Walau buta mata, Aisyah Humairah tidak buta hati. Remaja ini pilih mendekati al-Quran dalam hidupnya

MESKIPUN hidup dalam ‘dunia gelap’, ia bukan penghalang kepada remaja perempuan kurang upaya cacat penglihatan, Aisya Humairah Mohd Sharizal, 13, untuk mempelajari kalamullah yang kaya dengan pedoman dan isi cerita.

Melihat jari-jemarinya laju menyentuh susunan titik braille al-Quran dan pada masa sama, mengalunkan bait-bait ayat suci dengan lancar pada Majlis Khatam al-Quran 2.0 anjuran Sinar Islam Plus baru-baru ini, membuka mata penulis.

Ia juga sekali gus memberi tamparan kepada kita yang celik agar turut sama berusaha sepertinya.

Tiada masalah untuk diwawancara, anak kelahiran negeri Kedah yang membesar di Bangi, Selangor itu dengan rasa rendah diri berkata, boleh membaca kitabullah dengan baik.

Dirinya juga bergiat aktif dalam menyertai banyak pertandingan tilawah al-Quran sejak dari sekolah rendah lagi.

“Saya telah banyak kali terpilih untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran dan sudah beberapa tahun berjaya ke peringkat kebangsaan.

“Antara pencapaian terbaik saya adalah memperoleh tempat kedua semasa Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi kategori masalah penglihatan pada tahun 2021,” ujarnya.

Baca juga: 30 OKU penglihatan khatam al-Quran

Baca juga: Johan tilawah al-Quran, Sofizah Mousin belajar taranum sejak kecil. Mahu perluaskan ilmu dan kembara dakwah

Saat ditebak dengan beberapa soalan, pelajar tingkatan 1, Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur itu memberitahu, beliau dilahirkan sebagai bayi normal pada 17 Disember 2010.

Pun demikian, Aisya Humairah disahkan menghidap kanser mata ketika usianya setahun dua bulan.

Rentetan daripada itu, beliau terpaksa menjalani rawatan kimoterapi bagi mengelak tumor merebak ke otak.

Mata kirinya juga terpaksa dibuang (pada usia tiga tahun).

Setahun kemudian, remaja itu hilang mata sebelah kanan, sekali gus menjadikannnya orang kurang upaya kategori cacat penglihatan sepenuhnya.

Taranum

Walaupun perjalanan hidupnya tidak seindah seperti kanak-kanak lain seusianya, Aisya Humairah yang merupakan cancer survivor tidak menjadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk bergiat aktif dalam aktiviti kerohanian.

Beliau antara lain telah dihantar oleh ibu bapanya untuk belajar al-Quran pada usia lima tahun dan mempelajari kitab suci tersebut dengan beberapa orang guru mengaji.

“Saya mula mengenal huruf al-Quran dengan menggunakan buku Iqra braille sebelum secara berperingkat mengaji menggunakan al-Quran braille yang dibeli ibunya secara second hand saja pada tahun 2019.

“Walaupun huruf al-Quran braille menggunakan abjad a, b, c, namun saya terkeliru kerana ia mempunyai baris untuk membunyikan setiap tanda bacaan pada kitab agung tersebut.

“Jadi, pada peringkat awal mengaji, saya akui memang berdepan kesukaran untuk menghafal baris-baris tersebut,” imbaunya.

Remaja yang manis tersenyum walaupun tidak pernah melihat rupa parasnya sendiri berkata, beliau menjadikan guru taranumnya, Ustazah Norsyafirah Jusoh sebagai idola.

Ustazah Norsyafirah ialah Johan Qariah dalam Pertandingan Tilawah dan Hafazan al-Quran 2023 peringkat negeri Perlis.

“Saya mengagumi Ustazah Norsyafirah kerana beliau boleh membaca al-Quran dan bertaranum,” tambahnya.

Cerita Aisya Humairah, pengalaman manis bagi dirinya sejak aktif menyertai tilawah adalah berkesempatan untuk berdikari sendiri buat pertama kali ketika menyertai Pertandingan Tilawah al Quran Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia pada tahun 2020.

Iklan

Menariknya lagi, ketika itu empunya diri menjadi peserta termuda mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

Sebelum aktif menyertai pertandingan tilawah al-Quran, remaja itu juga pernah mengikuti pertandingan hafazan melibatkan Juz Amma ketika berusia lima tahun sebelum kini lebih fokus untuk mendalami kaedah bacaan al-Quran bertaranum.

Pesanan khas

Dalam pada itu, berkongsi tentang aktiviti hariannya pula, anak kedua daripada empat orang adik beradik itu berkata, beliau tidak berdepan dengan masalah untuk menguruskan diri ketika berada di asrama.

Sejak kecil, tuan punya badan telah dilatih oleh ibunya mencuci, menjemur dan melipat sendiri pakaian dan menyusunnya di dalam almari.

“Ketika hujung minggu saya akan pergi kelas berenang kerana saya mempunyai impian mahu menjadi atlet renang paralimpik, jadi saya perlu berlatih bermula dari sekarang,” katanya lagi.

Selain itu, anak kepada pasangan jurutera dan suri rumah itu juga aktif bermain catur.

Iklan

Aisya Humairah pernah terpilih menyertai pertandingan catur peringkat negeri Selangor dan semasa Hari Wilayah Persekutuan.

Kalau diteliti semula, memang hebat portfolio remaja berkenaan dan sememangnya mencetuskan inspirasi. Kesungguhan beliau sesungguhnya menyentuh perasaan.

Sebelum kami mengucapkan selamat tinggal, Aisya Humairah menasihatkan agar remaja yang seusianya terutama mereka yang mempunyai penglihatan normal supaya berusaha tanpa jemu dan terus-menerusi mempelajari dan memahami inti pati al-Quran.

Ujarnya, untuk berjaya, seseorang tidak boleh cepat mengalah.

“Belajar mengaji memerlukan kerajian. Jangan berputus asa walaupun melihat orang lain sudah berada pada peringkat yang lebih baik.

“Contohnya, meski kita masih belajar mengaji menggunakan buku Iqra tetapi rakan-rakan lain mungkin sudah mula membaca al-Quran, teruskan berusaha dan jangan give up,” katanya dengan nada semangat.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.