat berteraskan slogan Sedia, Pantas, Berintegriti.
Sumber : Mohd Shahril Abdul Ghani
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang