TIADA tapak tangan… tetapi mampu bekerja sebagai penghantar makanan dengan hanya menaiki motosikal roda dua biasa. Luar kebiasaan bukan?

Kelmarin kisah pemuda ini ditularkan oleh seorang pemuda Cina, Edmund Gan yang kagum dengan kebolehannya, hingga ‘membuka mata’ ramai warga siber.

Apa tidaknya, dalam status dimuatnaiknya yang sudah pun diterjemahkan, pemuda itu mencoretkan bahawa beliau telah memesan minuman melalui aplikasi dalam talian tersebut sebelum kemudian dihantar pekerja dikenali Syahrain Fadzil.

“Sebaik tiba minuman di rumah, saya meminta ‘rider’ sangkut minuman itu di pagar kerana mahu jarak sosial semasa wabak koronavirus (Covid-19).

“Bagaimanapun, lelaki (rider) itu meminta pertolongan saya untuk mengambil minuman kerana dia tak boleh lakukan.

“Saya agak pelik tapi tetap lakukannya seperti mana dia suruh namun terkejut apabila melihat dia mengalami kecacatan pada kedua belah tangannya,” kata Edmund.

Jelasnya, kali pertama melihat keadaan fizikal Syahrain, beliau kagum dan terfikir bagaimana lelaki berkenaan boleh menunggang motosikal dalam keadaannya begitu.

“Dia sangat optimis. Saya cukup kagum atas kesungguhannya mencari rezeki walaupun mengalami kecacatan fizikal akibat kemalangan sewaktu kecil,” katanya.

Status dimuatnaik Edmund kelmarin yang tular.

Status dimuatnaik naik itu mendapat hampir 10k tanda suka dan menerima ratusan komen daripada netizen.

Memang minat motosikal

Ya, melihat gaya pemuda menunggang motosikal ini pasti ramai yang kagum dek keadaan fizikal yang tiada tapak tangan dilihat agak sukar untuk berbuat demikian.

Tapi, kongsi Syahrain atau nama sebenarnya, Syed Mohd Syahrain Syed Fadzil, 26, apa yang dilaluinya tidak sesukar yang disangka.

Hampir setahun enam bulan menjadi ‘abam rider’ penghantar makanan, bagi pemuda masih bujang berasal dari Sg Buloh ini, asal bisa tegal biasa.

“Sebelum ini pun saya sudah biasa kerja despatch, selama tujuh tahun ‘atas motor’. Saya mula kerja start umur 18. Lagipun memang minat motor.

“Pilih kerjaya ini sebab tak ada kerja pada 2008. Sebelum itu, saya kerja car wash dalam setahun, kumpul duit buat lesen dan kerja dengan kawan hantar spare part sebelum resign, bawa motor juga,” katanya.

Ditanya tentang anggotanya yang ‘hilang’ tapak tangan itu, tanpa berlindung menurutnya dia dilahirkan normal.

Malangnya pada umur 9 tahun, Syahrain terkena terkena bom buatan sendiri yang ditemuinya ketika bermain di kawasan rumahnya yang tidak berapa jauh dari Penjara Sg Buloh.

“Hancur tangan saya kena bom, masa tu tak tahu.. saya main. Bila jumpa pegang, ia meletup,” kata anak kedua daripada 7 beradik, yang tinggal dengan neneknya sejak dari kecil.

Iklan

Bercita-cita hendak membuka bengkel motosikal kerana tahu serba sedikit tentang penjagaan kenderaan, Syahrain berkongsi menurutnya beliau sedang mengumpul modal.

Kongsi rahsia menunggang

Ditanya rahsianya cekap menunggang motosikal, kata Syahrain beliau hanya amalkan membaca ‘Bismillah’ dan reda hendak mencari rezeki.

Pasti ramai juga tertanya-tanya bagaimana beliau boleh lulus mengambil lesen B2 bukan?

“Sebenarnya masa nak ambil lesen, saya disarankan ambil lesen roda 3 tu. Tapi saya kata, saya cuma tak ada tangan, bukan tak ada kaki.

“Jadi saya disarankan jumpa doktor sebab nak juga bawa motor biasa. Masa tu memang saya kena check keadaan dan doktor minta saya bawa motor depan dia. Lepas tu baru doktor sain surat sokongan untuk dapatkan lesen B2,” ceritanya.

Iklan

Bersyukur dapat menunggang motosikal biasa, menurutnya, beliau tiada masalah untuk bekerja dengan kenderaan itu malah menyukainya.

“Selalu bawa makanan dalam plastik tak ada masalah, cuma kalau dalam bekas susah skit. Macam hari tu (cerita tular).

“Memang tiap kali jumpa pelanggan, saya dapat reaksi yang sama (kagum),” kata Syahrain yang sudah mempunyai lebih 88.2k followers di Instagram.

Beliau tidak menafikan selepas kisah tularnya kelmarin, pengikutnya kini bertambah dalam kalangan masyarakat Cina pula!

Yang pasti, kisah anak muda yang tak kenal erti putus asa dan optimis dalam melakukan pekerjaan yang diminatinya ini memang sangat dikagumi.

Moga sempena Ramadan yang mulia ini, rezeki Syahrain lebih luas dan sentiasa dipelihara oleh-NYA dalam mengumpul modal mencapai cita-cita membuka sebuah bengkel motosikal! -AG #PastiAdaSinar