APABILA si kecil tidak mendengar cakap atau hanya buat tidak tahu tatkala ditegur, pasti ibu bapa akan tertekan dan berasa geram.

Jika situasi sebegitu sering terjadi, mak ayah lazimnya akan melenting tidak tentu fasal. Maka, keluarlah perkataan-perkataan yang tidak sepatutnya.

Jika sudah tidak mampu lagi menahan kesabaran, kebanyakan ibu atau ayah akan meninggikan suara dan mengherdik si anak. Lebih memburukkan keadaan, ada yang sanggup merotan atau mengenakan denda sehingga zuriat mereka dilingkari perasaan trauma dan menyimpan dendam.

Namun, pepatah Melayu menyebut, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ringkas kata, jika anak-anak dididik dengan cara yang betul, kanak-kanak yang baru mahu mengenal dunia ini mendengar kata.

Berbincang mengenai topik anak-anak enggan mendengar cakap penjaga, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar (Pelawat) Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja, Hospital Columbia Asia Iskandar Puteri, Johor, Dr Nor Rahidah Abd Rahim.

Dr Nor Rahidah.

Ujar Dr Nor Rahidah, proses mendidik anak-anaknya sebenarnya bermula dari peringkat awal dan ia perlu dilakukan tanpa henti.

“Segala masalah boleh diatasi dengan syarat ibu bapa perlu tahu punca mengapa anak tidak mahu mendengar kata. Selepas itu, mereka (ibu bapa atau penjaga) mesti juga bersedia untuk berubah,” katanya.

Terdapat empat pendekatan yang perlu diberi penekanan untuk  memenangi hati anak-anak. Berikut adalah perinciannya seperti yang dikongsikan oleh pakar itu:

1. Wujudkan konsep ‘perlekatan’.

Ujar Dr Nor Rahidah, ibu bapa perlu membina ikatan atau hubungan erat dengan anak-anak kecil dengan seoptimum mungkin.

“Anak-anak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun sangat memerlukan ruang untuk ibu bapa memahami mereka.

“Oleh itu, ibu bapa harus bijak membina emosi agar anak-anak akan berasa selesa dan akhirnya timbul kepercayaan dalam diri si kecil,” tambah beliau.

2. Peka perkembangan psikososial anak.

Kanak-kanak yang berumur antara 6 hingga 12 tahun banyak menghabiskan masa di sekolah bersama guru-guru dan mereka sudah mula mempunyai kecenderungan untuk bertindak sendiri (dari segi kelakuan).

“Jadi, pada waktu itu, anak-anak akan lebih percaya dan akan melihat perhubungan di luar pertalian kekeluargaan sebagai ikutan mereka.

“Biasanya, mereka akan mesra dan mudah berkongsi luahan hati bersama orang yang memberi mereka pengajaran dan ilmu. Sebab itu, kadangkala ibu bapa akan mempersoalkan mengapa anak kecil sangat mudah mendengar arahan daripada guru di sekolah, namun ia tidak berlaku di rumah,” kata beliau.

3. Gaya keibubapaan.

Dalam konteks berkenaan, Dr Nor Rahidah berkongsi mengenai gaya keibubapaan khalifah.

Ujarnya, ia perlu disesuaikan dengan umur kanak-kanak.

“Kanak-kanak yang berumur enam tahun ke bawah akan dilayan seperti ‘raja’ iaitu penuh dengan kasih sayang.

“Apabila mereka mencapai umur tujuh hingga 14 tahun pula, mereka perlu dilayan seperti ‘khadam’ iaitu meminta anak-anak melakukan tugas harian di rumah agar hidup berdikari.

Iklan

Hasilnya, ujar pakar itu, mereka akan menerima teguran dan faham bahawa nasihat itu demi kebaikan diri.

“Pada sama sama, ibu bapa perlu tahu, anak-anak generasi kini segalanya sudah tersedia dan mereka sangat pandai. Jadi, ibu bapa juga perlu pandai ‘mengayat’ bagi memenangi hati anak kecil,” sarannya.

Pada masa sama, proses mendidik perlu dilakukan secara berterusan.

“Jika pada usia masih bayi hingga 7 tahun, anak-anak sudah diasuh dengan betul, saya yakin peringkat perkembangan berikutnya tidak akan mempunyai sebarang masalah. Mereka boleh menerima teguran dan nasihat yang diberikan,” jelas beliau.

4. Memahami keperluan anak.

Bukan itu sahaja, ujar Dr Nor Rahidah, ibu bapa juga perlu arif dalam mendalami jiwa dan keadaan anak masing-masing memadai dengan menjadi penjaga yang baik dan bukan impikan ibu bapa yang sempurna.

“Saya yakin, ada di antara ibu bapa di luar sana yang mempunyai anak syurga (seperti autisme, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif) yang memerlukan pemantauan perkembangan yang lebih spesifik.

Iklan

“Ibu bapa kategori ini memerlukan kaedah yang berbeza. Ia tidak sama seperti memberi arahan kepada anak kecil lain yang normal,” ujarnya.

Apakah pendekatan paling efisien? Beritahu beliau,  ibu bapa perlu bermula dengan hubungan mata terlebih dahulu.

“Seterusnya, barulah cuba memberi arahan yang pendek sahaja kerana kanak-kanak dengan masalah spesifik mempunyai kekangan untuk mengingati arahan yang panjang dan berbelit-belit,” ujarnya.

Pun demikian, tutur Dr Nor Rahidah, mak ayah juga perlu peka dengan ‘kemajuan’ tumbesaran anak-anak.

“Ini kerana secara saintifiknya ada sesetengah kanak-kanak memiliki perkembangan tubuh badan yang tidak seiring dengan perkembangan pada struktur otaknya.

“Bila hal ini berlaku, mereka gagal untuk berfikir secara logik dan tidak tahu menahu akan sebab dan akibat mengenai sesuatu perkara yang berlaku,” jelas beliau.

Bagi Dr Nor Rahidah, tiada ‘terapi’ asas bagi mengatasi masalah anak tidak mahu mendengar cakap, melainkan mak ayah sedaya upaya cuba memahami dan mendalami isi hati si manja.

“Kuncinya, bina terlebih dahulu emosi yang betul dan stabil agar anak kita arif dalam menyampaikan perasaan yang dirasai sama ada sedang marah, sedih atau kecewa,” katanya.