PERIBAHASA Inggeris “the proof of the pudding is in the eating”, ternyata tepat bagi warga Itali Francesco De Leonardis yang pertama kali merasai hidangan nasi campur pada bufet majlis akad nikahnya di London, 14 tahun lepas, adalah permulaan berputiknya cinta beliau dalam masakan tradisional Malaysia.

Memetik laporan media tempatan, Leonardis, memilih nama Islam, Daniyal Yaqeen, berterima kasih kepada isterinya, Eita Salehoddin, dari Malaysia kerana memperkenalkannya ilmu masakan tempatan tersebut.

“Kali pertama (menikmati sajian Malaysia) adalah selepas majlis akad nikah kami di London. Kami makan di kantin Jabatan Penuntut Malaysia (MSD). Terdapat bufet yang enak iaitu nasi campur.

“Sesetengah hidangan terlalu pedas, tetapi akhirnya, saya semakin menyukainya. Sejak itu saya mula meneroka pelbagai (sajian Malaysia) dan sekarang lihatlah, saya telah menikmati pelbagai hidangan yang berbeza,” katanya kepada pemberita apabila ditemu bual melalui aplikasi Zoom.

Daniyal yang telah mencuba laksa Johor, laksa Pulau Pinang serta pelbagai hidangan nasi Malaysia, amat meminati tauhu bergedil dan pelbagai jenis masakan kari, ‘asalkan tidak terlalu pedas’.

Eita, yang berasal dari Muar, Johor berkata, beliau amat terharu melihat suaminya dapat menyesuaikan diri dengan makanan dan budaya Malaysia.

“Saya sangat menghargainya sebagai rakyat Malaysia. Saya tahu sebahagian orang di sini tidak terbuka untuk menerima budaya dan masakan baharu.

“Saya sebenarnya bangga dengan beliau dan kami kini boleh dikaitkan dengan satu sama lain,” katanya.

Untuk menggalakkan minat suaminya dalam sajian Malaysia, beliau juga menampilkan suaminya dalam saluran masakan di YouTubenya, Cooking with Eita, yang beliau biasanya menyediakan masakan tradisi Melayu seperti daging masak hitam cara orang Perak dan beriani komak.

Iklan

Selain masakan, cinta Daniyal terhadap budaya tempatan Malaysia turut seiring, Daniyal boleh dilihat dalam video itu memakai kain pelikat dan bertutur dalam bahasa Melayu ketika membantu isterinya memasak.

Apabila ditanya apakah yang mendorongnya memakai kain pelikat, Daniyal berkata kain itu merupakan barang hantarannya semasa majlis akad nikah dan dia mencontohi bapa mentuanya yang memakai kain pelikat.

Iklan

“Bapa Eita memakai kain pelikat dan ia adalah selesa. Selepas balik kerja, memakai kain pelikat di rumah lebih best dan sangat selesa ketika sembahyang,” katanya.

Pasangan itu sebelum ini kerap pulang ke Malaysia. Bagaimanapun sekatan perjalanan yang dikuatkuasakan berikutan pandemik global pandemik Covid-19 menyebabkan mereka tidak dapat melakukan perjalanan ke sini sejak beberapa bulan yang lepas, membangkitkan kerinduan mereka kepada Malaysia dan peluang untuk mencuba lebih banyak makanan yang sedap dan lazat.