AWAL bulan Jun lalu, pelakon Ashraf Muslim, 40, membuat pendedahan mengejut. Beritahunya, beliau sehingga kini masih berdepan dengan masalah kesihatan berpanjangan kesan daripada jangkitan Covid-19 yang dialaminya pada April lalu. Situasi yang dialami oleh Ashraf itu dinamakan Long covid atau Post covid.

Ashraf Muslim.

“Pada awalnya, saya sangkakan masalah itu berpunca daripada kecederaan lama pada bahu sahaja. Rupa-rupanya, selepas pemeriksaan, otot saya didapati mengecut sehingga memerlukan beberapa rawatan termasuk mendapatkan suntikan kesan daripada jangkitan virus korona,” katanya kepada pengacara, Addy Junaidi dalam sesi IG Live bersama SinarPlus baru-baru ini.

Menurut National Institute for Health and Care Excellence (NICE), United Kingdom, pesakit yang telah mendapat jangkitan Covid-19 berkemungkinan untuk kekal mempunyai beberapa simptom dalam tempoh 12 minggu atau lebih.

Untuk mengupas lebih lanjut dan memahami terma Long covid serta adakah pesakit boleh sembuh sepenuhnya, SinarPlus mewawancara Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pensyarah Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin, Dr Safiya Amaran.

Dr Safiya.

Jelas Dr Safiya, Long covid merujuk kepada kondisi kesihatan seseorang yang masih berasakan gejala Covid-19, meskipun dikatakan telah sembuh.

Pakar itu berkata, Long covid mungkin boleh berlaku lebih berbulan-bulan lamanya dan berpotensi terjadi kepada mana-mana bekas pesakit Covid-19 tanpa mengira usia, malah kanak-kanak atau remaja juga tidak terkecuali.

Lebih menakutkan, ia bukan sahaja pesakit yang bergejala teruk seperti yang berada dalam kategori 4 hingga 5, malah pesakit Covid-19 yang bergejala ringan ataupun tidak bergejala juga tidak terkecuali.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Klinikal, Kings College London, Dr Claire Steves berkata, ketika seseorang mengalami lebih daripada lima gejala Covid-19 pada minggu pertama mereka terkena virus, mereka akan cenderung mengalami Long covid.

“Seperkara, risiko seseorang mengalami Long covid semakin meningkat jika pesakit berusia lebih 50 tahun dan seorang wanita,” kata Steves kepada BBC News.

Long covid sebenarnya tidak hanya berlaku di negara ini sahaja, malah meliputi negara di seluruh dunia. Di United Kingdom misalnya, kajian menunjukkan kira-kira 10 peratus daripada individu yang positif Covid-19 akan mengalami dua atau lebih gejala yang berterusan lebih daripada 12 minggu.

Di Amerika Syarikat pula, 20 peratus daripada individu yang tidak bergejala mengalami Long covid sebulan selepas diagnosis. 27.5 peratus daripada pesakit bergejala ringan mengalami Long covid dan 50 peratus daripada mereka memerlukan rawatan di hospital.

“Setakat ini di Malaysia, masih belum ada kajian berkaitan yang diterbitkan.

Jadi, dapat saya simpulkan, ia (Long covid) lebih banyak dialami oleh pesakit yang lebih teruk gejalanya,” katanya sambil memberitahu setakat ini tiada laporan tentang gejala berpanjangan ini dalam kalangan mereka yang sudah mengambil vaksin Covid-19.

Jantung rosak/hilang deria rasa, bau

Apakah gejala-gejala yang ditanggung oleh pesakit Long covid? Untuk menjawab pertanyaan itu, SinarPlus merujuk British Medical Journal yang bertajuk Covid-19: Apa Yang Perlu Kita Tahu Tentang Long Covid?

Jurnal itu menggambarkan Long covid ‘sesuatu yang menakutkan dan lama’.

Kajiah ilmiah tersebut mendapati, kondisi Long covid akan membuatkan seseorang sulit untuk menjalankan aktiviti harian kerana kelelahan yang ekstrem.

“Misalnya, mereka susah nak berjalan kaki walaupun sekejap berikutan nafas yang tercungap-cungap. Tidak hanya itu sahaja, pesakit juga ada yang sakit kepala, batuk yang lambat sembuh, cemas, insomnia, depresi, ruam pada kulit, rambut gugur, nyeri pada sendi dan otot termasuk berdepan dengan brain fog iaitu masalah untuk memberi konsentrasi dan mengingati,” kata jurnal itu.

