IBU dan anak sememangnya sukar dipisahkan. Lebih-lebih lagi anak kecil yang masih memerlukan perhatian dan bantuan.

Wabak Covid-19 tidak memilih mangsa, sesiapa sahaja boleh berdepan risiko dijangkiti termasuk kanak-kanak.

Ya, kanak-kanak juga tidak terkecuali. Bayangkan, pada usia tersebut mereka terpaksa menanggung kesakitan, apatah lagi perlu berjauhan dengan ibu bapa untuk menjalani tempoh kuarantin dan rawatan.

Situasi sedemikian dapat dilihat menerusi sebuah video tular yang memaparkan seorang anak kecil berpisah sementara dengan ibunya hingga mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet.

Menerusi video dikongsikan, pengguna TikTok Yusairah Hadzrami, beliau dikatakan terpaksa berjauhan seketika dengan anaknya, Iman Abduh berusia tiga tahun lantaran masing-masing disahkan positif Covid-19.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by JOM DAKWAH 🇲🇾 (@jom_dakwah)

Menurut guru tahfiz itu beliau mula hilang deria rasa dan bau pada Sabtu lalu. Namun, tidak mengalami selesema dan batuk. Justeru, diarahkan melakukan pemantauan kendiri di rumah.

Sementara itu, Iman dan suami terpaksa dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Selangor.

“Iman perlu dipantau kerana demam pada waktu malam dan degupan jantungnya laju.

“Bacaan oksigen juga rendah semasa pemeriksaan di Pusat Penilaian Covid-19 kelmarin. Saya fikirkan boleh kuarantin sama dengannya di rumah, tetapi akur saranan doktor,” katanya.

Suaminya yang merupakan bilal di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dikatakan mengalami batuk dan selesema.

“Kami sudah merayu untuk kuarantin di rumah, tetapi tidak dibenarkan. Doktor sarankan suami dan Iman ke Maeps selama seminggu hingga 16 Jun ini,” tuturnya sayu.

Sebak hatinya apabila terpaksa meninggalkan anak kecil di sana. Namun begitu, perasaan rindu dan kebimbangan itu mula reda kerana suami sering berhubung dan mengirimkan foto dari semasa ke semasa.

Bukan itu sahaja, mereka turut berhubung melalui penggilan video untuk melepaskan rindu cuma mengelak pada waktu malam kerana bimbang Iman akan menangis kerinduan.

“Menurut suami keadaan Iman alhamdullilah okey. Setiap pagi mereka akan melalui pemeriksaan vital iaitu nadi dan tekanan darah.

“Doktor masih memantau kesihatan mereka hingga 16 Jun ini. Saya reda dan berdoa semoga baik-baik sahaja di sana,” tuturnya.

Sukar untuk menidakkan sepanjang berada di Maeps si kecil menangis rindukan ibu, namun bapanya memainkan peranan mengalihkan perhatian.

“Iman ada mengatakan nak ibu, tapi ayahnya mengalihkan perhatian pada permainan. Jadi dengan cara itu dia tidak menangis,” jelasnya yang menjalani kuarantin kendiri di rumah bersama anak kedua, Iman Yusuf yang masih bayi.

Pun begitu, Yusairah bersyukur anaknya itu bebas koronavirus.

Video perkongsian Yusairah tersebut memperoleh puluhan ribu tanda suka.

Iklan

Menjengah ruangan komen rata-rata warganet menzahirkan kata semangat dan titipan doa supaya mereka sekeluarga segera sembuh dan bersatu semula.

Antaranya komen netizen:

– “Semoga adik cepat sembuh tau. Acik doakan semoga seluruh keluarga adik sentiasa diberikan kekuatan.”

– “Saya tak dapat bayangkan dalam situasi macam ni. Semoga sis sekeluarga cepat sembuh.”

– “Semoga semua cepat sembuh baby, ibu, dn ayah Iman juga. Saya jadi trauma keluar rumah, tambah-tambah bila info kes sporadik meningkat. Kita beli barang dapur jaga SOP pun berisiko juga.”

Iklan

– “Alahaii, semoga cepat sembuh untuk keluarga adik Iman, aamin. Bijaknya dia.”

– “Kenapa tiba-tiba mata masuk habuk.”

Sudah lebih setahun negara bergelut dengan virus jahat ini.

Semoga inisiatif rakyat Malaysia mendapatkan suntikan vaksin membantu negara mencapai imuniti kelompok bagi membendung penularan Covid-19.

Sumber: Yusairah Hadzrami