LAZIM bukan butir-butir kata yang disusun oleh penjual produk membuatkan kita terpesona hingga rasa ingin memiliki barangan yang dijual?

Akan tetapi, bagaimana pula jika item yang hendak dibeli berupa produk kesihatan?

Sekalipun sudah diberikan nasihat oleh doktor tentang tahap kesihatan dihadapi, adakah masih mahu mengikut kata penjual yang turut menjanjikan kebaikan penggunaan produk dijualnya?

Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkongsi 4 persoalan biasanya dibangkitkan tentang penjualan produk kesihatan kepada pengguna.

Bagaimanapun, kepada SinarPlus, ini jawapan balas yang dikongsikan Dr Suhazeli yang sepatutnya diambil pertimbangan oleh pengguna sebelum membuat keputusan membeli sesuatu produk kesihatan itu atau tidak:

1. Terdapat penjual produk kesihatan mendakwa produk mereka itu boleh dan mampu merawat penyakik kronik. Boleh ke dakwa begitu?

Jawapan doktor:
Dalam negara kita terdapat beberapa akta yang mengawal supaya tiada dakwaan yang boleh mengelirukan masyarakat. Setiap dakwaan memerlukan bukti dalam perubatan.

Kenapa perlukan bukti? Sebab kita ini manusia yang berfikir dan selari dengan saranan agama supaya menggunakan akal fikiran dalam bab keduniaan. Kita bukannya Nabi atau para wali yang diberikan keistimewaan untuk menyembuhkan penyakit.

Al-Quran juga menyebut, jika kita tidak tahu sesuatu, maka bertanyalah kepada ahlinya. Bukan pakai redah percaya kepada penjual produk yang tiada keahlian pun dalam bab merawat penyakit.

Negara kita telah pun menggariskan beberapa akta.
A. Akta Ubat 1956 (iklan dan penjualan)
B. Cosmetic advertising Code
C. Akta makanan 1983
D. Akta peranti perubatan 2012
E. Akta Perubatan Tradisional dan Komplimentari 2016.
F. Akta Penyakit Berjangkit 1988
G. Akta Racun dan Dadah 1951
Dan beberapa lagi akta.

Akta-akta ini dibuat bukan menyekat perniagaan orang kita, tetapi demi menjaga kepentingan kesihatan dan keselamatan masyarakat supaya tidak putar belit oleh golongan yang mencari peluang keuntungan perniagaan.

Berniaga tu boleh, tetapi jangan membuat dakwaan yang mengelirukan tanpa bawa bukti yang sahih.

2. Bagaimana pula dengan penjual produk overclaim yang kata ilmu ALLAH itu luas dan doktor tidak mengetahui segala-galanya, maka merawatlah dengan apa yang semula jadi diciptakan oleh ALLAH. Apa salahnya?

Jawapan doktor:
Ya saya setuju dengan frasa ilmu ALLAH itu luas. Sebab itu permulaan wahyu kepada Rasulullah adalah Iqra. Bermakna manusia wajib menjalankan kajian sesuai dengan zaman.

Sekarang ini Evidence Based Medicine (EBM) mengungguli dalam kaedah pembuktian. Inilah salah satu keluasan ilmu ALLAH diberikan kepada manusia yang berfikir. Bukti yang dibawa bagi mengesahkan dakwaan itulah yang dituntut oleh Islam.

Katakan bahan semula jadi, bagaimana nak tahu sama ada sesuai pada semua orang dengan dos sukatan tertentu? Bahkan makanan sekali pun terdapat alergi pada sesetengah orang, apatah lagi ramuan yang dibancuh dengan beberapa campuran lain.

Sudah tentu memerlukan safety profile dan berkualiti sebelum diberikan kepada pesakit. Bagaimana nak tahu? Kajianlah yang menentukan!

3. Dalam negara kita sudah terdapat badan yang berwibawa seperti majlis perubatan, jawatankuasa mufti dan beberapa badan lagi untuk menentusahkan sesuatu perubatan itu boleh dipakai atau tidak. Jika terdapat golongan yang menentang seperti antivaksin, doula ekstremis apa harus dilakukan?

Jawapan doktor:
Buat masa ini negara mempunyai kementerian yang cukup disanjungi ramai – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), malah isu pengurusan Covid-19 oleh KKM cukup disegani oleh semua pihak. Sudah tentu apa sahaja yang dikemukakan oleh KKM itu memberikan kebaikan kepada masyarakat secara umumnya.

Iklan

Cuma terdapat segelintir kecil masyarakat yang tak puas hati. Bahkan mereka ini membuat persepsi sendiri dalam urusan perubatan mereka, sehingga timbulnya ketidakharmonian.

Walaupun negara kita masih lagi perjuangkan kebebasan bersuara, tetapi terdapat suara-suara yang tak betul, memesongkan fikiran rakyat perlu dibendung segera. Fenomena ini tidak boleh lari dalam sesuatu masyarakat.

Justeru buat masa ini penerangan harus diberikan kepada masyarakat melalui kerjasama erat KKM dan ahli agama. Perbanyakkan sesi penerangan, siaran media dan banyak lagi supaya ditonton oleh seluruh rakyat.

Andaikata keadaan semakin mendesak, tidak mustahil akta yang sedia ada atau akta baru perlu digubal bagi mengekang fenomena ini.

Artikel berkaitan: Wajah doktor jurucakap kes Covid-19 curi tumpuan

4. Bagaimana pula dengan adanya doktor-doktor perubatan moden sendiri yang menggunakan testimoni untuk menjual produk yang merawat penyakit kronik. Boleh ke doktor perubatan moden buat ni?

Iklan

Jawapan doktor:
Setiap profesyen ada kod amalan dan etikanya. Doktor, ada code of Professional Conduct, Good Medical Practice dan Akta perubatan 1971 itu sendiri.

Begitu juga dengan profesyen lain, farmasi, pergigian, pemakanan dan lain-lain – mempunyai kod etika berdasarkan EBM yang diterima pakai dalam dunia moden masa ini.

Jika ada doktor yang menggunakan testimoni dan menjual produk tanpa berpandukan kod etika, sudah tentulah ia bersalahan, katanya.

Begitu penerangan Dr Suhazeli.

Justeru, berdasarkan perkongsian beliau, mana yang akan orang kita lebih percaya, penjual produk kesihatan atau doktor?

Seharusnya pertimbangan wajar dibuat untuk manfaat diri sendiri. Moga bermanfaat! -AG #JanganPutusAsaMalaysia