BADAN lemah membawa maksud seseorang itu merasa letih ataupun tidak bertenaga. Ia bukan membawa maksud rasa mengantuk ataupun rasa pening kepala.

Apabila anda merasakan badan anda lemah, anda tidak mempunyai motivasi dan tenaga untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Badan lemah merupakan salah satu simptom yang disebabkan masalah kesihatan. Ia boleh berpunca dari perkara yang normal sehinggalah perkara yang serius.

Jika rasa lemah tersebut masih tidak sembuh selepas mengambil rehat dan makanan yang cukup, pesakit mungkin mempunyai masalah kesihatan yang lain dan perlunya ada pemeriksaan seseorang doktor.

Punca-punca badan lemah boleh dibahagikan kepada 3 kategori am iaitu:

1. Gaya hidup

Jika anda mengalami masalah badan lemah, aktiviti dan juga gaya hidup mungkin menjadi punca dan penyebab kepada masalah tersebut.

Sebagai contoh, ia boleh disebabkan oleh senaman yang berlebihan atau tidak melakukan senaman, kurang tidur, lebih berat badan, sedang dalam keadaan stress, sedang mengalami kehilangan seseorang ataupun sesuatu, pengambilan alkohol/dadah yang kerap, pengambilan kafein yang banyak dan tidak mengamalkan diet yang sihat.

2. Masalah kesihatan

Terdapat pelbagai masalah kesihatan yang menyebabkan simptom. Ia adalah disebabkan anemia (kurang sel darah merah), sakit sendi, jangkitan kuman (ketika demam dan selsema), hipotiroid, masalah tidur (insomnia), penyakit autoimune (contoh : SLE, rheumatoid arthritis, psoriasis), lemah jantung, kanser, kencing manis, kegagalan buah pinggang dan kegagalan fungsi hati.

3. Masalah mental

Iklan

Terdapat beberapa masalah mental yang menyebabkan perkara ini seperti penyakit kebimbangan, tertekan dan sebagainya. Rawatan masalah ini berkait rapat dengan punca yang menyebabkan masalah tersebut berlaku.

Doktor akan memeriksa pesakit terlebih dahulu untuk mengetahui punca kepada pesakit.

Jika pesakit disyaki mempunyai masalah kesihatan, pesakit mungkin akan diminta untuk menjalani beberapa jenis pengambilan sampel darah untuk mengetahui punca kepada masalah tersebut.

Iklan

Ada beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk merubah gaya hidup dan mengelakkan rasa badan lemah. Ia adalah:

1. Sentiasa mengambil air yang mencukupi
2. Melakukan senaman secara rutin dan tidak berlebihan
3. Dapatkan tidur yang secukupnya
4. Elakkan perkara yang menyebabkan anda stress
5. Elakkan pekerjaan yang menyebabkan beban yang banyak kepada anda
6. Elakkan pengambilan alkohol, rokok dan penggunaan dadah

Sumber: Facebook Dr Zubaidi Ahmad