Namun, Long covid sebenarnya melangkaui daripada ekspektasi kita. Lima pakar terkemuka dari John Hopkines Medicine, Amerika Syarikat (AS) telah mengemukakan pandangan masing-masing tentang sindrom itu yang disalurkan melalui laman web rasmi institusi itu.

Mereka terdiri daripada Pakar Neurologi, Perubatan Fizikal & Rehabilitasi, Dr Tae Chung; Pakar Psikologi Rehabilitasi, Dr Megan Hosey; Pakar Neurologi, Dr Arun Venkatesan; Pakar Perubatan Rehabilitasi Pediatrik, Amanda Morrow dan Pakar Jantung dan Penjagaan Kritikal, Dr Emily Brigman.

Kata mereka, jangkitan SARS-CoV-2 dapat menyebabkan beberapa pesakit  mengalami masalah jantung termasuk keradangan otot jantung.

“Sebenarnya, satu kajian menunjukkan bahawa 60 peratus mereka yang pulih daripada Covid-19 mempunyai tanda-tanda keradangan jantung yang berterusan yang boleh menyebabkan gejala biasa sesak nafas, berdebar-debar dan degupan jantung yang cepat,” kata mereka.

Selain itu, ia juga boleh memberi impak kepada kerosakan buah pinggang.  Jika tidak ditangani, ia akan memicu kegagalan ginjal akut.

Bagaimana pula dengan deria rasa dan bau? Lima pakar itu senada menjelaskan,

virus korona mempengaruhi sel-sel pada hidung. Kata mereka, kira-kira satu perempat pesakit yang mempunyai gejala itu hanya mengakhiri ‘derita’ itu dalam tempoh berminggu-minggu.

“Namun, bagi kebanyakan orang, gejala ini akan berterusan. Walaupun tidak mengancam nyawa, distorsi pancaindera yang berpanjangan dapat menghancurkan dan menyebabkan kekurangan selera makan, kegelisahan dan kemurungan. Beberapa kajian menunjukkan, terdapat kemungkinan 60 hingga 80 peratus, masalah itu akan selesai dalam tempoh setahun,” kata pakar-pakar itu.

Kadar kesembuhan

Mengulas mengenai kanak-kanak dan remaja yang berdepan dengan Long covid, Morrow membentangkan ulasannya. Ungkapnya, bagi kanak-kanak berkemungkinan mereka berdepan dengan masalah keletihan, kemurungan termasuk sesak nafas.

Bagaimanapun, kumpulan yang mengalami komplikasi Covid-19 yang sangat jarang disebut sebagai Sindrom Keradangan Multisistem Pada Kanak-Kanak (Multisystem Inflammatory Syndrome in Children atau MIS-C), boleh mengalami kerosakan jantung yang serius dan harus merujuk kepada pakar kardiologi pediatrik.

“Kepada atlet muda yang kembali semula ke gelanggang selepas kes virus korona ringan atau tiada simptom, mereka harus diperiksa bagi mengetahui tanda-tanda kerosakan jantung demi memastikan mereka selamat untuk meneruskan aktiviti,” katanya.

Persoalannya bilakah Long covid ini akan berakhir? Jawapannya, tidak diketahui, kata lima pakar itu sebulat suara.

Melihat lambakan rakyat AS yang mengalami Long covid, John Hopkines Medicine, telah menubuhkan satu pasukan dikenali sebagai Johns Hopkins Post-Acute CoviD-19. Ia merupakan sebuah klinik khas untuk menyokong pemulihan individu yang pernah menghidap COVID-19.

Di sana, pegawai perubatan akan membantu mangsa melakukan latihan pernafasan, terapi fizikal, mencadangkan preskripsi ubat-ubatan dan rawatan lain yang dapat membantu meningkatkan kesihatan pesakit.

Sementara itu, Profesor Madya Emidemologi di Columbia University Mailman School of Public Health, AS, Dr. Mady Hornig menasihatkan pesakit Long covid agar menjalani fisioterapi dan berehat secukupnya supaya badan perlahan-lahan dapat pulih sepenuhnya.

“Lakukan secara beransur-ansur, jangan paksa. Bagaimanapun, keadaan ini bergantung pada berapa banyak gejala yang anda miliki dan berapa banyak organ yang dipengaruhi oleh Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Jason Maley yang merupakan pengajar di Harvard Medical School, AS dalam bidang perubatan merangkap Pengarah Program Penyakit Kritikal dan Penyakit Covid-19 berkata, pesakit Long covid yang mendapatkan rawatan daripadanya mempunyai kecenderungan untuk baik.

