WAJAH suami Nur (bukan nama sebenar) sedikit sayu apabila doktor menjelaskan keadaan jantungnya. Kata Nur, sejak berkahwin, beliau sudah bersedia dengan segala kemungkinan setelah didiagnosis mengalami masalah jantung sewaktu berumur enam bulan.

“Boleh dia hamil?“ Soalan ringkas suaminya itu membuatkan Nur dan doktor pakar menarik nafas panjang.

Mengulas mengenainya, Pakar Perunding Kardiologi Pediatrik dan Kongenital Dewasa, Institut Jantung Negara, Dr Geetha Kandavello berkata, persoalan sama ada individu seperti Nur boleh berkahwin dan hamil menjadi pertanyaan wajib yang sering dilontarkan.

Dr Geetha Kandavello.

“Sebab itulah, perbincangan untuk hamil atau kaunseling prakehamilan bagi golongan ini perlu dilakukan seawal usia remaja. Ini bagi memastikan mereka bersedia dari aspek mental dan fizikal,“ katanya kepada Bernama.

Ujar Dr Geetha, di Malaysia, selain penyakit jantung bawaan iaitu keadaan yang mana kecacatan pada jantung berlaku ketika bayi masih dalam kandungan, ramai wanita turut mengalami penyakit injap jantung seperti penyakit jantung reumatik.

Keadaan itu melibatkan injap yang sudah dibaiki atau penggunaan injap palsu. Bagi wanita hamil yang injapnya telah ditukar dengan injap besi, ia sangat risiko memandangkan pesakit perlu mengambil ubat cair darah seperti warfarin.

Sejak akhir-akhir ini, jumlah pesakit jantung akibat otot jantung lemah semakin meningkat dan ini berlaku disebabkan pelbagai faktor seperti genetik, kuman dan penyakit lain, jelas Dr Geetha.

Data daripada Malaysian Confidential Enquiry Into Maternal Deaths menunjukkan, trend ibu hamil yang meninggal dunia akibat masalah jantung dapat diklasifikasikan kepada faktor yang lebih khusus seperti masalah injap, penyakit jantung bawaan dan cardiomyopathy.

“Sebab itu amat penting kaunseling prakehamilan dilakukan kerana kita boleh membuat semua ujian yang berkaitan untuk menentukan jenis dan tahap risiko yang akan dihadapi pesakit, sekali gus memudahkan pakar perubatan menentukan strategi rawatan terbaik yang bukan hanya untuk ibu tetapi juga ke atas bayi,“ tambah beliau.

Kumpulan risiko

Secara asasnya, pakar kardiologi membahagikan golongan wanita hamil dengan penyakit jantung ini kepada empat kumpulan risiko.

Bagi Risiko 1 dan 2, ia adalah tahap risiko rendah dan sederhana yang mana rata-rata pakar kardiovaskular dan pakar sakit puan membenarkan pesakit hamil.

“Bagi Risiko 3 iaitu sederhana hingga berat, ia bergantung kepada jenis penyakit dan keadaan jantung pesakit. Sekiranya injap berkeadaan sederhana sempit, ada injap palsu besi, mengalami penyakit jantung sianotik (kurang oksigen) serta fungsi jantung yang kurang baik, mereka masih boleh hamil, namun memerlukan pemantauan yang ketat daripada pakar berkemahiran menjaga ibu berisiko tinggi,“ jelasnya.

Kumpulan Risiko 3 itu juga bukan sahaja mesti menjalani kaunseling prakehamilan, tetapi memerlukan ubat dan rawatan yang tertentu malah ada ketika perlu pemantauan rapi sebagai pesakit dalam wad.

Bagi Risiko 4, Dr Geetha menjelaskan kumpulan tersebut dinasihatkan agar tidak hamil memandangkan mereka sangat berisiko.

Terdapat dua kategori dalam Risiko 4 iaitu tidak boleh hamil sekiranya mereka tidak menjalani rawatan jantung terlebih dahulu dan keduanya, langsung tidak boleh hamil.

“Bagi kategori tidak boleh langsung hamil, ia mungkin disebabkan fungsi jantung pesakit lemah (kurang daripada 30 peratus) atau tiada rawatan untuk baiki keadaan jantung itu.

