SEPERTI yang diketahui umum, hari ini adalah merupakan hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat kali kedua di setiap negeri di Malaysia.

Kerajaan sekali lagi terpaksa melaksanakan PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa bagi negeri-negeri yang terlibat mulai 13 hingga 26 Januari 2021 sebagai usaha mengekang penularan wabak Covid-19.

Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, beberapa sektor dan aktiviti tertentu yang melibatkan perhimpunan dan persentuhan sosial sama sekali tidak dibenarkan.

Perkara itu termasuk juga resepsi perkahwinan dan akad nikah yang mana sebelum ini urusan akad nikah di kebanyakan negeri hanya dibenarkan berlangsung menerusi sidang video sahaja ketika PKP pada Mac lalu.

Disebabkan itu tular satu posting di media sosial Facebook yang mana sepasang mempelai berkongsi kisah mereka yang mengambil keputusan mengejut untuk mempercepatkan urusan akad nikah yang sepatutnya telah dijadualkan 1 Februari ini sebelum kerajaan melaksanakan PKP.

Perkongsian itu tular dan menjadi bualan ramai apabila keputusan yang dibuat oleh individu yang dikenali sebagai Izatul Israq dan pasangannya itu melambangkan Agama Islam itu sendiri tidak sukar dan ia tetap sah selagi tidak melanggar hukum syarak.

Berkenaan borang dan permohonan nikah semua itu boleh dikemas kini dan diisi semula.

Iklan

“Di hari terakhir kita bebas sebelum PKP, saya selamat dinikahkan. Semua benda jadi tanpa sebarang perancangan.

“Kami berusaha hubungi pejabat agama dan tanya maca mana urusan nikah yang sepatutnya pada 01 Feb 2021, jadi pejabat agama bagi pilihan sama ada tunda dan borang kena buat semula atau nikah hari ini.

“Telefon mak dan abah jelaskan semuanya. Kami putuskan nikah hari ini dan ya, saya tengah kerja.

“Terpaksa ambil Emergency Leave (EL) dan suami saya yang pada mulanya bersiap untuk pergi kerja terus ke pejabat agama,” tulisnya di Facebook.

"Ya, saya nikah pakai baju kerja"

Lebih mencuri perhatian, akibat kedua mereka mengambil EL mereka ke pejabat agama dengan berpakaian kerja dan dengan pakaian itu jugalah mereka bernikah.

Iklan

“ye, saya nikah guna baju kerja,” tambahnya.