KHAMIS lalu tular di media sosial video yang memaparkan seorang wanita bertindak mengeluarkan kata-kata kasar dan provokasi terhadap anggota polis bertugas.

Video berdurasi kurang dua minit itu memaparkan tiga anggota polis bertindak profesional meskipun wanita dikenali sebagai Wawa Wahid Enterprise bertali arus memarahi dalam nada yang kuat ketika berurusan.

Difahamkan ketika insiden polis mengeluarkan saman terhadap wanita terbabit atas kesalahan cukai jalan dan insurans kenderaan tamat tempoh.

Pun begitu, berlaku kekecohan sehingga wanita itu mengeluarkan berbaur ugutan seperti ‘kau siapa mau saman saya, nasib kau lelaki, kalau perempuan saya kasi telanjang kau dan rungkup kau’.

 

Susulan itu, seorang wanita yang didakwa mengugut anggota polis di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan Kepayan, Kota Kinabalu, Sabah direman selama dua hari bagi membantu siasatan .

Wanita berusia 34 tahun itu ditahan di sebuah kondominium di Jalan Lintas, Kota Kinabalu kira-kira pukul 11.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, keterangan daripada seorang pegawai dan tujuh anggota serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut diambil bagi membantu siasatan lanjut.

Pihak polis turut merampas beberapa barang milik wanita itu termasuk kunci kereta, kenderaan, pakaian dan telefon bimbit serta tiga lagi telefon bimbit milik anggota terlibat.

 

Iklan

 

Pakaian tersebut dirampas bagi mengenal pasti ia adalah pakaian dipakai wanita itu dalam kejadian yang dirakam dalam video.

Hasil siasatan lengkap akan diserahkan ke Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Kejadian tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada warganet termasuk mengecam tindakan wanita terbabit dan mahu mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.

Iklan

Baca juga Berkasar Dengan Polis, ‘Wawa Wahid Enterprise’ Beri Penjelasan, Mohon Maaf

SinarPlus pada Jumaat lalu turut melaporkan tentang insiden berkenaan. Wanita yang dikenali sebagai Wawa itu mengakui kejadian berlaku pada 1 Jun lalu dan disaman akibat cukai jalan kenderaan dikatakan tamat tempoh.

Bagaimanapun, dalam hantaran Facebook beliau telah memohon maaf andai tindakannya mengguris hati anggota bertugas.