VIDEO nasihat si cilik, Muhammad Aming Salleh Abdullah atau lebih dikenali sebagai Aming pernah meraih perhatian warga maya sehingga tular di laman sosial.

Celotehnya menerusi video-video pendek yang disifatkan sebagai comel dengan kepetahannya menyampaikan nasihat dalam loghat Sabah menjadi viral.

Kebanyakan video tersebut ialah nasihat buat masyarakat dan perbualan Aming bersama ibunya, Santi Sabri, 33.

Nasihat Aming amat berkesan, disampaikan dengan spontan mencuit hati sesiapa sahaja menonton.

Antara yang pernah tular ialah video nasihat memakai pelitup muka dengan betul hinggakan videonya itu tular semula di laman Facebook milik Perdana Menteri yang ketika itu bertugas sebagai Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun ada beberapa video cukup menyentuh hati. Salah satunya ialah apabila Aming mendoakan ibu bapa dan dirinya agar dipanjangkan usia. Sesiapa yang menonton pasti akan menitiskan air mata.

Tiada siapa menyangka, kanak-kanak petah lapan tahun itu kini sudah pergi meninggalkan kita selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Menurut laporan Sinar Harian, Allahyarham mengadu sesak nafas kepada Santi secara tiba-tiba.

Iklan

Katanya, Aming sihat dan aktif tanpa sebarang penyakit atau dijangkiti Covid-19.

Malah kanak-kanak itu sempat mengangkat barang milik ibu, azan, solat dan menikmati mi segera sebelum sesak nafas disisi kedua ibu bapanya.

Iklan

Lebih memilukan, Santi menceritakan Aming sempat berpesan kepadanya untuk menutup aurat dengan sempurna.

“Saya tidak sangka anak saya pergi begitu saja, sebelum dia meninggal, saya dan suami ada di sisinya,” katanya.

Difahamkan, jenazah Aming dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Titingan.