ORANG kata, biar demam panas daripada menderita sakit gigi.

Bukan apa, kesakitan gigi boleh membuatkan seseorang menjadi tidak keruan, apa lagi mahu mengukir senyuman.

Bukan itu sahaja, ia juga mampu menyebabkan seseorang sukar mahu melelapkan mata dan merencatkan kegiatan harian. Senang kata, langsung tidak boleh berbuat apa-apa.

Menurut portal perubatan antarabangsa, www.healthline.com, sekiranya kita berdepan masalah sakit gigi adalah menjadi satu keutamaan untuk mengetahui apakah punca utama kepada ketidakselesaan itu.

Keprihatinan itu sangat penting untuk pakar menentukan cara terbaik untuk menghilangkan rasa sakit, bengkak atau beberapa gejala lain.

Pun demikian, jika pesakit hanya mengalami kerengsaan kecil, sebenarnya ia boleh dirawat di rumah sahaja tanpa perlu berkunjung di mana-mana klinik gigi atau hospital.

Berikut SinarPlus kongsikan beberapa kaedah ringkas yang boleh dilakukan sendiri dengan menggunakan bahan-bahan yang di rumah sahaja:

i) Air garam

Bagi kebanyakan orang, berkumur dengan air garam adalah rawatan pertama yang berkesan. Air garam merupakan pembasmi kuman semula jadi dan ia dapat membantu melonggarkan zarah makanan dan serpihan yang mungkin tersekat di antara gigi.

Menurut kajian yang bertajuk Rinsing with Saline Promotes Human Gingival Fibroblast Wound Healing In Vitro pada tahun 2016, mengubati sakit gigi dengan air garam juga dapat membantu mengurangkan keradangan dan menyembuhkan luka dalam mulut.

Pendekatan terkini yang diimplemenkan adalah dengan mencampurkan setengah sudu teh garam ke dalam segelas air suam sebagai ubat kumur.

ii) Ais

Bahan yang sejuk seperti ais juga dapat digunakan untuk menghilangkan rasa sakit yang dialami terutamanya pesakit yang trauma akibat sakit gigi.

Apabila menggunakan bahan yang sejuk seperti ais, saluran darah di kawasan itu akan menyempit.

Keadaan berkenaan sekali gus akan menjadikan kesakitan yang dialami berkurang. Cara-cara begini. Pegang beg ais yang dibungkus dengan tuala dan letakkan di kawasan yang sakit selama 20 minit pada satu-satu masa. Ulangi langkah tersebut setiap beberapa jam sekali.

iii) Teh pudina

Teh pudina boleh digunakan untuk menghilangkan rasa sakit dan menenangkan gusi sensitif.

Kaedahnya, masukkan beg teh ke dalam peti sejuk selama beberapa minit dan kemudian letakkan beg itu di kawasan yang sakit. Kesakitan pada gigi akan beransur hilang selepas melakukan kaedah tersebut.

iv) Bawang putih

Selama beribu-ribu tahun, bawang putih telah dikenali dan digunakan untuk pelbagai khasiat perubatan.

Selain membunuh bakteria berbahaya yang menyebabkan plak gigi, ia juga boleh bertindak sebagai penghilang rasa sakit, lapor Avicenna Journal of Phytomedicine.

Untuk melakukannya, agak mudah. Hancurkan bawang putih dan sapukan ke kawasan yang sakit.

Sebagai alternatif lain, tambahkan sedikit garam ke dalam ramuan yang dihancurkan tadi. Jika pembaca berkeupayaan, boleh mengunyah bawang putih segar secara perlahan-lahan.

v) Cengkih

Cengkih juga merupakan bahan semula jadi untuk merawat sakit gigi. Ia telah dipraktikkan sejak berabad lamanya.

Cengkih dikatakan mempunyai minyak yang dapat menghilangkan rasa sakit dan mengurangkan rasa keradangan.

Iklan

Menurut Libyan Journal of Medicine, cengkih juga mengandungi eugenol yang merupakan antiseptik semula jadi.

Untuk menggunakannya, calitkan sedikit minyak cengkih (dimasak terlebih dahulu) pada kapas lalu letakkannya di kawasan yang sakit.

Lebih mudah, kumur dengan ramuan minyak cengkih ke dalam segelas air. Ulang beberapa kali sehari.

vi) Daun jambu batu

Daun jambu mempunyai sifat antiradang yang dapat membantu menyembuhkan luka. Menurut pubmed.gov, daun pada tumbuh-tumbuhan berkenaan juga mempunyai antimikrob yang dapat membantu merawat mulut.

Kepada pesakit gigi, kunyah daun jambu tersebut atau tambahkan daun berkenaan yang dihancurkan ke dalam air mendidih untuk dibuat ubat kumur.

Pun demikian, sekiranya kesakitan yang dirasai sukar untuk dikawal, segera berjumpa doktor.

Berikut disenaraikan keadaan-keadaan yang memerlukan seseorang berada dalam situasi serius yang memerlukan tindakan susulan diambil:

Iklan
  • i) Demam.
  • ii) Kesukaran bernafas atau menelan.
  • iii) Kesakitan umum yang berlanjutan lebih dari satu atau dua hari.
  • iv) Bengkak pada mulut dan rahang.
  • v) Sakit ketika menggigit.
  • vii) Gusi merah yang tidak normal.
  • viii) Mulut berbau busuk atau bernanah.

ANEKDOT

APAKAH punca sakit gigi?

1) Kecederaan mulut atau rahang.

2) Jangkitan sinus.

3) Pereputan gigi.

4) Gigi bernanah atau dijangkiti bakteria.

5) Makanan atau serpihan lain yang tersekat pada gigi.

6) Gangguan sendi yang dikenali sebagai temporomandibular.

7) Penyakit gusi.

Sumber: healthline.com