“Dalam keadaan lain, tekanan paru-paru yang tinggi atau tidak normal juga akan membahayakan nyawa pesakit sekiranya mereka hamil. Jadi, dalam keadaan ini, kami nasihatkan mereka jalani kaunseling prakehamilan dan rawatan bersesuaian,“ katanya.

Lebih membimbangkan, kehamilan bagi wanita kumpulan 3 dan 4 turut meningkatkan risiko ke atas janin yang mana boleh menyebabkan perkembangan janin tidak sempurna seperti berat tidak selari dengan tempoh kehamilan, kelahiran pramatang.

Malah dalam keadaan tertentu, boleh membawa kepada keguguran dan bayi juga berisiko mendapat penyakit jantung bawaan seperti mana yang dialami oleh ibunya.

Dalam pada itu, Dr Geetha berkata, pihaknya berharap agar masyarakat lebih terbuka dalam isu perancangan keluarga dan penggunaan kontraseptif dalam merancang kehamilan.

“Kebanyakan budaya khususnya di Malaysia masih tidak terbuka dalam isu ini dan sangat menyedihkan apabila ‘kuasa‘ membuat keputusan untuk merancang keluarga masih ditentukan oleh orang lain dan bukannya si ibu itu sendiri.

“Saya tekankan perkara ini memandangkan ia sangat penting, tidak kira wanita itu mempunyai masalah kesihatan atau tidak. Bagi pesakit jantung yang berjaya mengharungi tempoh kehamilan dan melahirkan bayi, amat penting bagi mereka merancang kehamilan seterusnya dengan menggunakan kaedah kontraseptif yang sesuai,“ katanya.

Ia bagi memberi masa secukupnya kepada si ibu untuk pulih sepenuhnya terutama keadaan jantung yang berkemungkinan terjejas akibat kehamilan.

Bagi pesakit jantung, selain memastikan jantung kembali pulih, mereka perlu bersedia untuk mengambil semula ubatan yang sebelum ini terpaksa dihentikan kerana bimbang kesan ubat itu kepada janin.

Bukan itu sahaja, ramai yang terlepas pandang bahawa dalam sesetengah jenis penyakit jantung, tahap kesihatan si ibu mungkin terjejas disebabkan kemerosotan keadaan jantung selepas melahirkan.

“Sebab itu pemantauan perlu berterusan, sekurang-kurangnya enam bulan selepas ibu bersalin. Amat penting ibu untuk sentiasa hadir setiap rawatan susulan yang ditetapkan,“ katanya.

Jelas pakar itu lagi, situasi kemerosotan tersebut berlaku disebabkan semasa ibu hamil pada trimester kedua, isipadu darah akan meningkat dalam badan, sekali gus menyaksikan ia (isipadu darah) akan bertambah hingga 40 peratus hingga minggu ke-28 kehamilan.

Kesannya, jantung perlu bekerja lebih keras untuk meningkatkan kadar pengepaman dan pengeluaran darah ke tahap lebih maksimum terutama selepas kehamilan memasuki fasa terakhir sehinggalah ketika waktu bersalin.

Pengimbas angiografi

Sementara itu, Pakar Perunding Kardiologi Hospital Colombia Asia-Setapak, Dr Ng Min Yeong menjelaskan, lazimnya satu pasukan pakar dari pelbagai disiplin perubatan diperlukan bagi menjaga pesakit jantung yang didapati hamil.

Iklan
Dr Ng Min Yeong.

Wanita mengandung katanya, perlu menjalankan pemeriksaan penuh ketika mendaftar di klinik kesihatan untuk menilai keadaan diri sekiranya terdapat simptom kegagalan jantung seperti sesak nafas, sakit dada pada waktu malam, bengkak kedua belah kaki atau kulit kebiruan yang boleh dikesan lebih awal.

“Lazimnya, pesakit kategori ini akan dirujuk kepada pakar kardiologi dan sakit puan. Rawatan dijalankan oleh Combine Clinic di IJN jika didapati ada simptom serta memerlukan pendapat dari pakar yang berkaitan,“ katanya.

Di Combine Clinic, ujar pakar berkenaan, pesakit akan dinilai dan bagi peringkat kehamilan seterusnya, ia akan dipantau rapat oleh pakar perubatan ibu dan bayi, pakar kanak-kanak (bagi risiko kelahiran pramatang), pakar bius (jika bersalin secara pembedahan caesarean) dan ada kalanya turut melibatkan ahli farmasi dan pakar pemakanan.

