MENGHADAPI pemergian insan tersayang amat memilukan. Kesedihan dialami sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Pada ketika itu mampu dilakukan menyeka air mata yang tertumpah.

Keperitan itu semakin membukam jiwa apabila tidak berpeluang menabur bakti akhir menguruskan jenazah insan tersayang terutamanya ahli keluarga yang meninggal dunia disebabkan jangkitan Covid-19.

Inilah situasi yang dialami seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Norasma Tahir. Beliau berkongsi rakaman video perjalanan terakhir ibu tercinta yang mengundang sayu dalam kalangan warga maya.

Video berdurasi 22 saaat itu memaparkan ahli keluarganya berdiri di depan rumah melambaikan tangan ke arah van jenazah yang membawa ibunya ke tanah perkuburan sambil diiringi kereta polis.

 

Lebih memilukan apabila pasukan berkenaan bertindak memperlahankan kenderaan supaya ahli keluarga tersebut berpeluang memberikan penghormatan terakhir kepada arwah walaupun sekadar lambaian sahaja.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ZAYAN (@zayan.my)

“ALLAHUAKBAR…Kuatkan semangatku untuk hari-hari mendatang. Video call terakhir jam 9.30 pagi sebelum mak dijemput Illahi jam 10.29 pagi. 2/7/2021 pagi Jumaat yang penuh kemuliaan dan keberkatan.

“AYAH…. sambut dan pimpinlah tangan MAK dengan penuh kasih sayang menuju ke Jannah. Al-Fatihah untuk mu,” tulisnya baru-baru ini.

Dalam perkongsian yang sama, beliau turut menulis: “Mak (14/1/1935 – 2/7/2021 – 86 tahun), ayah(18/10/1929 – 19/12/2011 – 82 tahun).”

Momen yang dipercayai berlaku di Janda Baik, Pahang itu turut menyaksikan ahli keluarga cuba menenangkan kesedihan antara satu sama lain.

Iklan

Anggota polis yang mengiringi menggunakan alat pembesar suara memohon maaf dan meminta ahli keluarga bersabar dan sedekahkan surah al-Fatihah buat allahyarham.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut mengenai punca pemergian wanita berusia 86 tahun itu yang meninggal dunia pada pagi Jumaat lalu di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang.

Iklan

Sumber: Norasma Tahir, Siti Norsiah Osman

Kredit: Zayan.my