PEMANGKU Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah seorang putera raja berjiwa rakyat dan profesional dalam urusan pentadbiran negeri.

Keperibadian murni tersebut diwarisi daripada ayahanda dan bonda baginda, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mesra bersama rakyat.

Menerusi satu perkongsian di dalam laman sosial Twitter, pemilik akaun @rajamohdfaiz atau dikenali sebagai Paihhhh mendedahkan budi pekerti Tengku Hassanal.

Menurut Paihhhh beliau bersama Tengku Hassanal merupakan rakan sekelas sejak tahun 1 hingga tahun 3 di Sekolah Kebangsaan St Thomas, Kuantan, Pahang.

Sepanjang tempoh persahabatan tersebut pelbagai momen manis tercipta bersama Tengku Hassanal.

“Teringat dijemput ke istana semasa birthday (parti hari jadi) Tengku Hassanal. Dengan tak bawa baju tambahan untuk mandi secara tiba-tiba baginda tolak masuk ke dalam kolam.

“Kemudian, Tengku Hassanal datang dan bertanyakan sama ada saya membawa baju lebih dan saya menjawab, tidak.

“Lalu, Tengku Hassanal ajak ke bilik ditemani pembantu dan meminjamkan pakaian milik baginda. Terima kasih,” tulis Paihhhh.

tengku hasanal
PAIHHHH (kiri) berkongsi kisah persahabatan beliau bersama Tengku Hassanal ketika di sekolah rendah di dalam laman sosial Twitter.

Kisah jejaka tersebut dengan Tengku Hassanal tidak bernoktah di situ sahaja. Tambah Paihhh, pernah pada suatu hari semasa waktu rehat beliau perlu membeli tali leher.

Iklan

“Nak beli tali leher kerana dilantik menjadi pengawas. Namun, pada ketika itu tak cukup wang. Tengku Hassanal terdengar keluhan lalu memanggil pengawal peribadi untuk mengambil dompet.

“Selepas itu, baginda menghulurkan RM5 supaya segera membeli tali leher. Masa tu aku tak tahu nak cakap apa. Dengan baju yang diberikan (ketika parti hari jadi) belum dipulangkan lagi kepada Tengku Hassanal,” coretnya.

Iklan

Sebelum menamatkan kata-kata Paihhhh tidak ketinggalan menzahirkan terima kasih kepada Tengku Hassanal untuk segala memori manis itu.

“Saya berbangga kerana berpeluang rehat di kantin bersama Tengku. Duduk semeja.

“Tengku sememangnya suka menolong orang sejak sekolah rendah,” puji Paihhhh yang mendapat tanda suka sebanyak 25,600 ribu dan 13,000 retweets daripada warga net lain.