RAKYAT Malaysia masih dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berlanjutan sehingga 9 Jun depan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Sama ada PKPB bersambung atau kembali menjadi PKP, ia akan ditentukan nanti.

Pada masa yang sama, sudah terdapat  kelonggaran pergerakan diberikan khusus untuk merancakkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat wabak berkenaan.

Bagaimanapun, sebelum memandu ke mana-mana, pastikan kereta dalam keadaan baik bagi mengelakkan berlakunya masalah lebih-lebih lagi jika sudah lama tidak digunakan.

SinarPlus berkesempatan mengutip asas penjagaan kereta daripada pemilik Bengkel Akmal Auto Care di Bachok, Kelantan, Muhamad Akmaluddin Ismail atau Akmal terutamanya kenderaan yang tidak digunakan  dalam tempoh yang lama.

AKMAL.

“Penting untuk semua orang, baik lelaki mahupun wanita, mengetahui ilmu asas penjagaan kereta.

“Meskipun kerajaan belum membenarkan aktiviti rentas negeri dilakukan, namun orang ramai sudah boleh bergerak bebas di sekitar tempat tinggal apatah tiada had jarak kilometer ditetapkan seperti sebelum ini,” kata Akmal.

1. Kelilingi kenderaan

Sebelum menghidupkan enjin kereta, kelilingi kereta terlebih dahulu secara berulang-ulang.

“Tindakan berjalan mengelilingi kereta adalah untuk melihat badan kenderaan yang mungkin tercabut atau terjejas akibat terlalu lama tidak digunakan.

“Paling penting adalah nombor pendaftaran kenderaan kerana jika tercabut, itu sudah menjadi satu kesalahan dan pemilik kenderaan tersebut boleh dikenakan saman,” jelas Akmal.

2. Periksa tayar

Selepas yakin keadaan fizikal kereta baik, periksa pula kelima-lima tayar termasuk tayar ganti di dalam but kereta.

“Pastikan kesemua tayar mempunyai angin yang mencukupi manakala permukaan tayar masih elok dan tidak botak.

“Tayar kereta diperbuat daripada getah dan akan keras jika terbiar lama. Jadi, perlu semak tarikh akhir atau tarikh luput tayar tersebut,” terang Akmal.

Pada kebiasaannya, empat nombor  akan terpampang pada bahagian tayar yang merupakan ‘tarikh lahirnya’.

“Sebagai contoh, jika nombor yang terpapar ialah 0520, bermakna tayar tersebut dibuat pada minggu kelima tahun 2020,” katanya.

3. Sediakan peralatan

Iklan

Dalam masa yang sama, pastikan juga alat untuk menukar tayar ada disimpan di dalam but kereta sepanjang masa.

“Periksa alatan kecemasan dan alat untuk menukar tayar seperti sepana roda sentiasa berada di dalam kereta dan mudah dicapai apabila perlu  digunakan,” terangnya.

4. Pastikan lampu berfungsi

Ini juga penting. Sebelum memandu kereta ke destinasi yang ingin dituju, pastikan kesemua lampu berfungsi dengan baik dan tidak bermasalah.

Iklan

Antara lampu yang perlu diperiksa ialah lampu besar, lampu kecil, lampu isyarat, lampu sorot (spotlight bagi sesetengah kereta), lampu brek belakang dan lampu tinggi (high beam).

5. Pantau enjin kereta

Pada masa yang sama, perhatikan komponen enjin kereta yang diibaratkan ‘jantung’ sesebuah kenderaan.

“Periksa beberapa elemen pada bahagian ini untuk memastikan ia dalam keadaan baik. Antaranya, air penyejuk udara, minyak hitam, minyak brek, minyak stereng berkuasa dan kepala bateri kerana kadangkala ia longgar menyebabkan kereta gagal dihidupkan.

“Bagi kereta yang mempunyai gear automatik, pastikan minyak gear mencukupi,” terang akmal.