5 aplikasi buat kaki fotografi
Foto: Google Play Store
SEBELUM ini untuk mendapatkan foto berkualiti dari segi komposisi, pencahayaan dan keseimbangan warna, seseorang perlu mengawal aperture, shutter speed dan ISO secara manual pada kamera DSLR (Digital Single Lens Reflex).
Jika tersalah tetapan, bimbang pula hasil bidikan gambar tersebut tidak mencapai piawaian diingini. Kadangkala subjek dirakam bukan sahaja tampak samar dek limpahan cahaya yang masuk terlalu banyak, bahkan warnanya bagaikan tenggelam timbul.
Justeru, bagi membaiki mutu foto berkenaan, maka sesi suntingan di komputer terpaksa dilakukan menggunakan perisian grafik popular seperti Adobe Photoshop, Adobe Illustrator dan Indesign di komputer. Situasi berkenaan cukup leceh kerana terpaksa melalui beberapa proses.
Bagaimanapun, kini tidak lagi. Nampaknya, anda boleh menarik nafas lega dan tidak perlu khuatir untuk menghabiskan masa berjam-jam melakukan penyuntingan di depan komputer. Selari kemajuan teknologi, pencinta fotografi dan kaki #OOTD (outfit of the day) berpeluang merakam dan menyunting foto sebelum memuat naik dalam laman sosial peribadi hanya dengan menggunakan telefon pintar.
Mudah bukan? Justeru, pada minggu ini E-Trend memperkenalkan lima aplikasi popular yang membantu memberikan efek gambar terbaik dan memukau.
1 PicsArt Photo Editor
APLIKASI popular yang menghimpunkan semua dalam satu. Ia bukan sahaja berfungsi memudahkan proses suntingan, malah turut menawarkan bermacam-macam kelebihan. Khas buat golongan wanita, misalnya, foto berwajah polos sebelum ini bakal tampak berseri dalam tempoh beberapa saat dengan hanya menekan klik palet alat solek yang terdapat dalam aplikasi tersebut.
Selain itu, PicsArt Photo Editor yang mendapat undian 4.7 daripada 5 bintang juga membolehkan pengguna menampal pelekat berwarna-warni dan comel seperti rama-rama, bunga dan bintang.
Pada masa sama, ia menampilkan variasi filter supaya foto tidak statik pada satu rona sahaja termasuk memberi peluang orang ramai mencipta kolaj pilihan. Bertambah menarik, aplikasi tersebut juga bertindak ‘menghilangkan’ subjek-subjek yang disifatkan mengganggu kesempurnaan foto peribadi anda.
2 Candy Camera
BERITA baik buat mereka yang gemar berswafoto secara solo ataupun bersama teman di lokasi menarik. Jangan ketinggalan memuat turun aplikasi Candy Camera.
APLIKASI yang dibangunkan oleh JP Brothers Inc tersebut menyerlahkan efek gambar konsep selfie dengan bantuan filter pelbagai mood tanpa menjejaskan keaslian wajah.
Selain itu, kaki foto juga boleh menyunting gambar menggunakan Tools Editing yang disertakan dalam aplikasi berkenaan. Sebagai contoh, membuatkan wajah kelihatan tirus dan mengenakan solekan secara maya.
Istimewanya, aplikasi Candy Camera yang menawarkan lebih tujuh bahasa itu tidak terhad pada foto, malah juga boleh digunakan untuk menyunting video.
3 Camera 360
MEMILIKI lebih 800 juta pengguna di seantero dunia, Camera 360 merupakan salah satu aplikasi kamera yang mendapat permintaan tinggi dalam Google PlayStore.
Hadir dalam seleksi filter menarik, aplikasi itu membantu individu mendapatkan hasil foto terbaik khususnya melibatkan aspek solekan dan kulit wajah. Maklumlah, kadangkala ketika bergambar, wajah kelihatan kusam dan tidak bermaya. Justeru, usah risau kerana Camera 360 ada solusi terbaik.
Cara penggunaannya juga mudah dan tidak memerlukan masa yang lama. Bagaimanapun, ingat, jangan mengedit secara berlebihan pula kerana bimbang penampilan dalam laman sosial tidak seindah realiti.
4 Pro Capture
APLIKASI kamera keluaran NEast Studios ini ideal digunakan oleh kelompok yang gemar bercuti di pulau, kembara luar kota dan menerokai keindahan hutan.
Ia berikutan ciri-ciri yang terdapat pada aplikasi tersebut sama seperti dimiliki kamera DSLR. Dijamin anda akan berpuas hati dengan koleksi foto dirakam menggunakan ProCapture, apatah lagi aplikasi yang sama turut menawarkan kemudahan suntingan.
5 VSCO Cam
Sejak Visual Supply Company melancarkan VSCO Camp, aplikasi itu mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan peminat tegar fotografi. Jika sebelum ini aplikasi berkenaan hanya boleh digunakan oleh pengguna iOS secara eksklusif, tetapi kini ia telah berada dalam platform peranti Android.
Keistimewaan aplikasi tersebut terletak pada filter uniknya yang direka khas oleh kumpulan fotografi profesional. Setiap filter menampilkan kesan warna menarik seolah-olah foto anda mendapat sentuhan pereka grafik profesional.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang