TIDUR merupakan aspek penting buat semua orang termasuk bayi.

Pastinya, ibu bapa bayi perlu memastikan anak mereka cukup tidur.

Mungkin perkara itu kedengaran agak ‘berat’ apatah lagi tangan sudah lenguh mendukung bayi.

Prihatin dengan keadaan itu, Pakar Kanak-kanak Hospital Pakar Kuala Terengganu, Dr Muhammad Salehuddin Sulaiman tampil berkongsi cara terbaiknya.

Tulisnya dalam Facebook, tidur sangat penting untuk bayi.

“Ini kerana semasa tidur, hormon tumbesaran (growth hormone) dikeluarkan untuk merangsang tumbesaran bayi.

“Sebab itu, dalam tiga bulan pertama, ALLAH jadikan bayi banyak tidur. Mereka tidur sekitar 16 hingga 17 jam (atau lebih) sehari dan hormon paling banyak dikeluarkan ketika mereka tidur lena (jika melebihi satu jam),” terangnya.

bayi

Dalam pada itu, katanya, terdapat satu kajian yang telah dijalankan mendapati tidur yang cukup semasa bayi juga menentukan kecerdasan mereka kelak.

Jadi, pesan beliau, ibu bapa wajib pastikan bayi anda tidur dalam tempoh yang secukupnya.

“Selepas empat bulan pula, keperluan tidur mereka adalah sekitar 14 hingga 15 jam dan pada umur enam bulan pula antara 13 hingga 14 jam sehari,” kongsinya.

Oleh itu, berikut lima tip yang boleh diamalkan oleh ibu bapa untuk memastikan anak-anak kecil dapat tidur dengan lena, menurut Dr Muhammad Salehuddin:

1. Selepas menyusu, riba atau pangku anak sehingga mereka betul-betul tidur dengan nyenyak sebelum meletakkan mereka di lokasi lain. Jika perlu, bendung si manja anda dengan kemas.

Iklan

2. Pastikan suhu yang sesuai dan agak rendah. Buka kipas atau pendingin hawa semasa musim panas.

3. Kurangkan bunyi bising (persekitaran) semasa bayi sedang tidur.

4. Apabila bayi mula terjaga dan selepas 30 minit hingga satu jam, pastikan si ayah yang mengangkat untuk tidurkan mereka semula. Jika si ibu yang mengangkat, anak akan tetap mahu menyusu meskipun sudah kenyang.

“Sebenarnya, bayi tersebut bukan hendak menyusu pun, tetapi mahu ‘mengempeng’ atau dipeluk sahaja,” terangnya.

Iklan

5. Jika bayi sudah tidur lena, tidak perlu kejutkan sama ada untuk menukar lampin atau memberi susu.

“Sekiranya bayi yang berusia dua minggu, kadangkala mereka akan kuat tidur.

“Jadi, untuk kes-kes sebegitu, ibu ayah boleh kejutkan untuk penyusuan setiap 2 jam (susu badan) dan 3 jam (susu formula),” pesannya.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada ibu ayah di luar sana.