BIAR pun bukan seorang wakil rakyat mahupun orang kenamaan, Aktivis Masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang tetap meneruskan usahanya dalam membantu golongan-golongan yang memerlukan.

Uncle Kentang bukanlah dermawan biasa yang menyampaikan sumbangan besar menerusi kutipan derma kebajikan, sebaliknya beliau biasanya bertindak ‘turun padang’ untuk berurusan terus dengan mereka yang kesempitan hidup.

Tanpa mengira agama dan latar belakang, siapa sahaja yang dilihat perlu menerima bantuan pastinya Uncle Kentang akan cuba bantu sedaya yang mungkin.

Namun, disebabkan oleh kurangnya kakitangan atau pembantu dalam kalangan wanita menyebabkan beliau sedikit mengalami masalah dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan tersebut.

Oleh demikian, Uncle Kentang menyeru kepada individu golongan wanita yang berminat untuk menyertai pasukan sukarelawannya supaya isu berkaitan wanita dapat juga diselesaikan tanpa menghadapi kekangan.

Menerusi kenyataannya di Facebook, Uncle Kentang berkata, beliau bersimpati dengan nasib wanita daripada keluarga kurang berkemampuan ditemuinya yang didapati tidak mempunyai pakaian dalam yang elok dan kekurangan tuala wanita untuk digunakan.

Iklan

Menurutnya, beliau memerlukan sukarelawan wanita kerana bantuan dapat diberikannya terhad selain kebanyakan petugasnya adalah kaum lelaki.

Kriteria yang dicari oleh Uncle Kentang dan cara untuk memohon adalah seperti :

Iklan
  • Wanita yang ada kenderaan.
  • Ada keinginan nak berbakti sebagai manusia.
  • Suka bantu orang.
  • Tinggal di sekitar Puchong.
  • Boleh menyimpan rahsia dan aib mereka yang dibantu.
  • Berdisiplin, berhati mulia dan mulut zip dengan ‘simen’.
  • Jika berminat Uncle Kentang boleh dihubungi di talian 0122732148

Tambah Uncle Kentang lagi, motif utama beliau mencari sukarelawan wanita adalah untuk membeli pakaian dalam dan tuala wanita untuk diberi kepada golongan yang kurang mampu.

Meskipun isu itu kelihatan remeh bagi segelintir pihak namun baginya ia penting bagi memupuk keyakinan dalam diri seorang gadis.

“Ia amat penting kerana ramai gadis kita tak mampu pakai pakaian dalam yang elok… tuala wanita tiada…. maka kita harus mendidik mereka menjadi seorang gadis yang unggul dan ada yakin.

“Kalau baju dalam pun lusuh dan buruk ia tak bagi keyakinan hidup pada seorang anak gadis yang sedang matang,” katanya.