[KEMASKINI] BEBERAPA hari lalu, tular satu video yang menyentuh hati warganet. Mana tidaknya, video memperlihatkan seorang pak cik di tepi kaki lima jalan sedang mempertahankan jualan jagungnya yang tidak seberapa itu daripada ‘diangkut’ oleh pihak penguatkuasa majlis.

Ditambah dengan komen mereka yang mengenali latar belakang pak cik tersebut, video itu yang tular beberapa hari lalu meruntun jiwa warganet hingga ke hari ini.

Foto rakaman video berkenaan.

Apalagi selepas kejadian itu, seorang gadis, menggunakan nama Siti Norfadhilla di media sosial mengakui pak cik tersebut merupakan bapanya. Penjelasan diberikan tentang individu itu lebih menyentuh hati.

Berikut antara maklum balas Siti Norfadhilla Basrol tentang video yang tular itu:

Assalamualaikum saya anak kandung kepada orang tua yang kalian kasari tu. Dia tu ayah saya . Saya mengaku memang dia degil dan kami pernah membuat permohonan lesen dll tapi tak diluluskan mungkin atas faktor lokasi atau lain-lain. Tapi ayah saya tiada pilihan lain dan tempat lain dan dia hanya boleh menjual jagung dan disahkan menghadapi Retinitis Pigmentosa yang menggaggu penglihatan ayah saya. Padahal ayah saya memang ada bukti surat doktor dan memang tidak dapat diubati. Jagung inilah mata pencarian untuk kami, saya masih belajar dan belum bekerja berasa sangat kecewa kerana belum mampu membantu ayah saya. Dia memang sangat tertekan kerana tak nampak jalan keluar untuk mencari sumber pendapatan dengan keadaan mata macam tu. Kami ada 6 orang adik beradik dan 5 orang yang masih belajar termasuk saya. Kalau dah tamat belajar dan sudah bekerja , saya takkan biar ayah kami macam ni. Dia cuma ingin mencari sesuap nasi bukan merompak. Saya sangat kecewa dengan semua ni.

Lebih sejam lalu ini posting terbaharunya susulan kejadian.

 

Ustaz Ebit Lew rayu

Semalam, pendakwa bebas, Ustaz Ebit Lew sempat melawat pak cik ini. Ini kongsi beliau di Facebooknya mengenai penjual jagung itu:

 

Sedih sangat rasa. Semalam tengok video pak cik ini tengah berniaga jagung di Selayang. Pakcik rabun 90 peratus penglihatan tak nampak. Cuma 10 peratus tinggal. Nampak bayang je. Muka semua dah tak boleh nampak. Kasihan rasanya. Berniaga jagung disitu dah 5 tahun.

Dari dulu ini je kerjanya cuma di tempat lain. Anak semua masih sekolah. 5 masih belajar lagi. Semua rajin-rajin. 2 orang di universiti. Ada anaknya yang cuti sekolah bawa Food Panda. Pak cik ni sehari dapat RM50 jika habis jagungnya. Dalam seminggu dah 3 kali semua jagung kena rampas.

Yelah berniaga di situ salah sebab tiada lesen. Tapi saya rasa kasihan padanya. Baik pak cik ni.

Saya tak salahkan sesiapa cuma terfikir macam mana nak bantu pak cik ini. Dengan rendah diri saya merayu MPS dapat membantu pakcik ini. Segala pertolongan kepada pak cik ini saya dahulukan ucapan terima kasih.

Rezeki dan ujian masing-masing. Kita sebagai saudara tugas membantu mereka. Saya hadiahkan RM1ribu dan tanya jika perlu bantuan apa-apa. Pak cik ni sebak dan tak ingin yang lain-lain.

Pak cik ini dan isteri berniaga buah sikit je tepi jalan. Mereka kenal saya. Selalu tengok video dan ceramah saya. Katanya dapat jumpa ustaz dah bahagia. Mereka tak nak apa-apa. Gembira rasa. Pelukan dengan tangisan sebak. Bila saya tanya apa saya boleh bantu. Pak cik ni taknak apa-apa dari saya.
Sabarlah pak cik. Saya doakan ALLAH mudahkan rezeki pak cik mak cik dan anak-anak. Semoga anak semua jadi anak yang baik dan hebat, titip Ustaz Ebit.

Terdahulu Siti Norfadhilla turut mengucapkan ribuan terima kasih banyak atas perhatian yang diberikan oleh semua insan yang berjiwa bersih dan baik hati yang membantunya tak kira dari segi sokongan moral atau wang ringgit.

Semalam beliau menyampaikan kata-kata daripada ibu bapanya susulan kejadian itu.

Mereka yang menyuruh saya menyampaikan ini:

Iklan

“Kepada semua, kami sekeluarga telah memaafkan semua anggota-anggota penguatkuasa tersebut. Saya harap hentikanlah semua kecaman yang menyeksa mereka. Harap jangan mengambil tindakan terhadap mereka. Kita semua buat salah takda yang sempurna. Kami seikhlas hati telah memaafkan mereka. Saya faham apa yang mereka rasakan sekarang. Harap kita semua dapat memaafkan mereka,” kongsinya di status Facebooknya.

Maklum balas Majlis Perbandaran Selayang

Maklum balas daripada pihak majlis perbandaran berkenaan sudah diperoleh.

Penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mendakwa menerima provokasi daripada seorang warga emas yang juga peniaga jagung hingga menimbulkan perang mulut antara dua pihak seperti yang tular di media sosial pada Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad berkata, kejadian tersebut berlaku Jumaat lalu sewaktu operasi penguatkuasaan terhadap penjaja tanpa lesen di sekitar Pasar Selayang Jaya.

Menurutnya, semasa operasi dilaksanakan MPS telah mengeluarkan tiga kompaun dan tiga sitaan ke atas peniaga yang terlibat.

“Bagaimanapun anggota penguat kuasa MPS berdepan provokasi dari peniaga jagung tersebut semasa tindakan sitaan dilaksanakan.

Iklan

“Peniaga tersebut yang merupakan pemegang kad pemastautin tetap (PR) gagal memberikan kerjasama hingga menimbulkan kekecohan semasa penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Zin berkata, peniaga berkenaan pernah beberapa kali dikenakan tindakan amaran, kompaun dan sitaan sebelum ini, namun berdegil meneruskan aktiviti perniagaan.

“Sebagai pemegang kad pemastautin tetap (PR) peniaga tersebut tidak layak untuk memohon permit penjaja berdasarkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN),” katanya.

Beliau berkata, MPS akan mengambil tindakan undang-undang termasuk laporan polis atas kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

“Selain itu, laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga akan dibuat ke atas individu yang membuat rakaman dan menyebarkan video berkenaan.

“Tindakan tersebut telah menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat dan menjejaskan nama baik MPS,” katanya.

Apa pun, doa SinarPlus semoga semuanya yang baik-baik untuk keluarga pak cik ini dan anak-anaknya. Begitu jua pada pihak terbabit yang menjalankan tugasnya. -AG