SETIAP kanak-kanak pastinya mempunyai hak untuk hidup sihat dan bebas daripada sebarang keganasan.

Menurut portal kesihatan myhealth.gov.my, setiap tahun, sekurang-kurangnya 2,000 kanak-kanak di Malaysia dilaporkan menjadi mangsa penderaan dan pengabaian.

Terbaharu, kes arwah adik Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek atau Amir yang berusia tujuh tahun yang dipercayai didera.

Dalam kejadian tersebut, kanak-kanak malang itu didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Artikel berkaitan: “Sepatutnya saya pertahankan Adik” Ibu angkat kanak-kanak malang mati didera menyesal

Sebenarnya, penderaan kanak-kanak adalah masalah global yang besar kerana ia memberi impak serius terhadap kesihatan mental dan pertumbuhan fizikal kanak-kanak, kesejahteraan dan perkembangan sepanjang kehidupan mereka.

Memetik kenyataan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, sebanyak 3,875 kes penderaan fizikal kanak-kanak direkodkan di negara ini termasuk penderaan seksual, emosi dan pengabaian bermula Januari sehingga September tahun lalu.

Prihatin dengan keadaan itu, seorang doktor pediatrik, Dr Redza Zainal berkongsi mengenai pengalaman anak rakannya yang pernah didera.

Dr Redza.

Cerita Dr Redza menerusi entri Facebooknya, kanak-kanak itu dipercayai didera oleh orang yang beliau sendiri kenali.

“Sebab anak beliau terlalu aktif, si pelaku telah mencubit pada badan dan pipi sehingga kulitnya merah-merah dan lebam-lebam.

“Pada awalnya, kawan saya berfikir mungkin si kecil itu cuma terjatuh. Langsung tidak terdetik di perkara yang bukan-bukan,” kongsi Dr Redza.

Namun demikian, selepas orang yang beliau kenali itu mengaku bahawa dirinya yang medera si kecil tersebut, rakannya terus trauma.

“Sebenarnya, si bapa paling kecewa kerana beliau lambat mengesan tanda-tanda yang anaknya sudah didera. Apa yang diperhatinya, sepanjang bulan, anaknya banyak termenung dan menjadi sangat pendiam.

“Apabila berborak, jelas kelihatan seperti si kecil itu langsung tidak fokus dan matanya cuma memandang muka mak ayahnya tanpa perasaan,” ceritanya.

Demi kesedaran dan kemaslahatan umum, Dr Redza senaraikan 5 tanda anak anda mungkin jadi mangsa dera yang boleh dijadikan rujukan kepada ibu bapa dan penjaga:

1. Mimpi buruk yang berulang-ulang.

Biasanya, anak tidak dapat tidur malam dengan nyenyak kerana perkara yang menakutkan si kecil itu akan sentiasa menghantui dirinya sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpi.

2. Perkembangan merosot.

Ia membawa maksud perkembangan anak tiba-tiba sahaja menjadi mundur sebagai contoh anak yang berumur lima tahun akan berubah perangai seperti kanak-kanak yang berumur dua atau tiga tahun.

Iklan

Sebagai contoh, anak kecil akan terkencing pada waktu malam, sangat takut pada ruang yang gelap dan sering menghisap ibu jari.

3. Anak memberontak, bersifat impulsif.

Sebenarnya, tindakan itu adalah cara si kecil melindungi diri mereka sendiri setelah didera berkali-kali sehinggakan mereka menunjukkan tindakan yang sangat kurang sabar dalam perilaku dan tindakan yang dilakukan.

4. Menjadi sangat takut apabila berada berdekatan dengan pelaku.

Pastinya, ibu bapa akan perasan anak akan lebih ‘clingy’ berbanding biasa. Jika perkara itu berlaku, mereka akan mengikut ke mana sahaja ibu bapa akan pergi dan tidak mahu ditinggalkan seorang diri seakan-akan ingin berkepit sepanjang masa dengan ibu bapa.

Iklan

5. Tanda-tanda fizikal pada tubuh si kecil.

Paling penting sekali adalah perubahan pada fizikal anak-anak. Ibu bapa perlu peka dengan kondisi mereka sebagai contoh badan dipenuhi lebam, kesan luka dan sebagainya.

Oleh itu, ibu bapa perlu tahu, kadangkala anak-anak kita tidak pandai mengadu mengenai masalah yang mereka sedang hadapi, namun perilaku boleh menterjemahkan apa situasi yang mereka sedang alami.

Sebagai ibu bapa yang cakna, kitalah yang perlu membantu mereka terutamanya dalam kes penderaan kanak-kanak. Jenguk dan pantau selalu anak-anak kita. Jangan terlalu percaya dengan orang sekeliling.