Bersama Pakar Motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah

SOALAN 1:
SAYA baru sahaja kehilangan isteri akibat leukemia dan kini menjalani kehidupan bersama lima cahaya mata yang masih kecil.

Justeru, sebagai bapa tunggal, bagaimana cara untuk saya kuatkan semangat meneruskan hidup dan pada masa sama perlu menguruskan anakanak tanpa sokongan isteri di sisi?
DILEMA BAPA TUNGGAL, 44, Kota Bharu, Kelantan

JAWAPAN:
TAKZIAH atas pemergian arwah isteri saudara. Bak kata pepatah, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tiada sesiapa pun dapat mengerti kepiluan yang dialami kecuali individu itu sendiri.

Dalam hal ini, hayatilah motivasi hebat daripada ALLAH kepada hamba-NYA menerusi surah al- Baqarah, ayat 286.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat (pahala) daripada (kebaikan) yang dilakukannya dan dia mendapat (seksaan)
daripada (kejahatan) yang dilakukannya.”

Nasihat saya, saudara perlu yakin dan tabah berdepan dengan ujian ALLAH kerana DIA tidak pernah menzalimi hambanya. Tidak dinafikan pada peringkat awal, perasaan sedih, murung dan menyesali nasib akan menyelubungi diri tatkala berdepan ujian berat itu.

tip keluarga

Usah berterusan berduka sebaliknya saudara harus reda dan banyakkan berdoa untuk diri sendiri dan arwah isteri agar kita semua selamat di dunia dan alam kubur.

Selain itu, selepas ditimpa ujian, bantu diri sendiri berubah menjadi individu baharu yang lebih positif.

Masih segar dalam memori apabila guru saya sentiasa menasihatkan segala masalah dialami kita dapat diatasi dengan membetulkan hati terlebih dahulu.

Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda: “Seketul daging kalau bersih, maka satu badan akan sihat.”

Justeru, solusi terbaik yang boleh saudara lakukan adalah dengan menunaikan solat fardu lima waktu, solat taubat pada sebelah malam, solat sunat ba’diyyah dan qabliyyah, istighfar, berdoa
dan berzikir.

Dalam pada itu, berusaha seminggu sekali menunaikan solat tahajud yang akan membantu saudara mengubah senario dan landskap diri termasuk memperbaiki corak berfikir, sikap dan amalan.

https://www.facebook.com/sinarplus.sinarharian/videos/550632298950421/

 

SOALAN 2:
SAYA menyedari perjalanan setiap orang berbeza-beza. Ada yang hidup senang dan ada juga serba kekurangan serta miskin. Tanpa segan silu saya berterus terang bahawa saya tergolong dalam kelompok miskin itu.

Meskipun sudah berusaha bermacam-macam cara untuk meningkatkan taraf ekonomi keluarga, tetapi hasilnya mendukacitakan. Sedih dan kecewa kerana kehidupan ini masih di takuk lama.

⁣⁣Bahkan, diri turut diuji dengan pelbagai dugaan termasuk memiliki anak yang sedang sakit. ⁣⁣

Bagaimana cara untuk saya memotivasikan diri supaya berbaik sangka dengan takdir hidup kerana saya amat tertekan ketika ini.

BAPA PERIT KEMISKINAN,48,  Sungai Petani, Kedah

Iklan

JAWAPAN:
BIARPUN sentiasa diuji, yakinlah bahawa ALLAH Maha pengasih dan penyayang.

Setiap ujian daripada-NYA adalah tanda kasih kepada para hamba. Bak kata ulama, ALLAH ingin mendengar kita merintih, meminta dan berdoa bersungguh-sungguh serta tawaduk meminta pertolongan-NYA.

Percayalah, ALLAH tidak akan kosongkan tangan hamba yang memohon. Insya-ALLAH akan dimakbulkan dengan izin-NYA.

Dalam situasi saudara yang kecewa dengan pintu rezeki tertutup, berkemungkinan berpunca daripada pelbagai faktor. Antaranya tidak memasang niat apabila keluar bekerja.

Seterusnya, kita jahil dan ingkar perintah agama seperti meninggalkan solat lima waktu. Suka saya ingatkan, jangan sesekali membandingkan diri dengan umat Islam yang tidak bersolat, namun mampu meraih pendapatan lumayan.

tip keluarga

Iklan

Ketahuilah bahawa kekayaan yang diperoleh itu bukan rahmat, sebaliknya istidraj oleh ALLAH.

Kita perlu memahami rahmat dan istidraj membawa pengertian berbeza yang mana rahmat adalah pemberian daripada ALLAH kepada hamba-NYA yang disayangi.

Sementara itu, pemberian daripada ALLAH kepada hamba yang dibenci pula merujuk pada istidraj. Semakin kaya mereka semakin ingkar untuk solat. Bahkan, semakin kaya bertambah kedekut, jahat, tidak membayar zakat dan galak berbuat dosa tanpa rasa bersalah.

Manusia juga harus ingat, tujuan DIA sempitkan hidup kita adalah untuk mencuci dosa-dosa sebelum ini. Sebab itu kita harus reda dan berlapang dada.

Kadangkala, salah satu faktor membuatkan kita terjunam dalam kegagalan walaupun sudah berusaha keras mungkin hilang restu ibu dan bapa yang mana kita telah mengguris hati mereka tanpa sedar. Maka, mohonlah kemaafan dengan segera supaya dibukakan pintu rezeki. Insya-ALLAH.

https://www.facebook.com/sinarplus.sinarharian/videos/1637527039738492/