SUSULAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sudah dilonggarkan, nampaknya ramai juga yang sudah mula teruja untuk ke sana-sini dalam urusan harian.

Tidak dapat dipastikan sama ada mereka yang keluar ke satu-satu destinasi terutama ke lokasi awam seperti pasar dan pusat membeli-belah kerana benar-benar perlu keluar dari kediaman atau hendak mencuci mata.

Apa yang pasti, seperti dikongsikan warga netizen di maya, ramai juga seakan melupakan soal penting dalam memutuskan wabak Covid-19.

Ada yang sudah mula tidak memakai topeng muka (tidak diwajibkan, namun amat digalakkan sama ada bergejala atau tidak), tidak menjaga jarak sosial dan mengabaikan membasuh tangan atau memakai cecair sanitasi!

Memang ramai yang sudah mula keluar rumah. Mereka nampak sihat…. Tapi tahukah anda tanpa terlihatnya gejala berkaitan pada seseorang, sebenarnya dia boleh jadi pembawa Covid-19 atau golongan yang telah dijangkiti!

Itu kongsi Public Health Malaysia (PHM).

Mudah merebak

Menurut PHM, antara ciri-ciri unik jangkitan Covid-19 yang menyebabkan ia lebih mudah merebak adalah kerana ia menyebabkan sesetengah individu TIDAK mempunyai sebarang gejala walaupun telah dijangkiti.

“Individu ini mempunyai viral load (bilangan dan kandungan virus) yang sama seperti individu yang bergejala dan mempunyai kapasiti yang sama untuk menyebabkan jangkitan.

Penularan jangkitan dari individu yang tidak bergejala kepada golongan berisiko seperti warga tua dan pesakit kronik adalah suatu perkara yang paling membimbangkan.

Satu satunya cara untuk mengetahui status jangkitan adalah dengan menjalani ujian saringan Covid. Bagaimanapun, buat masa ini, ujian hanya dilakukan pada golongan sasar yang mempunyai potensi jangkitan.

Cara yang ada untuk mencegah penularan jangkitan dari individu yang tidak bergejala adalah dengan terus mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan tempat yang padat/ sesak,” kongsi PHM di laman Facebooknya.

Mohon semua pelajar tahfiz, madrasah hubungi PKD terdekat

Dalam pada itu PHM meminta semua pelajar tahfiz dan madrasah di seluruh Malaysia agar memeriksa tahap kesihatan diri berkaitan Covid-19.

“Perhatian kepada SEMUA pelajar tahfiz dan madrasah di seluruh Malaysia, anda diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Sehingga kini,

✅ 635 kes positif telah dikesan
✅ 539 atau 84.9% kes TIDAK BERGEJALA

Keadaan ini akan meningkatkan risiko penyebaran kepada ahli keluarga dan masyarakat setempat,” tulis PHM lagi, semalam.

Bimbang menjangkiti orang terdekat 

Terdahulu Bernama melaporkan, enam buah kluster Covid-19 yang melibatkan madrasah tahfiz dikenalpasti.

Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 539 daripada 635 orang dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan madrasah dan tahfiz atau 84.9 peratus yang dikesan positif Covid-19 tidak mempunyai sebarang gejala saluran pernafasan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini seterusnya boleh mengakibatkan penularan yang lebih meluas dalam kalangan ahli keluarga mereka dan masyarakat setempat, sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

Iklan

Menurut KKM, pelajar dan kakitangan di madrasah atau sekolah tahfiz dikategorikan golongan berisiko tinggi mendapat Covid-19.

Dalam perkongsian KKM di Facebooknya hari ini, mereka itu dikaitkan dengan perhimpunan di Seri Petaling iaitu kluster terbesar di Malaysia dan masih aktif.

“Sehingga 14 Mei, seramai 19,209 pelajar dan kakitangan dari 370 madrasah/ tahfiz/ sekolah pondok sudah disaring dan diuji sampel dan hasilnya 635 disahkan positif.

Hasil saringan ini, didapati kadar positif kumpulan berisiko ini 5.1% dibandingkan 4.4% pada minggu sebelumnya.

Trend kenaikan kadar positif ini membimbangkan kerana kebarangkalian untuk mereka menjangkiti orang lain makin meningkat.

Daripada 635 org yg positif itu, 539 atau 85% tidak menunjukkan sebarang gejala termasuk tiada masalah pernafasan (sesak nafas).

Dengan kata lain, pelajar dan kakitangan madrasah, sekolah tahfiz atau sekolah pondok boleh menjangkiti ahli keluarga dan orang sekeliling/masyarakat setempat dengan mudah.

Setakat ni, enam kluster di madrasah dan tahfiz dan terbaru Madrasah Solok Duku di Melaka (dua pelajar dan dua ahli keluarga kakitangan disahkan positif).

Iklan

Daripada 6 kluster ni, 4 disahkan subkluster Perhimpunan di Seri Petaling manakala 2 lagi masih dalam siasatan,” kongsi KKM.

Dalam pada itu, ini saranan KKM:

1. Bagi pelajar yang telah pulang ke rumah, ibu bapa atau penjaga diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat untuk diambil sampel untuk ujian.

2. Bagi pelajar yang yang masih berada di asrama, mereka diminta kekal di asrama dan tidak keluar. Hubungi PKD terdekat untuk ujian persampelan.

3. Kepada pemilik atau pengurusan madrasah, tahfiz atau sekolah pondok, mereka diminta menghubungi PKD terdekat dan menyalurkan maklumat diperlukan bagi KKM menjalankan pendekatan tertumpu.

Anda mempunyai anak, rakan, saudara mara, jiran atau orang dikenali dalam kalangan pelajar tahfiz dan madrasah? Mohon panjangkan pesanan ini.

Moga di bulan mulia ini terkabul doa kita agar dijauhkan Covid-19. -AG #PastiAdaSinar