SETAKAT artikel ini ditulis, lebih 85 juta kes Covid-19 dilaporkan di 220 buah negara dengan Vanuatu mencatatkan kes yang pertama baru-baru ini.

Jumlah kematian pula mencecah 1.8 juta sejak pandemik mula dikesan secara drastik pada Disember 2019 di Wuhan China.

Di Malaysia sahaja, sebanyak 119,000 kes telah dicatatkan dan gelombang ketiga yang sedang diharungi kini semakin ditakuti dengan kehadiran musim banjir yang dijangkakan bakal meningkatkan lagi jumlah kes positif.

Pun demikian, Covid-19 masih belum dicatat dalam sejarah sebagai pandemik terburuk.

Mendahului plot sejarah pastinya tragedi The Black Death (penyakit Bubonic Plague yang berkaitan dengan bakteria kutu yang hidup di celah bulu tikus) yang berlaku selama lima tahun (bermula 1347 hingga 1351).

Wabak misteri itu telah 200 juta nyawa di China, India, Iran, Rusia, England, Perancis, Mesir, Jerman, Itali dan beberapa negara Eropah Timur.

Di sebalik itu semua, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kembali mengingatkan bahawa terdapat penyakit-penyakit lain yang terus menghantui ramai.

Laman web perubatan terkemuka, Healthline berkata, pandangan yang menyebut bahawa punca kematian banyak disebabkan oleh penyakit yang tiada penawar, fakta itu bagaimanapun tidak tepat.

Ini kerana kata mereka, 10 penyebab utama individu dijemput ajal adalah berpunca daripada penyakit yang berkembang secara perlahan.

“Namun, adakalanya sesuatu penyakit boleh dicegah, namun disebabkan faktor-faktor seperti akses untuk mendapatkan rawatan, lokasi tempat tinggal dan kualiti penjagaan, nyawa seseorang tak dapat diselamatkan,” katanya.

Berikut 10 penyakit teratas yang menyebabkan kematian paling banyak di seluruh dunia, menurut WHO sebelum pandemik Covid-19 ‘menggodam’ nyawa manusia. Rata-rata yang disenaraikan juga merupakan penyakit yang lazim dihadapi oleh rakyat Asia terutama Malaysia.

1. Penyakit arteri koronari

Penyakit paling utama menjadi punca kematian di dunia adalah penyakit arteri koronari (CAD). Ia juga dikenali sebagai penyakit jantung iskemik.

CAD berlaku apabila saluran darah yang membekalkan darah ke jantung menjadi sempit. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan seseorang diserang sakit dada, berdepan dengan kegagalan jantung dan aritmia.

Menurut infoplease.com, daripada 57 juta jumlah kematian di seluruh dunia, penyakit CAD menyumbang lebih daripada 12 peratus secara keseluruhan statistik.

Di Malaysia pula, penyakit jantung iskemik adalah pembunuh nombor satu. Buktinya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 16,325 kematian dicatatkan pada tahun 2019. Jumlah itu merangkumi 11,330 orang atau 69.4 peratus kematian lelaki dan 4,995 orang atau 31.6 peratus wanita.

2. Strok

Strok berlaku apabila arteri pada otak tersumbat atau bocor. Keadaan itu akan menyebabkan sel-sel otak yang kekurangan oksigen mula mati dalam beberapa minit.

Semasa strok, pesakit akan menghadapi masalah untuk berjalan dan penglihatan mereka juga terjejas.

Sekiranya tidak dirawat, ia boleh menyebabkan seseorang berdepan dengan kecacatan jangka masa panjang.

Pun demikian, beberapa faktor risiko strok dapat dikurangkan dengan rawatan pencegahan, ubat-ubatan dan amalan gaya hidup sihat.

Menurut jurnal bertajuk Trends in Stroke Incidence and 28-Day Case Fatality in a Nationwide Stroke Registry of a Multiethnic Asian

Population di Asia Tenggara, strok adalah penyebab kematian yang paling biasa di Indonesia, Thailand, Vietnam, dan Myanmar, perakaunan

masing-masing sebanyak 21.6 peratus, 10.7 peratus, 15.9 peratus, dan 10.1 peratus.

Di Malaysia pula, merujuk Pusat Perkhidmatan Komprehensif Strok, seramai 13,799 pesakit atau 9.8 peratus daripada jumlah kematian adalah pesakit strok pada tahun 2018. Angka kematian berkenaan disesuaikan dengan usia 62.64 (tahun) setiap 100,000 penduduk di Malaysia.