“Bukan sahaja kehamilan perlu dirancang, kaedah untuk melahirkan juga memerlukan perancangan yang rapi bagi memastikan ibu dan anak selamat,“ katanya.

Di samping kerjasama IJN Foundation dan Unit Perubatan Ibu dan Bayi Hospital Kuala Lumpur yang menyedari perlunya penyelesaian yang lebih holistik menerusi kempen Planned Pregnancy, Safer Outcome (untuk membantu wanita dengan penyakit jantung menjalani kehamilan yang lebih selamat), perkembangan teknologi peralatan imbasan juga seolah memberi cahaya baharu kepada golongan ini.

Pengurus Radiologi Hospital Colombia Asia-Setapak, Abdul Malik Md Isa berkata, kewujudan mesin angiografi yang selari dengan perkembangan teknologi perubatan kini menjadi kaedah imbasan terbaik dalam mengesan pelbagai masalah berkaitan saluran atau kapilari darah pada jantung.

Jelasnya, makmal kateterisasi atau lazimnya disebut makmal kateter adalah bilik pemeriksaan di hospital yang dilengkapi dengan peralatan pengimejan diagnostik dikenali sebagai mesin angiografi yang digunakan untuk visualisasi arteri dan ruangan jantung.

“Kita bersyukur apabila fasiliti di sini dilengkapi kemudahan mesin angiografi bermula Jun tahun lalu, sekali gus membantu pakar kardio melakukan diagnosis dengan lebih tepat,“ katanya.

Dalam kes tertentu, prosedur intervensi iaitu rawatan yang bersesuaian dilakukan secara terus ketika pemeriksaan saluran darah dilakukan memandangkan mesin angio membolehkan pakar kardiologi melihat kedudukan keseluruhan dimensi jantung dan salurannya secara langsung.

Bagi mesin angiografi di Hospital Colombia Asia-Setapak yang menerima pesakit pertama pada 25 Jun tahun lalu, Abdul Malik yakin, kemudahan itu memberi ruang dan peluang pesakit berkaitan jantung terutamanya mendapat rawatan yang lebih tepat. Bagi pakar pula, ia mengurangkan kesilapan diagnosis dan seterusnya melancarkan proses rawatan ke atas pesakit.

Iklan

Nadzirah berjaya lahirkan anak kedua meskipun berpenyakit

SEBAGAI seorang pesakit jantung, Nadzirah Mohd Nadzri, 39, memberitahu SinarPlus, beliau pernah merentas pengalaman merancang untuk hamil meskipun kondisi beliau tidak berapa bagus.

Ujar Nadzirah, masalah jantung yang beliau alami adalah merujuk kepada  ‘gangguan‘ denyutan jantung atau dikenali sebagai aritmia.

Disebabkan itu, katanya, beliau kerap pening dan sering berdebar-debar.

“Atas faktor berkenaan, saya dinasihatkan untuk menjalani rundingan prakehamilan bersama seorang pakar jantung hospital swasta di ibu kota,“ katanya ketika dihubungi SinarPlus.

Hasil daripada rundingan dengan pakar kardiologi, beliau bersyukur kerana berjaya melahirkan bayi keduanya yang sihat pada awal tahun lalu.

“Sepanjang proses perbincangan sehingga saya disahkan hamil, saya sentiasa mendapat pemantauan yang sangat rapi sehingga proses bersalin.

“Saya dikira bertuah kerana tak mempunyai masalah kesihatan lain seperti darah tinggi atau kencing manis. Oleh sebab itu, doktor membenarkan saya hamil,“ kata wanita yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan itu.

Pun begitu, kata Nadzirah, pakar juga menasihatkannya agar waspada gejala seperti rasa berdebar-debar.

“Kata pakar, jantung perlu diberi penjagaan yang sangat rapi kerana tugas organ itu berfungsi untuk membekalkan darah dan nutrien kepada uri, rahim dan janin.

Justeru, kepada pesakit jantung yang berhasrat untuk hamil, tidak perlu terlalu risau kerana ramai pakar yang boleh membantu, kata Nadzirah.