HANYA kerana berang akibat kucing membuang najis di hadapan rumah, seorang wanita warga emas hilang pertimbangan dan bertindak kejam terhadap haiwan tersebut sehingga mati.

Wanita warga emas itu dilaporkan tergamak memukul dua ekor kucing dengan kejam menggunakan sebatang besi sehingga salah seekor daripada kucing yang sedang bunting mati.

Kejadian itu sempat dirakam oleh saksi yang telah membuat laporan polis dan juga Jabatan Veterinar yang tidak berpuas hati dengan tindakan wanita terbabit.

Wanita tersebut bagaimanapun berjaya ditahan polis untuk membantu siasatan.

Kejadian yang berkalu kira-kira jam 1.20 petang semalam di kawasan perumahan di Jalan Pintas Kaloi, Seberang Jaya, Pulau Pinang kini tular selepas video yang sempat dirakam oleh saksi tersebut dimuat naik di laman sosial.

Rata-rata orang ramai mengutuk tindakan tidak bertanggungjawab wanita tersebut yang disifatkan sangat zalim terhadap haiwan.

Dalam kejadian itu, seekor lagi kucing telah mengalami kecederaan di bahagian mulut akibat dipukul dan menyebabkan mulut haiwan tersebut terbuka sehingga terjelir lidahnya.

Memetik laporan portal media tempatan, seorang saksi memberitahu, sewaktu kejadian, dia bersama seorang lagi rakan sedang memberi makan kepada beberapa ekor kucing terbiar di kawasan tersebut.

Iklan

Namun, secara tiba-tiba seorang wanita yang turut tinggal di kawasan itu dilihat mengambil sebatang besi dari dalam kenderaannya sebelum bertindak memukul dua ekor kucing yang sedang makan.

Jabatan Veterinar yang menerima maklumat berhubung kejadian segera ke lokasi bagi mengambil kucing yang cedera untuk dirawat di Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam.

Iklan

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.