3. Jangkitan sistem pernafasan akut

Lazimnya, penyakit itu akan menyebabkan jangkitan pada saluran udara dan paru-paru. Ia mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti selesema, pneumonia, bronkitis dan batuk kering.

Menyentuh tentang batuk, ia merupakan gejala utama kepada masalah jangkitan pernafasan selain mengalami sesak nafas dan sesak pada bahagian dada. Sememangnya jika tidak dirawat, ia boleh membawa kepada kematian.

Pneumonia pula antara penyakit yang sering menyerang kanak-kanak. Menurut data Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2018, dianggarkan seramai 8.8 juta kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh dunia meninggal dunia.

Seorang daripada lima kematian itu disebabkan oleh pneumonia atau dengan kata lain, seramai 1.5 juta kanak-kanak meninggal dunia akibat penyakit itu.

4. Paru-paru obstruktif kronik (COPD)

Ia merupakan penyakit paru-paru jangka masa panjang yang akan menyukarkan pernafasan. Bronkitis kronik dan emfisema juga datang daripada kumpulan penyakit COPD.

Pada tahun 2004, kira-kira 64 juta orang di seluruh dunia hidup dengan COPD dan sebanyak 3.1 juta kematian direkodkan (2015).

Merujuk data Kementerian Kesihatan Malaysia, kadar kematian tahunan bagi setiap 100,000 orang yang mengalami COPD telah meningkat sebanyak 63.9 peratus sejak tahun 1990, dengan purata sebanyak 2.8 peratus setahun. Sehingga kini, dianggarkan 19.5 peratus bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia menghidap COPD.

Menurut healthline.com, faktor penyebab COPD adalah berkaitan dengan asap rokok daripada perokok aktif dan perokok pasif selain dikaitkan dengan genetik keturunan.

Tidak ada penawar untuk COPD, tetapi perkembangannya dapat diperlambatkan dengan ubat. Kaedah terbaik untuk mencegah COPD adalah berhenti merokok dan mengelakkan asap rokok.

5. Barah pernafasan

Kanser pernafasan merangkumi paru-paru, trakea, laring dan bronkus. Seperti COPD, penyebab utamanya adalah asap rokok dan toksin daripada persekitaran.

Satu kajian yang telah dilakukan pada tahun 2015 melaporkan, barah pernafasan menyumbang kira-kira 4 juta kematian setiap tahun.

Di negara-negara membangun, para penyelidik menyaksikan peningkatan 81 hingga 100 peratus barah pernafasan memang disebabkan oleh pencemaran dan merokok.

Kebanyakan negara Asia terutamanya India, mereka masih menggunakan arang batu untuk memasak. Pelepasan bahan api pepejal tersebut telah menyumbang 17 peratus kematian dalam kalangan lelaki dan 22 peratus pada wanita.

Di negara kita, kanser paru-paru diumumkan sebagai kanser ketiga tertinggi dikesan pada tahun 2020.

6. Kencing manis/diabetes

Iklan

Berdasarkan data International Diabetes Federation pada tahun 2017, Amerika Syarikat, China, India, Brazildan Mexico merupakan negara yang berada dalam carta tertinggi penghidap diabetes.

Di negara jiran kita, Indonesia juga penderita penyakit itu juga agak banyak.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, di Malaysia seorang daripada lima individu dewasa atau kira-kira 3.9 juta orang berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap diabetes seperti data yang dikeluarkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019.

Perkara yang membimbangkan, sejumlah 49 peratus daripada penghidap diabetes di negara ini, tidak pernah diperiksa atau didiagnosis menghidap penyakit ini.

Diabetes yang tidak dikawal sememangnya memberi dampak buruk. Antaranya berpotensi mendapat penyakit jantung, ginjal dan kebutaan.

Menurut Healthline, terdapat 10 makanan dan minuman yang harus dihindari pesakit diabetes adalah minuman dengan campuran pemanis, lemak trans, yogurt perisa buah, bijirin, roti, nasi, pasta, kopi, kentang goreng, buah yang dikeringkan dan makanan ringan.

7. Alzheimer dan demensia

Penyakit Alzheimer adalah penyakit yang merosakkan ingatan dan mengganggu fungsi mental yang normal. Ia termasuk pemikiran, penaakulan dan tingkah laku seseorang.

