ATLET memanah negara, Mohd Haziq Kamaruddin meninggal dunia. Ini merupakan kehilangan besar dalam dunia sukan Malaysia.

Meninggal dunia pada usia 27 tahun, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir jam 9.37 pagi semalam selepas dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri di kediamannya di Kajang.

Pemergian Allahyarham yang juga digelar Robin Hood negara juga menjadi satu tamparan terhadap skuad kebangsaan memandangkan mereka berada di fasa akhir menjelang kejohanan kelayakan sukan Olimpik di Paris, Perancis, bulan depan.

Pemergian mengejut Haziq turut memberi kesan mendalam kepada seluruh ahli keluarganya.

Media tempatan melaporkan bapa Allahyarham, Kamaruddin Yusof, 59, mengakui terkejut dengan pemergian anak keduanya itu memandangkan tiada sebarang tanda tidak sihat atau mengadu sakit kepada sesiapa.

Menurut beliau, mereka berkesempatan bersembang dengan anak kesayangannya itu pada 1 Syawal lalu menerusi panggilan video selepas sudah lama tidak bersua kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, ketika itu Allahyarham mengatakan dirinya sihat dan sangat tidak menyangka kejadian secara tiba-tiba itu.

Dalam kesayuan dan reda atas pemergian Allahyarham, beliau mengatakan Haziq adalah seorang anak yang baik dan telah melibatkan diri dengan dunia sukan memanah sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Katanya lagi, di antara ketiga-tiga anaknya, hanya Haziq yang aktif dalam dunia sukan dan kehilangannya nyata memberi impak besar kepada mereka sekeluarga.

Jenazah Haziq selamat disemadikan 1.40 pagi tadi di Tanah Perkuburan Taman Koperasi, Serkam, Melaka.

Jenazah Allahyarham sebelum itu disembahyangkan di Surau At Taqwa, Taman Koperasi, selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Kajang.

Iklan

Tiada lagi Robin Hood negara...

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican menggesa orang ramai untuk tidak menimbulkan spekulasi tidak wajar mengenai kematian Allahyarham.

Tindakan segelintir pihak mengaitkan kematian berkenaan dengan pengambilan vaksin Covid-19 adalah tidak bertanggungjawab, kata menteri itu pada maklum balas di media sosialnya.

Iklan

Reezal turut menyeru pihak berkenaan agar berhenti menyebarkan berita yang tidak benar.

Terdahulu, pemanah recurve yang berasal dari Johor Bahru dan sudah berkeluarga itu pernah mewakili negara dalam dua temasya sukan iaitu Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016. Beliau juga sebelum ini banyak mencipta kemenangan di peringkat antarabangsa dengan meraih pingat emas pada Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran, Sukan SEA 2015 di Singapura dan Sukan SEA 2017 di Malaysia.

Takziah daripada kami di Sinarplus buat ahli keluarga Allahyarham Mohd Haziq Kamaruddin.  Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.