HUJUNG minggu lalu, penulis sempat membelek beberapa halaman media sosial, antaranya Instagram untuk mencari idea segar mendekorasi kediaman dan seleksi barangan perhiasan yang sesuai.

Maklum sajalah, norma baharu yang terpaksa dilalui kini membuatkan segala pembelian lebih banyak dilakukan secara dalam talian berbanding mendapatkannya di stor fizikal.

Selepas membuat penilaian, penulis mendapati terdapat beberapa akaun Instagram yang menarik, sesuai dengan selera penulis dan mungkin pembaca SinarPlus.

Bukan disebabkan keunikan dan kecantikan produk sahaja, tetapi harga yang ditawarkan juga murah dan berpatutan.

ilham dekor

Sebagai contoh, perkakas comel atau bunga yang sering dijadikan perhiasan di atas meja mempunyai pelbagai pilihan.

Jika anda seorang penggemar item vintaj atau berkonsepkan scandinavia mahupun minimalis, semuanya boleh didapati dengan hanya membeli secara online.

Selain itu, variasi barang perhiasan di dapur, kamar mandi, bilik tidur dan ruang tamu lengkap turut diketengahkan.

Baca juga Rona warna, perabot, pencahayaan. 3 elemen buatkan kediaman menawan walau ruang terhad

Kepada yang mempunyai lebih bajet, terdapat pemilik Instagram yang mengetengahkan opsyen beberapa perabot eksklusif yang boleh menghidupkan aura rumah anda.

Berikut lima akaun Instagram yang menawarkan produk dekorasi yang boleh menaikkan seri ruang kediaman.

ilham dekor
Ommo Home

  • Instagram: @Ommohome.my
  • Jumlah pengikut: 184,000
  • Lokasi: No4, 1F, Jalan Setia Perdana AY U13/AY, Bandar Setia Alam, Shah Alam, Selangor dan Jalan Sierra 10/3, Bandar 16 Sierra, Puchong, Selangor

Menjengah ke akaun Instagram @ommohome.my, penulis terpukau dengan kepelbagaian produk yang popular dalam pasaran terutama bekas simpanan makanan disertakan dengan label.

Kebanyakan produk yang ditawarkan lebih memfokuskan kepada barangan dapur pelbagai corak, bentuk dan kegunaan.

Terdapat juga pilihan alas meja, cermin dan kertas dinding tiga dimensi yang sesuai untuk dipasang di dapur atau di tandas.

Bagi yang gemarkan gaya ala kafe hipster atau ingin bereksprerimen dengan konsep minimalis, boleh mendapatkan barangan Ommo Home di Instagram, laman web atau di platform Shopee.

ilham dekor

Home living

  • Instagram: @homeliving.my
  • Jumlah pengikut: 212,000
  • Lokasi: No 21-1, Jalan Elektron G U16/G, E-Boulevard, Denai Alam, Shah Alam, Selangor

Sekiranya masih ragu-ragu dalam soal pemilihan konsep hiasan dalam rumah, Home Living dapat membantu.

Bukan sahaja menjual pelbagai jenis perkakas dapur, mereka juga mempunyai variasi perabot dengan rekaan moden dan mengikut gaya terkini.

Seni rekaan Home Living bertemakan scandinavia dan moden juga boleh didapati bermula daripada kusyen kecil, permaidani sehinggalah perabot.

Jika sebelum ini fokus khalayak lebih memilih jenama terkenal seperti Ikea atau SSF, rasanya kini anda sudah boleh bertukar angin.

ilham dekor

Trendy Deko

  • Instagram: @trendydeko
  • Jumlah pengikut: 41,700

Merupakan sebuah perniagaan dalam talian, Trendy Deko lebih memberi penekanan terhadap perabot seperti meja sisi, meja kopi, rak, sofa, cermin dinding dan karpet.

Pelbagai kelengkapan lain turut boleh didapati seperti pokok dan bakul untuk simpanan barangan termasuk beberapa item lain.

Iklan

Bukan sekadar barangan kelengkapan rumah, Trendy Deko turut kongsikan contoh susun atur perabot agar dapat dijadikan inspirasi oleh pelayarnya.

Selain mendapatkan info produk di Instagram dan Facebook, pelanggan juga boleh membeli kebanyakan produk mereka menerusi platform Shopee.

ilham dekor

Deko Chantek

  • Instagram: @dekochantek
  • Jumlah pengikut: 121,000
  • Lokasi: 11, Jalan TU 40, 75450 Ayer Keroh, Melaka

Premisnya yang terletak di Ayer Keroh, Melaka antara lain menawarkan seleksi pilihan produk terutama bagi yang gemarkan gaya dapur moden.

Antara yang dijual adalah seperti pinggan mangkuk, pisau, kuali leper, sudu garfu dan bekas simpanan makanan.

Selain itu, terdapat juga permaidani, sofa, cermin hiasan dan pelbagai jenis barangan lagi.

Sekiranya terdapat kekangan untuk ke premis Deko Chantek, jangan khuatir kerana anda boleh pembelian terus di Instagram atau Shopee.

Apa yang SinarPlus boleh katakan, anda pasti berpuas hati dengan harga setiap barangan.

Iklan

Jangan lupa follow kami di Instagram!

ilham dekor

Ruma Home

  • Instagram: @ruma_home
  • Jumlah pengikut: 86,600 pengikut
  • Lokasi: Atria Shopping Gallery, Jalan SS 22/23, Damansara Jaya, Petaling Jaya, Selangor dan MesaMall, Nilai, Negeri Sembilan

Ruma Home antara lokasi kegemaran ramai. Ia merupakan salah satu platform yang sentiasa aktif memuat naik ilham dekorasi terkini.

Menyedari kecenderungan rakyat Malaysia yang menyukai rekaan scandivania, mereka nampaknya memberi lebih tumpuan kepada perkakasan dan perabot bercirikan konsep berkenaan.

Paling menarik perhatian penulis adalah sebuah meja bulat rotan dan kerusi yang menggunakan kain perca yang berwarna-warni.

Memang ideal untuk ditempatkan di satu sudut ruang rumah.

Penulis sendiri pernah membeli di Ruma Home. Minimalis dan berkualiti!

Oleh NURUL FADILA AWALUDIN