TIADA lagi derita, kanak-kanak istimewa yang pernah menjadi perhatian rakyat Malaysia, Mohammad Bilal Yusra Mohammad Azhar, 3, meninggal dunia.

Anak syurga menghidap penyakit yang dikenali sebagai Alobar holoprosencephaly selain sumbing di bibir dan hidung itu dilaporkan meninggal dunia jam 4.50 pagi Jumaat di rumah keluarga di Sungai Ular, Kulim, Kedah.

Tiada lagi kelibat si bongsu, ibu kanak-kanak tersebut, Nurul Izzati Adawiyah Mohd Zaidi, 26, sangat terkesan namun tetap bersyukur kerana berkesempatan berkongsi kasih sayang selama tiga tahun.

Jenazah Bilal dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Ular selepas solat Jumaat.

SinarPlus terdahulu melaporkan Bilal mengalami Alobar holoprosencephaly yang telah menyebabkan otaknya rosak, di samping mengalami gangguan kesihatan lain seperti jantung berlubang dan sumbing pada mulut serta lelangit.

Baca juga: Kepala Bilal semakin membesar, bawa ‘beban’ 28kg. Keluarga rayu bantuan

Kepada wartawan Arziana Mohamad Azaman, Nurul Izzati berkongsi cerita anaknya itu hanya mampu terbaring lemah dan bergantung sepenuhnya kepada tiub susu khas demi kelangsungan hidup.

Berbeza dengan penyakit hydrocephalus yang terjadi akibat lebihan air di dalam kepala dan boleh dirawat dengan prosedur seperti pemasangan alat VP Shunt,  sakit yang ditanggung Bilal dikatakan tiada ubatnya.

Saiz kepala Bilal yang semakin hari semakin membesar meredam jiwa hingga ibu bapa dan keluarga hanya berserah kepada ALLAH serta bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk kehilangan.

Ketika itu, Nurul Izzati turut mengimbas kembali saat hamil enam bulan yang mana doktor sudah dapat mengesan saiz kepala bayinya lebih besar dan abnormal.

Kata doktor, Nurul Izzati berisiko untuk melahirkan bayi pramatang dan si kecil juga akan mengalami komplikasi kesihatan yang kronik.

Ibu muda itu melahirkan Bilal semasa kandungan masih lapan bulan lantaran saiz kepala si kecil itu yang sudah membesar. Ia juga untuk mengelakkan tersangkut, namun ketika kelahiran, semuanya dipermudahkan.

Muhammad Bilal dilahirkan dengan derita kepala membesar bersaiz 39 sentimeter ketika awal kelahiran dan berat anggaran 3.2 kilogram namun berat kepalanya semakin bertambah dan terbaharu mencecah 45 kilogram.

Sayunya menyaksikan anak pergi dahulu, moga Nurul Izzati dan suami terus kuat. Salam takziah buat keluarga daripada SinarPlus.

Di bawah ini kami kongsikan beberapa info berkaitan penyakit dialami arwah, Alobar holoprosencephaly yang dipetik dari jurnal National Library of Medicine, Amerika Syarikat:

Iklan

1-Alobar holoprosencephaly atau Alobar HPE adalah kecacatan perkembangan yang jarang berlaku.

2-Kebanyakan kes holoprosencephaly yang dikenal pasti melalui ultrasound pranatal manakala yang lain kerap didiagnosis semasa tempoh neonatal melalui keabnormalan muka dan/atau pembentangan neurologi, yang memulakan pemeriksaan lanjut.

3-Kebanyakan janin bayi ini Alobar HPE tidak bertahan hidup dan hilang akibat keguguran. Mengikut bilangan, penyakit jarang jumpa ini hanya berlaku 1 dalam 8,000 atau 10,000 sama ada kelahiran hidup atau mati.

4-Alobar HPE memberi situasi berisiko maut kerana menyebabkan kerosakan pada otak depan janin dengan etiologi heterogen.

5-Memetik jurnal berkenaan, keadaan ini bermula ketika hari ke-18 dan ke-28 kehamilan.

Iklan

Baca juga: Selain wanita, betulkah lelaki dan kanak-kanak perlu makan asid folik? Pakar ini beri pencerahan

Sumber: National Library of Medicine , Sinar Harian

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!