“Namun, mereka bergelut dan mengambil masa yang agak lama untuk pulih iaitu mencecah empat bulan, sembilan bulan atau setahun, tetapi ada juga yang  masih kekal mengalami gejala teruk tanpa sebarang perubahan,” katanya kepada Harvard Gazette.

Maley turut ditanya tentang laporan yang menyebut pesakit Long covid menjadi lebih baik beberapa minggu selepas mendapat vaksin.

Iklan

Menjawab pertanyaan itu, beliau berkata: “Sukar untuk mengetahui apakah itu kesan sebenar daripada vaksin atau mekanisme imun atau ia bertambah baik seiring dengan waktunya.”

“Saya mempunyai pesakit yang mana setelah berbulan-bulan mengalami gejala, mengalami perubahan yang berbeza dan positif pada gejala yang dialami setelah mendapat vaksin.”

ANEKDOT

GELAJA berpanjangan yang dialami pesakit Long covid:

1. Psikologi dan psikiatrik.

  • Simptom kemurungan.
  • Rasa gelisah.

2. Telinga, hidung dan tekak.

  • Tinnitus (bunyi berdesing).
  • Sakit telinga.
  • Sakit tekak.
  • Hilang deria rasa dan bau.

3. Gastrointestinal.

  • Sakit perut.
  • Loya.
  • Cirit-birit.
  • Anorexia dan kurang selera makan.

4. Muskuloskeletel.

  • Sakit sendi.
  • Sakit otot.

5. Neurologikal.

  • Gangguan kongnitif (hilang tumpuan atau pelupa).
  • Sakit kepala atau pening.
  • Sukar tidur.
  • Simptom Peripheral Neuropathy (kebas, hilang kawalan keseimbangan dan lemah kaki).
  • Meracau.

6. Respiratori.

Iklan
  • Sukar bernafas.
  • Batuk.

7. Kardiovaskular.

  • Sesak dada.
  • Sakit dada.
  • Berdebar.

8. Dermatologi

  • Ruam.

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia.       

Azlan sukar tidur, sakit dada sehingga saat ini

MOHAMAD AZLAN OTHMAN, 29, antara individu yang terpaksa menerima hakikat bahawa dirinya sedang bergelut dengan sindrom Long covid.

Terlebih dulu, ujarnya, beliau disahkan positif wabak pembunuh itu selepas menjadi salah seorang kontak rapat kepada rakan sekerjanya.

“Dari awal, saya menerima ujian ini dengan dengan terbuka memandangkan bukan saya seorang sahaja kontak rapat yang positif. Saya dikategorikan sebagai pesakit kategori 2 (dengan gejala ringan) dan memerlukan saya menjalani kuarantin di salah sebuah pusat rawatan di ibu kota,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kepada SinarPlus, Mohamad Azlan atau mesra disapa Azlan memberitahu, selama 12 hari di pusat kuarantin, beliau menempuh satu fasa yang tidak pernah dirasakan sebelum ini.

“Barangkali itulah kesan selepas dijangkiti wabak Covid-19. Saya bukan sahaja sukar untuk melelapkan mata setiap kali mahu tidur dan rehatkan diri, malah kerap berasa sesak pada dada dan nafas akan tersekat-sekat lebih-lebih lagi kalau mengangkat barang-barang yang agak berat,” kata beliau yang bertugas sebagai pembantu kontraktor di Johor.

Kata Azlan, beliau fikirkan derita itu akan berakhir selepas tamat kuarantin, namun sebenarnya tidak!

Beritahu lelaki yang berasal dari Yan, Kedah itu, beliau kita kerap mengambil cuti sakit gara-gara mengalami Long covid. Katanya, mahu atau tidak, beliau perlu berehat kerana dadanya kerap kali sakit.

“Sebenarnya, sudah dua kali saya dirujuk ke bahagian kecemasan kerana masalah itu, namun doktor menasihati saya agar berehat dan jangan sesekali melakukan kerja-kerja berat. Saya akui, kesan yang perlu saya tanggung kini sedikit sebanyak memang merencatkan rutin harian.

“Bagaimanapun, saya akur dengan takdir ini. Namun besar harapan saya agar dapat sembuh sepenuhnya dan berharap dapat berjumpa dengan keluarga apabila semuanya kembali reda nanti,” katanya yang sudah hampir setahun tidak bersua dengan ibu bapanya di kampung.