3 langkah elakkan kanser prostat

A
A
A

KANSER prostat merupakan barah ketiga yang kerap berlaku dalam kalangan orang lelaki selepas kanser kolorektal dan kanser paru-paru. Setiap tahun, lebih kurang 800 kes kematian akibat barah itu direkodkan.

Lebih membimbangkan, penyakit berkenaan mempunyai kekurangan gejala atau simptom pada tahap peringkat awal dan ia hanya berlaku pada tahap akhir apabila rawat tidak lagi berkesan.

Mengulas lanjut mengenai penyakit itu, Pakar Onkologi Klinikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Madya Dr Marniza Saad melontarkan pandangannya.

Katanya, kanser prostat adalah sejenis kanser yang berlaku di dalam kelenjar prostat.

“Kelenjar itu hanya dimiliki oleh golongan lelaki dan ia terletak di dalam bahagian pelvis iaitu di bawah pundi kencing dan di hadapan rektum (bahagian akhir usus besar).

“Kelenjar berkenaan berfungsi untuk menghasilkan air mani yang bertindak sebagai cecair pelincir untuk sperma,” jelasnya.

Lebih menggusarkan apabila punca kanser prostat masih belum dapat ditentukan.

Secara umumnya juga, kata Dr Marniza, tiada makanan tertentu yang boleh menyebabkan kanser prostat terjadi.

“Namun, antara faktor yang boleh meninggikan risiko menghidapi kanser prostat adalah peningkatan usia, gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat, obesiti dan faktor genetik,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Menjawab kepada satu soalan lain, Dr Marniza menjelaskan, kanser prostat bermula apabila berlaku mutasi (kesilapan) pada asid deoksiribonukleik (DNA) sel-sel prostat yang mengakibatkan sel-sel tersebut menjadi tidak normal.

“Sel-sel kanser itu tumbuh dengan pantas dan tidak terkawal. Ia juga boleh melarat ke bahagian di sekitar kelenjar prostat dan juga merebak ke bahagian badan yang lain seperti kelenjar limfa, tulang dan paru-paru,” beritahu beliau.

Sekiranya kanser prostat dikesan pada peringkat awal yang mana ia masih tertumpu di dalam kelenjar tersebut dan belum merebak, peluang untuk sembuh dengan rawatan yang sesuai adalah jauh lebih tinggi berbanding jika ia dikesan lewat.

“Perlu ditekankan yang tidak semua kanser prostat yang dikesan pada peringkat awal perlu dirawat. Ia kerana sesetengah kanser prostat tumbuh dengan kadar yang perlahan dan berkemungkinan tidak akan membawa kesan yang serius semasa jangka hayat seseorang,” ujar Dr Marniza.

Namun demikian, ada juga jenis yang tumbuh dengan kadar yang cepat dan berisiko tinggi memberi masalah jika tidak dirawat dengan kadar segera.

Oleh sebab itu, setelah kanser tersebut dikesan, penting untuk pesakit berbincang dengan doktor pakar supaya langkah yang paling sesuai dapat diambil.

Mengulas lanjut, Dr Marniza berkata, kanser prostat lazimnya dihidapi oleh lelaki yang berusia (biasanya melebihi usia 65 tahun) kerana peluang untuk sel-sel prostat mengalami mutasi pada DNA bertambah dengan peningkatan usia.

“Sel-sel dalam badan manusia akan membahagi setiap saat. Dengan setiap pembahagian, sentiasa berlaku mutasi pada DNA yang biasanya dapat dibaiki secara semula jadi,” tuturnya.

Namun demikian, tidak semua kesilapan dapat diperbaiki dengan sempurna. Ini kerana apabila serius (kesilapan yang berlaku) ia boleh menyebabkan sel-sel menjadi tidak normal.

Berikut adalah panduan asas untuk mengelak masalah kanser prostat:

i) Amalkan gaya hidup sihat.

Cara mudahnya, seseorang digalakkan untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat seperti bersenam 150 minit dalam satu minggu, tidak merokok dan mengamalkan pemakanan yang sihat dengan mengurangkan pengambilan makan berlemak dan manis. Bukan itu sahaja, bijak dalam mengawal stres juga merupakan kunci kepada kehidupan yang sihat.

ii) Makan makanan yang seimbang dan berkhasiat.

Nikmatilah pelbagai jenis makanan dan makan mengikut waktu yang teratur iaitu tiga kali waktu makan utama melibatkan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam.

Implemen konsep piramid makanan iaitu satu carta yang membantu kita untuk merancang pengambilan jenis-jenis dan sukatan yang sesuai.

Makanan seimbang biasanya mengandungi kombinasi pelbagai jenis makanan untuk memberikan semua zat makanan yang diperlukan oleh tubuh.

Perlu diketahui, tiada satu pun makanan tunggal yang dapat membekalkan kesemua zat yang diperlukan. Oleh itu, tubuh sentiasa memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang berbeza untuk memelihara kesihatan.

iii) Tidak digalakkan berpantang makanan tertentu secara berlebihan.

Orang ramai tidak perlu berpantang secara berlebihan kerana kemungkinan akan menyebabkan badan mengalami kekurangan nutrisi tertentu. Itu juga antara punca badan kerap menjadi tidak sihat dan mudah lesu.

Bersederhana dalam kebanyakan perkara termasuklah aspek pemakanan kerana itu adalah langkah yang sangat bijak dan paling berkesan mengawal kesihatan tubuh badan, pesan Dr Marniza.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

Teruskan membaca