Terhibur para netizen, MKN Kedah jawab SOP PKPB guna loghat negeri
SUSULAN pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula baru-baru ini, berkemungkinan ada di antara kita yang masih samar-samar dengan beberapa peraturan terhadap pelaksanaan perintah tersebut.
Bagi negeri-negeri yang dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) seperti Kedah, kelonggaran dari segi aspek ekonomi diberikan kepada penduduk di negeri itu.
Rentetan itu, lambakan soalan telah diajukan oleh penduduk Jelapang Padi itu.
Melihat situasi berkenaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah tampil bagi menjelaskan soalan yang sering ditanya oleh orang ramai.
Ia termasuklah pendedahan kepada orang ramai mengenai prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi.
Antara perkara yang disentuh adalah melibatkan pergerakan merentas daerah dan negeri, kapasiti kenderaan dan majlis akad nikah.
Namun, apa yang menariknya, warga MKN Negeri Kedah telah menggunakan loghat Kedah untuk menjawab setiap soalan. Cara itu membuatkan orang ramai tertarik dan terhibur dengan reaksi sedemikian.
Bermacam-macam komen yang diberikan oleh netizen. Rata-ratanya memuji pendekatan yang diambil mereka. 'Lebih nak faham', kata salah seorang warganet.
Berikut antara soalan yang dikongsikan oleh mereka:
i) Cheq nak menikah, gena?
Jawapan MKN Negeri Kedah: Upacara akad nikah boleh dilaksanakan, tapi terhad maksimum 8 orang saja. Akad nikah perlu dilakukan di masjid kariah pengantin perempuan. Tapi, lepaih menikah, nak buat kenduri, hat tu tak boleh. Kena tangguh dulu sampai PKPB selesai. Takpa aih, dah jadi pasangan sah, ampa dua nak naik Gunung Jerai sama pun, orang tak larang dah.
ii) La ni, saya ada dekat Perak, nak balik semula ke Jitra. Nak buat lagu mana? Boleh ka?
Jawapan MKN Negeri Kedah: Sesiapa yang nak balik ke tempat asal, dibenarkan. Tapi, kena mintak kebenaran pihak polis dulu untuk merentas negeri.
iii) Kalau saya nak jual minyak angin di pekan nat, lepas tu orang dok himpun keliling, salah la?
Jawapan MKN Negeri Kedah: Ya, salah. Tak dibenarkan. Juai ubat sudah. Tok sah tebiang nak buat show ulaq bagai.
SOALAN ORANG KEDAH KERAP DOK TANYA KAT MKN KEDAH BAHAGIAN 1.Perkara yang disentuh adalah melibatkan rentas daerah dan...
Posted by Majlis Keselamatan Negara Negeri Kedah on Wednesday, January 13, 2021
Ternyata, kreativiti MKN Negeri Kedah itu turut membuatkan persoalan yang sebelum ini menjadi kekeliruan orang ramai dijawab dengan mudah dan sangat difahami.
Berikut reaksi para netizen:
Kiriman jawapan MKN Negeri Kedah itu juga mendapat lebih 6,900 perkongsian dengan 1.8 ribu tanda suka di Facebook MKN negeri berkenaan.
Terdahulu, Kedah bersama empat lagi negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Terengganu diperintah melaksanakan PKPB sehingga 26 Januari akan datang.
Terbaharu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob semalam memaklumkan, Kelantan diperintahkan menjalani PKP di seluruh negeri itu bermula esok.
Apa-apapun, patuhilah SOP. Ingat, kita mesti menang. Ayuh putuskan kembali rantaian wabak Covid-19 yang kini sudah berada dalam komuniti kita. #kitajagakita
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang