TUGAS menguruskan jenazah hukumnya ialah fardu kifayah termasuklah mengendalikan individu yang meninggal dunia akibat jangkitan koronavirus.

Cuma membezakan pengurusan bagi jenazah mangsa Covid-19 perlu disempurnakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Langkah tersebut bertujuan mengekang penularan jangkitan virus terbabit.

Tanggungjawab menyempurnakan jenazah turut digalas oleh Pasukan Pengurusan Jenazah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Direkodkan, setakat ini kedua-dua pihak itu telah menguruskan sebanyak 1,193 jenazah pesakit Covid-19 beragama Islam di Wilayah Persekutuan.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman sosial Instagramnya.

“Sejak lebih setahun lalu hingga 11 Julai 2021, Pasukan Pengurusan Jenazah Jakim dan Jawi telah menguruskan 1,193 jenazah orang Islam yang dikaitkan dengan Covid-19 di Wilayah Persekutuan.

“Sama-sama kita doakan moga barisan hadapan ini sentiasa dalam lindungan ALLAH SWT,” tulis beliau baru-baru ini.

Sementara itu, di laman Facebook rasmi Jawi memaklumkan pihaknya bertugas menguruskan jenazah di Wilayah Persekutuan.

“Setiap hari Pasukan Pengurusan Jenazah Jakim-Jawi bersiap-siaga menguruskan jenazah Covid-19 di hospital dan pusat perubatan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” kongsinya.

Difahamkan, tuntutan tugasan dilaksanakan adakalanya hingga ke malam di samping berhadapan risiko jangkitan virus Covid-19.

“Pengurus jenazah yang terdiri daripada 50 petugas lelaki dan 19 petugas wanita akan memulakan tugas mengikut giliran kumpulan ditetapkan bermula dari pagi hingga ke petang. Kadangkala boleh menjangkau hingga waktu malam.

Iklan

“Biarpun berdepan dengan risiko yang tinggi, tanggungjawab dan komitmen tetap diberikan sepenuh perhatian oleh para petugas demi tuntutan fardu kifayah ini.

“Jumlah jenazah yang diuruskan pasukan ini telah melebihi 1,050 jenazah sejak awal pandemik sehingga sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, pihak Jawi turut menyarankan agar masyarakat menjaga diri dan membantu mengurangkan penularan wabak terbabit.

Berdasarkan kajian saintifik dan laporan forensik hasil post mortem membuktikan bahawa bendalir yang keluar daripada jenazah Covid-19 berpotensi kebolehjangkitan.

Iklan

Oleh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menyediakan tatacara khas bagi pengendalian jenazah untuk membendung penularan Covid-19.

Bagi jenazah Islam perlu diuruskan dengan hanya melakukan tayammum di atas permukaan luar beg tanpa perlu dimandikan.

Pengendali jenazah diwajibkan memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan mencuci tangan selepas melakukan tayammum untuk mengelakkan sebarang risiko jangkitan.

Bilangan individu yang menunaikan solat jenazah dihadkan dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

Pengebumian perlu dilakukan secepat mungkin dengan pemantauan pihak KKM. Hanya ahli keluarga terdekat dinasihatkan hadir pada pengebumian dan dikehendaki segera meninggalkan tanah perkuburan sebaik sahaja urusan pengebumian selesai.

Sumber: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan – JAWI, @drzulkifli.albakri