Penyakit Alzheimer adalah jenis demensia yang paling biasa iaitu 60 hingga 80 peratus kes demensia sebenarnya adalah Alzheimer. Penyakit berkenaan bermula dengan masalah ingatan ringan, kesukaran mengingat maklumat dan ingatan tergelincir.

Di Amerika Syarikat, kira-kira 200,000 individu yang berusia di bawah 65 tahun memiliki penyakit alzheimer.

Menurut Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (2016), diramalkan bahawa terdapat sekitar 50,000 orang di Malaysia yang menghidap penyakit itu.

Sehingga kini, belum ada ubat khusus menanganinya alzheimer. Ubat-ubatan tersedia hanya berfungsi untuk meringankan gejala dan memperlambatkan perkembangan penyakit.

Untuk alzheimer yang masih dalam tahap awal, doktor biasanya meresepkan ubat-ubatan seperti donepezil (Aricept) atau rivastigmine (Exelon).

8. Dehidrasi kerana cirit-birit

Iklan

Cirit-birit adalah apabila pesakit membuang tiga kali atau lebih najis dalam sehari. Sekiranya cirit-birit berlarutan sehingga beberapa hari, badan akan kehilangan banyak air dan garam lalu menyebabkan dehidrasi yang boleh mengakibatkan kematian.

Cirit-birit biasanya disebabkan oleh virus usus atau bakteria yang disebarkan melalui air atau makanan yang tercemar.

WHO pada 2019 telah mengisytiharkan cirit-birit adalah penyebab kematian kedua dalam kalangan kanak-kanak dan penyebab kematian sebanyak 1.5 juta kanak-kanak di dunia.

9. Tuberkulosis (Tibi)

Sejenis penyakit kuno yang masih bermaharajalela. Secara ringkasnya, ia merujuk kepada keadaan yang mana paru-paru seseorang diserang oleh bakteria mycobacterium tuberculosisa.

Tibi adalah salah satu penyebab utama kematian orang yang menghidap virus imunodefisiensi manusia (HIV) kerana 35 peratus kematian yang berkaitan dengan HIV disebabkan oleh tibi.

Menurut Pengarah Eksekutif Stop TB Partnership, Lucica Ditiu, pelaksanaan perintah berkurung global susulan wabak Covid-19, berisiko mengakibatkan lonjakan ‘dahsyat’ kes penyakit tibi dengan hampir 1.4 juta kematian tambahan menjelang 2025, menurut penyelidikan baharu.

Pada 2018, penyakit tibi meragut kira-kira 1.5 juta nyawa termasuk lebih 200,000 daripada golongan kanak-kanak, menurut WHO.

Sementara itu, Jumlah kes tibi yang dilaporkan di Malaysia merekodkan 26,352 kes (kadar insiden 81 setiap 100,000 penduduk) iaitu peningkatan sebanyak 2 peratus berbanding 25,837 kes (kadar insiden 79 setiap 100,000 penduduk) pada tahun 2018. Kadar kematian tibi pada tahun 2019 adalah 3.7 peratus setiap 100,000 penduduk.

10. Sirosis

Sirosis adalah penyakit kerosakan pada hati yang mungkin disebabkan oleh penyakit ginjal atau melibatkan keadaan seperti hepatitis dan alkoholisme kronik. Hati yang sihat menyaring bahan berbahaya dari darah dan menghantar darah yang sihat ke dalam badan.

Di Malaysia, KKM juga telah mengumumkan Hepatitis adalah satu penyakit yang menyebabkan keradangan hati akibat jangkitan virus Hepatitis A, B, C, D atau E. Hepatitis A dan E biasanya disebabkan oleh pengambilan makanan atau air yang tercemar manakala jenis B, C dan D membawa kepada penyakit kronik dan merupakan punca utama kepada sirosis (parut) hati dan kanser hati.

Pada sambutan Hari Hepatitis tahun lalu, kadar notifikasi Hepatitis B menunjukkan peningkatan dalam masa lima tahun kebelakangan ini iaitu daripada 12.94 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2014, kepada 14.52 orang bagi setiap 100,000 penduduk pada 2018.

Bagi Hepatitis C pula, dianggarkan sebanyak 3,000 kes jangkitan baru dilaporkan. Pada tahun 2018, sebanyak 2,842 kes baru Hepatitis C telah dilaporkan dengan kadar notifikasi 8.77 bagi setiap 100,000 penduduk. Di peringkat dunia, sebanyak 2.1 juta orang dilaporkan meninggal dunia akibat sirosis.